
RAMAI yang mengakui membuat biskut lebih mudah daripada membuat sebiji kek. Ini mungkin disebabkan ramuan atau kaedah membuat biskut lebih ringkas dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja walaupun tidak mempunyai kemahiran.
Namun tanggapan tersebut belum cukup untuk membuktikan anda mampu menghasilkan biskut yang lazat, rangup dan kreatif.
Sebenarnya ada banyak cara untuk menghasilkan biskut yang enak. Antaranya mendapatkan resipi daripada bahan-bahan bacaan atau mencipta resipi mengikut cita rasa sendiri.
Bagi yang ingin mendapatkan rahsia bagaimana menghasilkan biskut yang digemari ramai, apa kata luangkan masa sehari pada 8 Ogos ini dengan menyertai Bengkel Biskut dan Tatt di Lam Soon Senai Complex, Jalan Cyber Utama, Kawasan Perindustrian Senai 111, Senai, Johor Bahru, Johor.
Bengkel anjuran akhbar Utusan Malaysia melalui sisipan Mega-Daisy Marjerin ini merupakan siri terakhir dalam bengkel penghasilan pastri. Program ini turut mendapat kerjasama daripada D Flowers Cake.
Bengkel yang akan dikendalikan secara teori dan praktikal ini menampilkan biskut Jacko rangup, biskut Collata Bombay yang diperkaya dengan perisa coklat pandan, manakala biskut Mahatma disaluti rasa badam. Ia disertakan dengan tiga resipi tart yang terhangat di pasaran iaitu tart mini buah-buahan segar, tart krim coklat berbadam serta tart keju mocha.
Kesemua resipi ini bukan sahaja sesuai disajikan untuk ahli keluarga malah ia boleh dijadikan produk jualan secara kecil-kecilan untuk menjana pendapatan keluarga.
Menurut tenaga pengajar, Zanifah Md.Nor, 41, sepanjang bengkel berlangsung setiap peserta akan dibimbing cara menghasilkan biskut yang lazat dan diajar menghias biskut.
"Biskut yang menarik bukan sahaja mempunyai daya penarik, malah boleh dijadikan bahan persembahan di dalam hamper atau cenderamata. Sayang sekali jika biskut lazat dipersembahkan dalam keadaan yang suram," ujarnya penuh makna.
Beliau yang mempunyai pengalaman lebih sepuluh tahun dalam menghasilkan biskut-biskut bercita rasa tinggi mengakui tidak rugi berkongsi rahsia dengan para peserta kerana mahu peserta turut memanfaatkan ilmu yang akan diperoleh kelak.
Sebelum ini, dua program yang sama iaitu Bengkel Roti dan Kek serta Bengkel Hias Mini Fondant yang diadakan di Shah Alam, Selangor juga mendapat sambutan hangat daripada para peserta yang datang dari seluruh negara.
Dengan yuran penyertaan sebanyak RM200 seorang, ia meliputi makan minum, sijil penyertaan, cenderamata dan hadiah untuk cabutan bertuah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: