Friday, August 21, 2009

Lebih 60 sajian lauk pauk


MANSOOR (kiri) dan Chef Wan pada majlis pelancaran buku Sajian Tradisi Bersama Chef Wan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


DALAM membuat persiapan Aidilfitri, ramai yang sibuk mencari pelbagai resipi untuk dijadikan sajian istimewa khusus untuk keluarga.

Jika anda inginkan kelainan di pagi hari raya tahun ini, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan buku Sajian Tradisi Bersama Chef Wan yang telah pun berada di pasaran pada bulan ini.

Penerbitan buku resipi ini merupakan salah satu inisiatif kebajikan tahunan Avon Cosmetics (M) Sdn. Bhd. yang dinamakan Ihsan Aidilfitri sempena bulan Ramadan.

"Program Ihsan Aidilfitri Avon Malaysia bermula sejak tahun 2004 dan setakat ini, kami telah berjaya mengumpul RM120,000. Jumlah ini telah diagihkan ke rumah-rumah anak yatim di seluruh Malaysia. Tahun ini, kami berhasrat mengutip RM30,000 untuk diderma kepada anak-anak yatim," kata Presiden Avon Malaysia, Thailand & Vietnam, Mansoor Wan Abdullah pada majlis pelancaran buku tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kerjasama antara Avon Cosmetics (M) Sdn. Bhd. dan Chef Wan bermula pada tahun lalu dengan terbitnya buku resipi Sajian Aidilfitri Bersama Chef Wan. Buku resipi itu menumpukan pada resipi kuih-muih sahaja.

Buku tersebut telah diiktiraf sebagai Buku Kutipan Amal Terbaik di Gourmand Award 2009 yang berlangsung di Paris, Perancis baru baru ini.

Tahun ini, usaha kebajikan itu diteruskan dengan penerbitan Sajian Tradisi Bersama Chef Wan yang mengandungi 60 resipi lauk-pauk dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia.

Antaranya ayam kuzi Kelantan, ikan keli lemak cili api Negeri Sembilan, sambal sotong peranakan Melaka dan gulai patin masak tempoyak Perak.

Selain itu, Chef Wan juga berkongsi resipi-resipi kesukaan beliau seperti sambal udang petai, sup kambing, kurma daging dan ayam masak merah. Resipi-resipi istimewa itu merupakan koleksi peribadi Chef Wan yang dikumpul sejak remaja ketika beliau mula menceburkan diri dalam bidang masakan.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak ke dapur atau ingin menambat hati suami dan ibu mertua, buku resipi ini pasti sesuai sebagai panduan untuk anda.

Sajian Tradisi Bersama Chef Wan boleh didapati di Butik Kecantikan Avon di seluruh negara mulai 16 Ogos lalu pada harga RM21.90 di Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak, RM25.20 setiap satu.

Hubungi wakil Avon anda, butik terdekat atau talian tol bebas Avon 1-800-22-AVON (2866).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: