![]() |
| Iqbal Mazlan |
RAMAI yang terkejut apabila Muhammad Iqbal Mazlan, 20, diumumkan sebagai juara Pilih Kasih, sebuah program realiti terbitan bersama Suhan Movies dan RTM Ahad lalu.
Terkejut kerana peserta ini mendapat SMS tercorot daripada penonton tetapi Rosyam Nor menggunakan kuasanya untuk memilih dia sebagai pemenang.
Ini bermakna Iqbal ditolak oleh orang di luar sana dan dalam erti kata lain dia bukan pelakon yang mereka cari.
Berdasarkan kepada peraturan rancangan realiti itu, 50 peratus undian adalah daripada penonton sementra 50 peratus lagi terletak pada bidang kuasa Rosyam. Ramai yang mempersoalkan kenapa Rosyam memilih Iqbal sedangkan beberapa nama lain dilihat lebih “jantan” dalam Pilih Kasih.
Ada yang berkata Iqbal agak “lembik” untuk menjadi seorang hero filem. Kenapa dia harus menang?
“Dia ada kelebihan yang orang lain tak nampak,” begitulah kata Rosyam apabila diminta pandangannya dalam isu tersebut. Dalam masa yang sama Iqbal sendiri turut tertanya-tanya apakah faktor yang membuatkan dia terpilih sebagai juara?
Sedangkan dia melihat tiga peserta lain iaitu Sofian Bujang, Wanina Zaki dan Zulin Aziz lebih berpotensi dalam rancangan itu. Sebaliknya Iqbal akan buktikan dia bukanlah hero lembik seperti yang diperkatakan orang.
“Mungkin penonton belum nampak bakat saya,” katanya kepada NIEZAM ABDULLAH.
Tahniah Iqbal kerana menang Pilih Kasih. Ada apa-apa yang nak komen?
IQBAL: Sampai sekarang saya masih kabur. Tak sangka menang. Saya juga tak percaya kenapa Rosyam pilih saya sedangkan undian saya paling bawah. Saya tertanya-tanya perkara itu.
Apakah kekuatan yang Iqbal rasa membuatkan terpilih sebagai juara?
Mungkin dia percaya kepada disiplin saya. Tapi kalau nak suruh saya ukur tentang diri saya, saya pun tak tahu macam mana tahap disiplin saya selama ini. Yang penting sepanjang program itu saya tak banyak merungut. Saya buat saja apa yang orang suruh.
Tapi Iqbal sedar atau tidak yang Iqbal sebenarnya ditolak oleh penonton?
Saya sedar yang dia orang tidak mencari saya. Sebab itu saya tidak dapat undi yang baik daripada penonton. Sebenarnya dia orang tak nampak kebolehan saya mungkin pengalaman mereka agak terbatas. Tetapi pandangan Abang Rosyam sebaliknya. Dia pelakon yang berpengalaman. Pemilihan saya ditentukan oleh dia. Mungkin ciri-ciri pelakon itu ada pada saya tapi orang lain tak nampak. Dia saja yang tahu.
Tetapi kita perlu juga meyakinkan penonton. Sebabnya mereka akan bayar tiket wayang untuk melihat bakat kita.
Memang betul pun. Tapi dalam hal ini tak boleh nak nilai bakat saya dalam tempoh beberapa bulan saja. Dengan kemenangan itu saya akan buktikan bahawa saya boleh jadi pelakon yang baik. Bukan hero lembik yang mereka katakan. Kenalah beri peluang pada saya.
Anda tak takut menjadi pelakon yang awal-awal lagi sudah ditolak peminat?
Tidak! Selama ni saya sanggup bersabar sejak berada di dalam Pilih Kasih sehingga kadang-kala tahap kesabaran saya diuji. Saya pun tak pernah nak harap bila keluar Pilih Kasih saya akan terus jadi bintang popular ataupun menunggu untuk dapat anugerah. Tumpuan utama saya nak belajar dan dapat banyak ruang dalam dunia seni. Jadi saya rasa buat apa saya nak takut terhadap peminat.
Adakah anda merasakan anda seorang hero filem?
Banyak benda yang tak sempurna dalam hidup saya ini. Bakat saya perlu diasah supaya saya boleh berjaya macam orang lain tapi pada mata Rosyam mungkin dia fikir saya boleh menjadi seorang hero.
Bukan apa ada yang berkata ciri-ciri hero itu tak ada pada Iqbal. Persepsi orang Iqbal ni hero lembik. Apa Iqbal nak cakap?
Mungkin masa dalam Pilih Kasih saya tak dapat watak yang betul-betul kuat supaya orang nampak saya ini hero sebenar. Tapi tak apa, bagilah masa untuk saya buktikan saya ni bukan hero seperti yang dimaksudkan itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: