Thursday, August 13, 2009

Jiwa Hijau





Zainal Abidin gembira usahanya mengajak masyarakat menghargai alam sekitar mendapat kerjasama aktres jelita Maya Karin

TIDAK mudah mengajak masyarakat kita menghargai alam sekitar kerana rata-ratanya masih dangkal mengenai isu pemanasan global, kitar semula dan kempen hijau. Namun hakikat pahit itu tidak mematahkan semangat Zainal Abidin dan Maya Karin untuk terus berjuang kerana percaya suatu hari nanti usaha itu akan menjadi ikutan.

Biarpun aktres jelita Maya Karin mengakui pernah hampir mengibarkan bendera putih akibat kecewa kerana merasakan usahanya seakan sia-sia tetapi kesungguhan rakan seperjuangan seperti Zainal Abidin menyuntik kembali semangatnya.

Setakat ini juga ujar mereka, tiada lagi rakan artis yang menunjukkan minat terhadap isu alam sekitar. Jika ada yang ingin menunjukkan keprihatinan sekali pun, Zainal dan Maya berharap biarlah ia berlandaskan minat dan keikhlasan bukan untuk mencari populariti semata-mata.

Keprihatinan ditonjolkan Zainal dan Maya terhadap isu alam sekitar mendapat perhatian AOS Conventions & Events yang kemudiannya melamar kedua-dua artis ini menjadi duta untuk Konvensyen Perubahan Iklim 2010 yang akan berlangsung Mei depan di Langkawi.

Bercerita mengenai kesedaran terhadap isu alam sekitar, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Hijau ini berkata, kesedarannya mula timbul apabila dia tidak dapat menjalani kehidupan dengan persekitaran yang bersih sebagaimana 20 tahun dulu.

Maya Karin

“Dulu saya boleh mandi sungai di tanah kelahiran saya di Kampung Melayu Majidee, Johor dengan senang hati. Naik kereta tidak perlu pasang penghawa dingin kerana udara bersih. Kalau nak makan sayur, ambil saja di kebun, tidak perlu ke pasar.

“Keadaan itu berbeza sekali dengan sekarang. Nak dapatkan bekalan makanan, pergi saja ke pasar kemudian kita diberikan beg plastik yang sukar untuk pupus. Perkara macam inilah yang menyedarkan saya betapa pentingnya kita menjaga alam sekitar.

“Bagaimanapun, ramai di kalangan artis kita yang masih tidak mempunyai kesedaran itu. Kalau mereka ada kesedaran seperti ini, lebih mudah kami sama-sama berkempen supaya dapat membuka lagi minda masyarakat. Bagaimanapun saya amat terharu dengan kegigihan Maya Karin. Setakat ini dia satu-satunya artis yang saya lihat bersungguh-sungguh demi alam sekitar selepas saya,” kata Zainal yang akan menubuhkan Orkestra Simfoni Kitar Semula (Recycle Symphony Orchestra) sempena konvensyen berkenaan.

Zainal akan membimbing lebih 60 pelajar sekolah dari seluruh Pulau Langkawi dengan menggunakan peralatan muzik yang dikitar semula. Pencarian anggota simfoni itu katanya akan dimulakan Oktober nanti dan dia sendiri akan melatih pelajar yang terpilih menggunakan bahan terpakai sebagai alat muzik.

ZAINAL rancang tubuh Orkestra Simfoni Kitar Semula.

Latihan untuk membentuk simfoni itu kata Zainal akan dilakukan secepat mungkin selepas berjaya menemui calon sesuai. Sekiranya dia sempat melatih anggotanya, mereka akan mengadakan persembahan pertama pada konvensyen itu nanti. Mereka juga akan mengadakan persembahan di setiap negara yang menganjurkan konvensyen itu yang bakal menjadi aktiviti tahunan.

Wanita jelita berdarah kacukan Melayu - Jerman, Maya Karin Roelcke berkata, dia beruntung kerana dihantar bersekolah ke sebuah sekolah antarabangsa yang amat menitik beratkan mengenai penjagaan alam sekitar. Dari situ minatnya mula bercambah sehingga kini.

“Dalam jiwa saya amat tebal rasa cinta pada alam sekitar. Mungkin kerana saya belajar di sekolah yang amat mementingkan pemuliharaan alam sekitar, sikap itu juga lahir kerana sejak kecil saya sudah diasuh ibu bapa mengenai hal ini.

“Tak dinafikan kesedaran masyarakat kita masih lagi terlalu kurang, namun saya percaya satu hari nanti minda mereka akan terbuka. Eropah satu ketika dulu pun tidak menitik beratkan mengenai alam sekitar tetapi lama kelamaan mereka semakin sedar dan saya berharap perkara sama akan berlaku di sini.

“Saya mengaku pernah hampir putus asa sebab merasakan usaha saya seakan sia-sia tetapi lama-kelamaan saya boleh hadapinya. Memang setakat ini tak pernah lagi ada rakan artis menunjukkan minat tetapi itu hak mereka. Kalau ada yang tunjukkan minat, saya harap ia tidak dilakukan untuk raih populariti. Seperkara lagi, jika mereka hendak mengeluarkan fakta mengenai isu alam sekitar, kaji fakta itu dulu sebelum bercakap supaya tidak memalukan diri,” katanya.

Jika Zainal terbabit mewujudkan orkestra simfoni, Maya pula masih belum tahu peranannya dalam konvensyen itu nanti. Bagaimanapun, aktres itu berkata penyertaannya di dalam Projek Iklim Persidangan Asia Pasifik anjuran Yayasan Pemuliharaan Australia membuatkan dia lebih yakin untuk memberi ceramah di khalayak ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: