Friday, August 7, 2009

Karyawan ajak beramal


FREDDIE (dua dari kanan) dan Alosuis (tengah) bersama anggota kumpulan Sons of Adam yang akan membuat persembahan sempena program amal anjuran Karyawan.

Kumpul dana bagi Real Foundation untuk anak yatim, insan kurang bernasib baik

PERSATUAN Karyawan Malaysia (Karyawan) menyambut baik usaha yang dilakukan Real Foundation dan Real Education Group yang akan menganjurkan persembahan amal sempena minggu Real One Malaysia Fun Weekand.

Program amal yang bertujuan mengumpul dana bagi Real Foundation untuk disalurkan kepada tabung pembelajaran anak-anak yatim dan kanak-kanak yang kurang bernasib baik sekitar ibu negara adalah usaha murni yang harus dicontohi semua pihak.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, pihaknya menganggap ia satu tanggungjawab sosial yang harus dipikul bersama.

“Bagi mewakili anak seni, Karyawan menyeru semua masyarakat dan anak seni sendiri untuk terbabit sama dengan menghadirkan diri bagi menjayakan program yang akan di adakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada Sabtu dan Ahad ini.

“Apa yang menarik sepanjang dua hari program ini diadakan, penganjur menyediakan pelbagai aktiviti yang boleh disertai semua masyarakat termasuk pelbagai hadiah untuk dibawa pulang.

“Antara aktivitinya seperti pameran, pertandingan bakat kanak-kanak, futsal, bazar makanan, pertunjukan jalanan, permainan dan yang ditunggu-tunggu adalah konsert kumpulan Alleycats dan Songs Of Adam.

“Saya yakin dengan tarikan utamanya iaitu konsert pada hari terakhir kerana pasti ramai yang sudah melupai kumpulan yang suatu masa lalu popular menerusi lagu Memori Luka, Songs of Adam dan Alleycats,” katanya yang turut di serta beberapa kumpulan indie yang akan membuat persembahan.

Menurut Freddie, disamping berhibur, orang ramai tidak terkecuali membantu mengisi tabung pembelajaran anak-anak yatim dengan kadar RM40 untuk memasuki ke tapak karnival itu.

“Kami mengharapkan kehadiran orang awam dan rakan artis untuk turut serta ke tapak karnival ini membantu insan yang kurang bernasib baik sekali gus menyokong saranan Perdana Menteri bagi merealisasikan 1Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projeknya, Alosius Alphonsus berkata acara hujung minggu ini bertujuan meraih sumbangan bagi pendidikan berkualiti kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Satu daripada perkara asas seorang kanak-kanak adalah untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna. Kadang kala kita tidak nampak keperluan itu, namun ramai yang tidak mampu mempunyai pendidikan yang bagus. Kita tidak hanya ingin memberi pengetahuan, malah kami menyokong nilai positif dan pembangunan kendiri.

“Real One Malaysia bertujuan membawa keluarga dan kanak-kanak menyokong Real Foundation memberi sumbangan untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan untuk kecemerlangan masa hadapan mereka.

“Real Foundation adalah agensi bukan kerajaan yang beroperasi dengan tujuan memberi kelainan kepada kanak-kanak melalui pendidikan. Kami juga pernah bekerjasama dengan Disney On Ice: Princess Wishes untuk tujuan amal. Kini kami memfokus kepada projek baru Real One Malysia Fun Weekend,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-20936905 atau melayari laman web www.realfoundation.org.my.

INFO: Program amal

  • Tarikh: 8 dan 9 Ogos 2009.

  • Tempat: Stadium Putra Bukit Jalil.

  • Tiket: RM40, RM60, RM80 dan RM200.

  • Konsert akan diadakan pada 9 Ogos bermula jam 3 petang dengan penampilan istimewa kumpulan Alleycats, Songs Of Adam dan empat band indie.

  • Juga terdapat persembahan seni mempertahan diri oleh JUMP kumpulan dari Korea yang memasukkan elemen komedi dalam pertunjukan mereka.

  • Mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Menteri Belia dan Sukan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Rakan Muda.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: