Friday, August 14, 2009

'Saya tak pernah kahwin'


AKTOR tinggi lampai, Farid Kamil, 28, bukan saja sentiasa meraih perhatian pengarah drama ataupun filem untuk jayakan sesuatu watak malah penampilannya di persada lakonan tempatan amat dinantikan oleh seluruh peminat setianya. Berbekalkan wajah kacak persis pelakon Korea, bakat serta kredibilitinya sebagai pelakon sukar dipertikaikan lagi.

Melihat sekali imbas pembabitannya sebagai insan seni, pelbagai watak sudah dilakonkan Farid seperti babak serius, romantik malah komedi juga tidak terkecuali. Sebagai pelakon, sudah tentu Farid boleh tersenyum bangga dengan pencapaiannya itu.

Namun, bagi seorang yang tidak pernah meletakkan kata noktah terhadap penerokaan ilmu, kata Farid, dia akan terus mencungkil pengetahuan dalam arena berkenaan agar menjadi pelakon disegani suatu hari nanti. Bagi Farid, sebagai seorang pelakon, tanda kepuasan itu perlu sentiasa dipertingkatkan setiap masa untuk membaiki kualiti lakonan.

Bagaimanapun, di kala namanya meraih perhatian, dia dihambat pula dengan permainan kontroversi yang berupaya menggugat kariernya sebagai pelakon.

Apatah lagi, belum selesai dengan isu rayuan filem arahan sulungnya, Remp-It V3 untuk menunggu kelulusan ditayangkan, Farid dikatakan pula pernah berkahwin sebelum ini dengan pelakon Ozlyn. Hasil dari perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki.

Kedua pihak tampil ke depan menafikan penularan gosip itu. Namun, ia kembali hangat selepas laporan RAP Harian Metro 28 Julai lalu, di mana Ozlyn ingin membetulkan kenyataan yang dia tidak pernah berkahwin dan tidak mahu mengulas lanjut berkaitan kehadiran budak lelaki berumur 5 tahun itu di sampingnya.

Berikutan itu, pelbagai spekulasi timbul apatah lagi dikatakan pula wajah anak lelaki itu persis rupa Farid. Ketika ditemui selepas majlis pelancaran dan doa selamat filem Semerah Cinta Stilleto, Farid tenang menjawab persoalan kontroversi itu biarpun ia sedikit sebanyak mencalar kredibilitinya sebagai pelakon.

"Semua berita yang tersebar di internet sama ada di blog atau sebagainya berkaitan dengan isu itu, saya tegaskan sekali lagi ia sama sekali tidak benar. Kalau dikatakan budak lelaki itu anak saya berdasarkan ciri wajah, langsung tidak boleh diterima akal.

"Bukankah dalam dunia ini, ada tujuh orang yang menyerupai kita? Jadi, mungkin budak lelaki itu adalah salah seorang yang mempunyai persis muka seperti saya.

Itu bukanlah satu perkara ganjil cuma ia digembar-gemburkan oleh pihak tertentu yang sengaja bertujuan menjatuhkan maruah serta kerjaya saya.

"Lagipun, saya tidak pernah berkahwin dengan sesiapa sebelum ini. Justeru, saya harap penjelasan kali ini akan menoktahkan segala tohmahan terhadap saya. Cukuplah dengan kebimbangan saya terhadap nasib Remp-It V3 dan tidak mahu merunsingkan pemikiran dengan perkara remeh begini."Sekiranya masih ada pihak yang mempertikaikan lagi, saya mahu mereka tampil dengan bukti kukuh dan bukan cuma kata kosong. Lagipun, Ozlyn sudah berkahwin dan meniti hidup bahagia bersama suaminya itu. Jadi, tidak eloklah disensasikan lagi cerita itu, cukuplah," jelas Farid.


Menyentuh mengenai nasib filem arahan sulungnya, beritahu Farid, ketika ini dia menunggu keputusan penuh dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas dua kali rayuannya kepada pihak Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) untuk dinilai ditolak.

Difahamkan hampir 60 peratus babak di dalam filem Remp-It V3 yang diterbitkan Metrowealth International Group (MIG) memaparkan aksi lumba haram dan samseng jalanan.

"Terkejut juga bila diberitahu Remp-It V3 diserahkan kepada KDN untuk dipantau dan membuat keputusan. Namun, saya akur dan jauh dari sudut hati mengharapkan ia dilepaskan pada suatu hari nanti. Lagipun, filem ini mempunyai mesej tersendiri yang memberi kesedaran bukan sahaja kepada pelumba haram tetapi juga pihak lain," katanya.

Berbalik kepada filem Semerah Cinta Stilleto, arahan Ahmad Idham, Farid diberi kepercayaan menjayakan watak Leto dan sekali lagi bergandingan dengan Lisa Surihani (Stila).

Filem ke-37 terbitan Metrowealth (MIG), mengenengahkan genre komedi romantik yang mengisahkan kehidupan antara dua keluarga berlainan status di mana Leto dibesarkan dalam keluarga serba sederhana manakala Stila hidup dengan penuh kemewahan.

Beritahu Farid, dia sudah bergandingan dengan Lisa buat kali keempat iaitu I'M Not Single, Remp-It V3, 3 Janda dan Lagenda Budak Setan. Justeru, kata Farid ia secara tidak langsung memudahkan corak kerja mereka.

"Saya sudah mengenali karakter Lisa dan suka bekerja dengannya. Bagi saya, dia seorang yang mudah memberi kerjasama dan tidak malu bertanya sekiranya tidak memahami sesuatu perkara. Rasa kekok pun sudah tiada dan ini amat menyenangkan bukan saja pada kami malah produksi," beritahu Farid.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: