![]() |
| Jaclyn Victor |
KOTA KINABALU 6 Ogos – Filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad menepati ramalan apabila meraih kemenangan menerusi anugerah sulungnya dalam kategori Pelakon Harapan Wanita yang digondol penyanyi Jaclyn Victor pada Festival Filem Malaysia ke-22 di Centre Atrium 1 Borneo di sini semalam.
Dengan kemenangan itu, Jaclyn yang menewaskan empat lagi pesaingnya, Heliza Helmi, Zalina, Yasmin Khaniff dan Yuhana Yahya menggondol wang tunai RM10,000 dan trofi.
Hadiah-hadiah disampaikan kepada wakil Jaclyn oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Marsidi Manjun; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Wong Kam Hoon dan Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim.
Sebanyak sembilan lagi anugerah disampaikan pada Majlis Perasmian FFM22 termasuk kategori Filem Dokumentari Terbaik yang dimenangi filem Bumi Pribumi, Filem Pendek Terbaik (Permata Bonda), Filem Animasi Terbaik (My Telatori) dan Filem Digital Terbaik (Aathma).
Keempat-empat filem dan pemenangnya masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai RM15,000 dan trofi yang disampaikan kepada wakil masing-masing.
Sementara itu, Pelakon Harapan Lelaki diungguli Zahiril Adzim menerusi filem Kami The Movie, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Mohd. Hadziq (Syurga Cinta), Lagu Tema Asal Terbaik, Sayangku Di Sisimu (Jin Hutan) dan Poster Terbaik (Histeria).
Filem Geng: Pengembaraan Bermula dipilih memenangi Anugerah Filem Box-Office selepas mengaut kutipan tiket RM6.2 juta sewaktu ia ditayangkan di pawagam baru- baru ini iaitu yang tertinggi buat filem tempatan tahun ini.
FFM22 yang pertama kali diadakan di luar Semenanjung itu akan mengumumkan sekitar 20 anugerah utamanya termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik di Dewan Cancelor, Universiti Malaysia Sabah di sini, 8 Ogos ini bermula 8.30 malam.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: