Skuad ini melawat 13 destinasi terpilih di seluruh negara dengan menaiki kereta Volkswagen bagi menyelamatkan penyu.
SETIAP kali memandang ke arah haiwan marin prasejarah iaitu penyu, pastinya ia memberi gambaran yang cukup menyeronokkan.
Bukan itu sahaja, haiwan ini turut mendapat perhatian umum setiap kali mendarat di pesisiran pantai untuk bertelur.
Ekoran bilangan penyu yang semakin diancam kepupusan, penyu telah diwartakan sebagai spesies haiwan yang dilindungi di bawah akta Perikanan 1985.
Haiwan yang dianggap istimewa ini didapati semakin berkurangan mendarat di pantai-pantai negara kita untuk singgah bertelur.
Menyedari hakikat itu, tiga gadis manis iaitu Grace Duraisingham, 26, Nelleisa Omar, 26, dan Chong Huey Meim, 29, mencapai kata sepakat untuk mengadakan kempen menyelamatkan penyu daripada terus 'dimamah' oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menurut mereka, aktiviti seperti ini dapat mendidik dan menimbulkan kesedaran kepada orang ramai agar melindungi penyu daripada ancaman kepupusan terutama kepada generasi muda yang tidak diberi pendedahan sepenuhnya mengenai habitat dan pembiakannya.
Menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan Telur Rangers, skuad tersebut memilih untuk melawat 13 destinasi terpilih di seluruh negara dengan menaiki kereta Volkswagen.
"Penjelajahan kami mempunyai misi tersendiri iaitu untuk mengumpul 100,000 tandatangan bagi menyelamatkan penyu. Antara destinasi yang dikunjungi adalah Perak, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Kelantan dan Melaka.
"Keseluruhan perjalanan mengambil masa selama 13 hari dan sepanjang jelajah ini, kami mengumpul sokongan orang ramai terhadap usaha-usaha memulihara keselamatan penyu yang kian pupus," jelas Nelleisa ketika ditemui Kosmo! di Tropicana City Mall, Damansara, Selangor baru-baru ini.
Dalam penjelajahan selama 13 hari yang berakhir pada Sabtu lalu, misi mereka hanya mencapai sasaran 7,000 tandatangan sahaja. Ia jauh daripada angka yang disasarkan. Namun begitu, mereka tidak berputus asa kerana menganggap ia adalah satu permulaan yang baik.
Mengulas lanjut, Nelleisa berkata, setiap tandatangan yang diterima dalam kempen ini akan menyumbang kepada pembentukan perundangan melindungi penyu di Malaysia.
Katanya, menerusi penggubalan undang-undang yang holistik dan komprehensif serta penguatkuasaan, kehidupan penyu boleh dilindungi.
Nelleisa juga berkata, sehingga kini undang-undang melindungi penyu belum mencukupi manakala perundangan persekutuan yang sedia ada agak terhad.
Ditanya pula, bagaimana timbulnya idea untuk menjelajah ke serata negeri semata-mata untuk menyelamatkan haiwan tersebut, Nelleisa memberitahu, ia bermula sejurus kejayaan yang dianjurkan oleh Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia iaitu kempen Egg=Life yang telah mendapat sokongan luar biasa daripada orang ramai.
Berikutan kejayaan itu, mereka bertiga merasakan sudah tiba masanya terutama golongan muda mengambil berat terhadap usaha-usaha pemuliharaan penyu dan ia boleh dilakukan dengan mendedahkan masyarakat berhubung bilangan penyu yang semakin merosot.
"Selepas ini, kami akan mendapatkan seberapa banyak tandatangan orang ramai untuk membanteras gejala haram mengambil telur penyu termasuk penjualan telur yang masih berleluasa serta penyeludupan telur penyu.
"Di samping itu, kami juga memberikan pengetahuan berkaitan penyu kepada seluruh penduduk kampung yang dilawati," beritahunya dengan penuh keyakinan.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Grace melahirkan rasa bangga apabila penglibatan mereka di dalam kempen ini mendapat perhatian daripada WWF yang bersedia untuk bekerjasama dalam menjayakan sesi penjelajahan itu.
Meskipun telah banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau agensi kerajaan mengambil berat berhubung masalah yang masih tiada penyelesaian ini, Telur Rangers merasakan inisiatif yang diambil itu mampu membantu dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemuliharaan penyu.
"Kalau kita lihat, memang kempen sebegini sering kali dilaung-laungkan. Tetapi sejauh manakah kesedaran masyarakat terhadap kempen tersebut dan adakah mereka tahu tahap kepupusan penyu semakin serius.
"Justeru, dalam masa yang sama, penjelajahan ini bertujuan menyebarkan maklumat penting berkaitan penyu," katanya yang juga merupakan kakitangan WWF.
Dalam pada itu, bilangan penyu yang mendarat di pantai negara ini terus merosot dan dianggap berada dalam keadaan membimbangkan.
Misalnya penyu Belimbing didapati mengalami kemerosotan paling teruk iaitu kira-kira 95 peratus berbanding 30 tahun lalu. Keadaan itu jelas berbeza sekitar tahun 1960-an sehingga pantai Rantau Abang, Terengganu menjadi terkenal di seluruh dunia sebagai kawasan pendaratan penyu spesies tersebut.
Selain itu, penyu jenis lain yang mendarat di negara ini seperti penyu Agar turut merosot sehingga 65 peratus manakala penyu Lipas dan penyu Karah pula berkurangan sebanyak 80 peratus.
Kemerosotan bilangan penyu mendarat di pantai-pantai negara ini telah menimbulkan pelbagai tanda tanya sekali gus mencetuskan persoalan yang menjadi punca masalah itu berlaku.
Mengikut kajian yang dijalankan, penyu merupakan antara haiwan yang paling sukar diselamatkan kerana ia begitu terdedah kepada bahaya sama ada faktor semula jadi ataupun manusia.
Menurut Pengurus Wilayah WWF Malaysia, P. Gangaram, kajian yang dijalankan mendapati tidak sampai satu peratus daripada anak penyu yang ditetas selamat setelah dilepaskan ke lautan.
Keadaan itu katanya, menyebabkan usaha menyelamatkan reptilia ini amat sukar dan bertambah rumit apabila angka kematian penyu meningkat akibat aktiviti manusia.
Bagaimanapun sehingga kini, belum ada bukti kukuh menunjukkan bahawa peningkatan kematian penyu berpunca daripada sesuatu sebab tertentu.
"Idea yang dicetuskan oleh Telur Rangers diharapkan menjadi tulang belakang kepada penganjuran lebih banyak kempen menyelamat penyu termasuk meraih sokongan padu orang ramai terhadap usaha menyelamatkan khazanah marin tersebut.
"Ini kerana kita perlu tahu, tujuan pemuliharaan penyu amat penting di sesebuah negara kerana ia mengekalkan sistem ekologi marin yang sihat.
"Banyak pulau di negara kita menjadi perhatian pelancong bukan semata-mata kerana kecantikan panoramanya, tetapi mereka turut tertarik untuk melihat penyu bertelur," ulasnya.
Menyedari pentingnya menyelamatkan reptilia ini, kerajaan kini berusaha mewujudkan lebih banyak pusat penetasan telur penyu dengan harapan dapat meningkatkan bilangannya.
Namun terdapat banyak halangan yang menyebabkan usaha yang dijalankan menjadi rumit. Selain faktor kurangnya kesedaran orang ramai, usaha seperti ini masih agak terbatas dengan pelbagai faktor termasuk amalan hidup individu itu sendiri.
Seperti yang kita ketahui, penduduk sekitar pantai tempat di mana terdapat penyu bertelur masih mengamalkan sikap mengambil telur-telur penyu. Sekiranya perkara ini terus berleluasa maka nasib haiwan tersebut akan terus terancam.
Selain itu, penjualan telur penyu di pasar-pasar tertentu di negeri Pantai Timur masih berlaku dan ini sepatutnya sudah lama dihentikan demi kesinambungan kehidupan penyu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: