KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM876 juta dalam suku kedua yang berakhir pada 20 Jun 2009, keuntungan bersih suku tahunan tertinggi pernah dicatatkan oleh syarikat penerbangan nasional itu.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Idris Jala berkata, keuntungan ini mengimbangi kerugian bersih RM695 juta syarikat penerbangan itu dalam suku pertama, membawa kepada keuntungan bersih separuh pertama sebanyak RM181 juta.
Berikutan pemulihan harga minyak sejak 31 Mac, 2009, kerugian lindung nilai bahan api MAS sebanyak RM640 juta pada suku pertama telah bertukar dengan keuntungan RM1.3 bilion pada suku kedua.
Sejak permulaan tahun ini, syarikat penerbangan itu telah melaksanakan kempen jualan agresif untuk menangani krisis terburuk yang dihadapi industri.
Ia berjaya menambahkan faktor muatannya kepada 66 peratus dalam suku kedua, pertumbuhan dua angka sebanyak 10 peratus berbanding 56 peratus pada suku pertama.
Sebagai tindak balas kepada permintaan yang meningkat itu, dengan faktor muatan domestik naik sebanyak 69 peratus pada suku kedua, syarikat penerbangan nasional itu telah menaikkan kapasiti sebanyak enam peratus dengan menambah lebih banyak pesawat bagi sektor domestik.
MAS juga mencatatkan peningkatan faktor muatan yang besar bagi laluan antarabangsanya dengan muatan meningkat 11 peratus kepada 65 peratus berbanding 56 peratus dalam suku pertama.
"Kami menangani dengan baik krisis ini. Meskipun persekitaran operasi masih sukar, faktor muatan telah meningkat susulan daripada strategi agresif kami untuk meningkatkan jualan.
"Di pasaran domestik, lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan penerbangan kami," katanya pada sidang media di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: