Friday, August 21, 2009

Sambut Hari Kemerdekaan di Parlimen


RAIS menyampaikan Jalur Gemilang kepada seorang peniaga restoran, Lin Boi Eng di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Lokasi bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 yang sebelum ini dijadual diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditukar berikutan penularan wabak selesema babi (H1N1) yang semakin meningkat selain bagi menghormati bulan Ramadan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, upacara sambutan itu mungkin akan diadakan di tempat yang lebih kecil iaitu di pekarangan Parlimen.

"Kita mempunyai dua pilihan iaitu sama ada di pekarangan Parlimen atau di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad. Parlimen merupakan pilihan pertama kita memandangkan kawasan itu tidak pernah diadakan majlis seumpama ini.

"Tetapi, jika ada halangan, mungkin kita akan pilih untuk adakan di pekarangan Bangunan Sultan Abdul Samad," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran program MenjalurGemilangkan Kuala Lumpur 2009 di sini semalam.

Menurut Rais, kementeriannya telah membentangkan perkara itu kepada jemaah menteri serta mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan perhimpunan secara besar-besaran diadakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: