NURUL SyUhada bersama pasukan produksi TV3 meraih kemenangan bagi kategori dokumentari Isu Semasa/Kemasyarakatan Terbaik pada FdM'09, baru-baru ini. |
Dokumentari mengenai Gaza di Majalah 3 pernah dicemuh, diperlekeh sesetengah pihak di internet
SEGELINTIR yang berfikiran jumud hanya menilai usahanya itu dari sudut kecil namun mereka yang berjiwa besar melihat keberanian mereka sebagai sebuah sumbangan - biarpun kecil tetapi menjulang erti dan nilai kemanusiaan sejagat.
Kental semangat Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain bersama produksi Majalah 3 menerusi liputan Gaza siaran Majalah 3, Februari lalu akhirnya membuahkan sesuatu yang cukup bererti buat mereka.
Paparan itu diangkat sebagai pemenang kategori Dokumentasi Isu Semasa/Kemasyarakatan Terbaik, Festival Dokumentari Malaysia 2009 (FDM’09) yang berlangsung di Studio Sound Stage, Hulu Klang, Rabu lalu.
FDM’09 dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menyemarakkan Festival Filem Malaysia Ke- 22 (FFM22) yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah dari 5 hingga 8 Ogos ini.
Mengulas kejayaan itu, Nurul mewakili pasukan produksi Majalah 3 mendedikasikan kemenangan kepada rakyat Palestin yang mengajar mereka erti sebuah kehidupan selama berada di daerah berdarah itu.
Nurul berkata, barangkali apa yang ditampilkan dalam Majalah 3 hanya secebis daripada galur kesengsaraan yang dideritai penduduk Semenanjung Gaza.
“Namun ia menjadi titik tolak serta permulaan kepada kami untuk membentangkan lebih banyak laporan seperti itu pada masa akan datang,” katanya.
Nurul berkata, penganjuran FDM’09 secara tidak langsung mendesak penggiat industri seni supaya mempertingkatkan mutu penerbitan dengan pengisian berbentuk ilmiah yang mendidik masyarakat.
Katanya, penerbitan dokumentari seperti ini secara jelas memperlihatkan peranan besar stesen televisyen yang tidak hanya memfokus kepada program berbentuk hiburan semata-mata.
“Kemenangan ini mengubat kekecewaan serta rasa gundah kami lantaran sesetengah pihak yang mempertikai, malah memandang remeh usaha ini sedangkan banyak cabaran terpaksa dilalui untuk menyiapkan paparan itu,” katanya.
Sembilan hari di Gaza kata Nurul, tidak memadai untuk mereka mengupas serta menterjemah segala penderitaan yang dialami rakyat di bumi berdarah itu.
Banyak faktor perlu dipertimbangkan, terutama berkaitan keselamatan yang secara tidak langsung membataskan pergerakan mereka dalam usaha menyediakan bahan laporan mendalam.
“Ditolak semua itu, kami cuma ada empat hari untuk menyediakan laporan membuatkan kami tidak boleh terlalu memilih.
“Apa yang berlaku di depan mata, itu yang cuba kami paparkan. Kami perlu pantas merebut segala kejadian di depan mata sebagai bahan paparan.
“Takut memang takut, apatah lagi ketika itu gencatan senjata baru diumumkan. Kami cuma bertawakal dan berserah kepada Allah kerana apa saja boleh berlaku ketika itu.
“Alhamdulillah, usaha kami ini dilihat juri dan ia sekali gus memacu semangat saya untuk lebih berkobar menghasilkan laporan seperti ini,” katanya.
Kemenangan dalam kategori itu melayakkan mereka menerima wang tunai RM5,000 serta trofi FDM’09, selain bertanding merebut trofi Filem Dokumentari Terbaik di samping tiga pemenang lain pada malam kemuncak FFM22 nanti.
Gaza akan disaingi dokumentari, Rosli Dhoby - Pembunuh Atau Pejuang terbitan Astro Entertainment Sdn Bhd yang meraih Dokumentari Ilmiah/Sejarah Terbaik; Inside Silat (Dokumentari Kesenian/Kebudayaan Terbaik) dan Bumi Pribumi (Dokumentari Alam Semula Jadi/Pelancongan Terbaik).
Setiap mereka menerima trofi dan wang tunai RM5,000.
Sementara itu, pemenang kategori Skrip Terbaik, Thaiga Rajan Muthusamy dari Vanakkam Malaysia Dotcom Sdn Bhd menerusi Tun Sambanthan bersyukur kerana dokumentari itu menerima enam pencalonan daripada sembilan kategori yang dipertandingkan.
Biarpun hanya membawa pulang satu trofi, Thaiga Rajan berkata, dia mengambil masa enam bulan melakukan kajian dalam usaha menyiapkan dokumentari itu.
“Umum mengenalinya sebagai tokoh politik berjasa namun peribadi dan personalitinya jarang diberi pendedahan menyebabkan tidak ramai anak muda yang memahami serta mencontohi dirinya.
“Dokumentari ini memfokuskan kepada sifat murni yang dimilikinya, sekali gus mengajak masyarakat untuk menghayati serta mencontohi,” katanya.
FDM’09 buat julung kali dianjurkan itu mempertandingkan 94 karya mewakili stesen televisyen, syarikat produksi, karyawan filem serta penuntut pusat pengajian tinggi awam dan swasta.
Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan iaitu empat kategori utama iaitu Dokumentari Ilmiah Terbaik, Dokumentari Kesenian Terbaik, Dokumentari Alam Semula Jadi Terbaik dan Dokumentari Isu Semasa Terbaik.
Di antara empat pemenang itu, hanya satu yang akan diangkat sebagai pemenang Filem Dokumentari Terbaik FFM22 yang membawa pulang wang tunai RM10,000 dan Dana Penerbitan Dokumentari Finas.
Lima anugerah lain pula membawa pulang trofi dan wang tunai RM3,000 merangkumi Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Terbaik, Penyunting Terbaik dan Anugerah Khas Juri.
FDM’09 turut dihadiri Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang; Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong dan Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim.
INFO: Senarai pemenang Festival Dokumentari Malaysia 2009:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: