
RIO DE JANEIRO - Dua pelancong Britain akan mengaku bersalah terhadap tuduhan mereka-reka cerita bahawa mereka dirompak ketika melawat Brazil, lapor sebuah akhbar semalam.
Peguam tertuduh berkata, dua pelancong itu yang merupakan lulusan undang-undang, Shanti Andrews dan Rebecca Turner yang masing-masing berumur 23 tahun membuat pengakuan sewaktu muncul buat kali pertama di sebuah mahkamah Brazil kelmarin.
Mereka terpaksa merengkok hampir seminggu dalam penjara selepas ditahan atas tuduhan cuba memalsukan tuntutan insurans.
Kesalahan itu boleh membawa hukuman maksimum lima tahun penjara.
Mereka dijadualkan akan dihadapkan sekali lagi ke mahkamah pada 17 Ogos ini.
Peguam mereka, Renato Tonini berkata, terdapat pelbagai bentuk hukuman yang mungkin dijatuhkan terhadap anak guamnya.
"Ia mungkin denda, ia mungkin khidmat sosial di England atau khidmat sosial di Brazil," kata Tonini.
Kedua-dua wanita itu membuat laporan palsu kepada polis Rio de Janeiro pada akhir lawatan mereka ke Brazil dengan mendakwa beberapa barang dirompak termasuk komputer riba, iPod dan kamera digital.
Siasatan kemudian mendapati barang-barang curi tersebut disembunyi di bawah katil asrama yang mereka sewa.
Kedua-dua mereka terpaksa menghabiskan masa selama hampir seminggu di dalam penjara kerana tuduhan cuba menipu.
Sejurus dibebaskan selepas membayar wang jaminan, pasangan tersebut menyatakan keadaan penjara sebagai 'neraka.'
Bagaimanapun, pasangan tersebut kelihatan tenang ketika dibicarakan di hadapan Hakim Flavio Itabaiana di sebuah mahkamah di Rio de Janeiro.
Ketika berada di mahkamah kelmarin, mereka tidak diminta untuk membuat pengakuan ketika dakwaan dibacakan menerusi seorang penterjemah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: