
“Alhamdulillah, perasaan gementar yang saya rasai sebelum ini sudah selesai. Perkahwinan kali ini sudah tentu berbeza, kerana kali ini saya lebih matang, berbanding zaman remaja dulu. Kegagalan dulu, membuatkan saya lebih berhati-hati dan semestinya saya mahukan yang terbaik untuk perkahwinan kali ini. Saya tak sangka akan bertemu jodoh dengannya, kerana pertemuan kami memang tak dirancang.
“Hampir empat kali bertemu barulah ada jodoh. Kebetulan pula ketika itu kami pun sama-sama ‘single’. Apa pun saya gembira, kerana kami telah pun menjadi suami isteri dan semuanya berjalan dengan lancar,” kata Nonis yang ditemui sejurus selesai majlis pernikahannya yang berlangsung di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Jumaat malam lalu.
Jika sikap bertanggungjawab serta keikhlasan hati Rosman menerima Nonis dan anak-anaknya membuka pintu hati Nonis untuk kembali hidup berumah tangga, bagi Rosman pula, sikap keibuan dan lemah lembut yang ada pada diri Nonis membuatkannya terpikat untuk menyunting Nonis sebagai isteri.
“Kalau nak cari jodoh memang susah dan kami pun tak pernah rancang nak kahwin. Tapi Allah dah tentukan dan aturkan pertemuan kami hinggalah ke hari ini. Pada mulanya, saya tidak tahu Nonis ini adalah artis, kerana sebelum ini saya banyak habiskan masa di luar negara. Hinggalah pertemuan kami seterusnya, di sebuah majlis, dia membuat persembahan dan dari situlah kami berkenalan dengan lebih rapat,” kata Rosman yang tidak menghalang Nonis untuk meneruskan kariernya dalam bidang seni.
Pun begitu, masih ada syaratnya. Pinta Rosman, Nonis harus bijak menyesuaikan diri dalam lakonannya agar maruahnya sebagai orang kenamaan dijaga dengan baik. Malah Nonis sendiri akui hal itu dan akan lebih berhati-hati dengan segala tindak-tanduknya nanti.
Bertanyakan tentang cahaya mata, baik Nonis mahupun suaminya telah bersedia untuk menimang cahaya mata, meskipun sudah mempunyai anak dari perkahwinan dulu.
“Insya-Allah kalau ada rezeki, kami terima. Dalam perancangan, memanglah kami nak anak, sekurang-kurangnya seorang dulu, sebab kami pun dah ada ramai anak. Kalau dicampurkan, sudah ada lapan,” kata Nonis yang sudah mempunyai tiga orang anak, iaitu Naveer Nishon, 14, Nur Erysha Emyra, 9, dan Nazeer Danish setahun setengah.
Sementara itu, menyentuh destinasi berbulan madu pula, kemungkinan besar pasangan ini akan meraikan cinta mereka di benua Eropah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: