Sunday, August 16, 2009

Polis tak dakwa lelaki tembak perompak


GAMBAR menunjukkan mayat salah seorang perompak yang ditembak mati oleh Augusto di Harlem, New York Khamis lalu.





SEORANG warga emas terlepas daripada sebarang pendakwaan walaupun dia menembak empat perompak di kedainya di Harlem, Amerika Syarikat (AS).

Warga emas itu, Charles Augusto yang berumur 72 tahun berada di dalam kedainya bersama dua pekerja apabila empat lelaki bersenjata berusia dalam lingkungan 20-an menyerbu masuk dan meminta wang pada Khamis lalu.

"Saya menyatakan kepada seorang perompak itu bahawa kami tiada wang dan anda hanya membazir masa merompak kami. Lebih baik anda pulang dan kita lupakan episod ini," kata Augusto.

Namun, katanya, tindakan salah seorang perompak itu yang mengacukan pistol ke arahnya memaksa dia mengeluarkan selaras senapang patah di bawah kaunter dan melepaskan beberapa das tembakan.

Tembakan Augusto mengenai keempat-empat lelaki tersebut menyebabkan dua terbunuh manakala dua lagi cedera parah.

"Saya meminta maaf kerana membunuh mereka tetapi saya tiada pilihan. Saya bukan hero. Saya merupakan hero jika berjaya memujuk mereka keluar dari kedai saya tanpa kecederaan," katanya.

Walaupun senapang patah Augusto tidak didaftarkan di New York, polis tidak akan mendakwa warga emas itu kerana undang-undang AS membenarkan seseorang individu menggunakan kekerasan melampau sekiranya nyawanya terancam.

Pemilik kedai itu kini dianggap sebagai wira oleh penduduk setempat kerana keberaniannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: