
KUALA TERENGGANU - "Saya hanya ingat mati sahaja apabila seorang lelaki warga Bangladesh mengacukan pistol ke kepala saya."
Itulah pengalaman ngeri seorang anggota polis, Lans Koperal Ariff Mohammad, 39, apabila dibelasah sekumpulan 15 lelaki Bangladesh yang kemudiannya merampas dan mengacu pistol ke kepalanya.
"Tuhan memang hendak panjangkan umur saya kerana rakan setugas yang berada di tempat kejadian, Konstabel Mohd. Nazrullah Mohd. Yusoff, 22, bertindak melepaskan tembakan rambang ke arah kumpulan lelaki itu.
"Akibatnya, dua daripada mereka cedera tetapi yang lain terus menyerang saya dan Mohd. Nazrullah," ceritanya.
Menceritakan insiden tersebut, Ariff berkata, kejadian berlaku semasa mereka menyiasat kegiatan curi besi di satu kawasan di Kampung Gemuroh, Tepuh, di sini pada pukul 9 malam kelmarin.
Katanya, ketika itu kira-kira 15 lelaki warga Bangladesh yang ditemui tiba-tiba bertindak ganas dengan menyerang mereka menggunakan kayu dan batu bata.
"Mereka berjaya merampas senjata saya dan ketika itu saya hanya ingatkan mati apabila diacukan pistol sendiri oleh lelaki Bangladesh itu.
"Dalam keadaan cemas itu, Mohd. Nazrullah menghalang mereka dan saya dapat meloloskan diri di kebun getah berhampiran tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: