Tuesday, August 11, 2009

Percikan glamor


KAFTAN biru diberi sentuhan motif bunga berkilat menjadi pilihan Betty Banafe pada malam FFM22.

Selebriti bergaya sakan lintas permaidani merah Festival Filem Malaysia ke-22

KEHADIRAN lebih 600 delegasi terdiri daripada selebriti dan karyawan seni ke negeri yang menerima jolokan sebagai Negeri di Bawah Bayu, Sabtu lalu melakar satu sejarah baru dalam diari penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM).

Buat kali pertama, Sabah dipilih sebagai tuan rumah sekali gus melambangkan keterbukaan penggiat seni untuk berkongsi detik kemanisan dalam kerjaya mereka bersama masyarakat setempat.

Pemilihan Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai lokasi penganjuran acara berprestij itu memberi akses kepada masyarakat tempatan untuk merasai suasana sebenar festival, lantas menolak persepsi acara itu milik eksklusif masyarakat di Semenanjung Malaysia.

Penganjuran acara yang berlangsung dari 5 hingga 8 Ogos itu dijangka memberi cetusan idea baru kepada karyawan seni, di samping berkongsi pengalaman serta merangsang pelbagai ilham untuk mempertingkatkan karya produksi tempatan. Sesuai acara, FFM22 juga memperlihatkan suasana penuh gemilang sebuah perayaan hiburan apabila limpahan nama popular meniti permaidani merah.

Sorakan serta tepukan gemuruh pencinta seni yang menyambut kedatangan mereka di permaidani merah menjadi bukti kesungguhan serta usaha mereka mencipta gagasan seni tersendiri dihargai. Hip menyorot sebahagian daripada gaya selebriti yang hadir memeriahkan FFM22 di Kota Kinabalu, malam Sabtu lalu.

HELIZA (kiri) begitu anggun dalam busana ini. Jaclyn (kanan) memilih kebaya tradisional yang dipadankan dengan batik.

Lihatlah pelbagai gaya ditampilkan artis malam itu yang anggun dan glamor bersama gaun potongan moden yang sememangnya sesuai digayakan ke mana-mana acara anugerah. Bagaimanapun, penyanyi yang baru saja memenangi anugerah Pelakon Harapan Wanita, Jaclyn Victor, wajar dipuji apabila bergaya dengan kebaya pendek yang menjadi pakaian lambang kebanggaan masyarakat Melayu, meskipun Jaclyn lahir daripada kaum India.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: