Friday, August 28, 2009

Ikon 1Malaysia



MAJLIS penyerahan DVD dan VCD 'Sudirman One Thousand Million Smiles' disaksikan Rosmah, Farid, Johan dan Hermond Cheng (kiri).

Penampilan Sudirman di pentas sentiasa diterima baik peminat pelbagai kaum

PEMERGIAN Penghibur No 1 tanah air, Sudirman Arshad, 17 tahun lalu masih belum ada galang gantinya. Bukan tiada yang cuba menjadi seperti Sudirman tetapi mereka ternyata gagal menandingi kehebatan penyanyi yang kembali ke Rahmatullah pada 22 Februari 1992 itu.

Semangat patriotik yang cukup menebal ditonjolkan dalam setiap persembahan ketika hayatnya membuatkan Allahyarham begitu istimewa pada pandangan mata peminat. Dia tidak mengamalkan sikap diskriminasi, setiap kaum dilayan sama rata. Semangat itu jarang dimiliki penyanyi generasi baru sekarang.

Cintanya pada negara begitu jelas sehingga Allahyarham menganjurkan konsert bertemakan patriotik yang juga konsert terakhir sebelum beliau pada 9 Mac 1991 di Melaka. Konsert berkenaan bagaimanapun tidak pernah disiarkan oleh mana-mana stesen TV.

Justeru, sempena Hari Kemerdekaan ke-52 yang disambut Isnin ini, TV3 mengambil peluang itu menyiarkan konsert Sudirman: One Thousand Million Smiles kepada penontonnya pada jam 10 pagi.

Idea menyiarkan konsert yang sudah berada dalam simpanan seorang sahabat baik Allahyarham sejak 18 tahun itu timbul apabila Pengerusi Eksekutif Media Prima Berhad (MPB), Datuk Johan Jaafar menyedari penjualan VCD konsert berkenaan di pasaran. Beliau berasakan konsert itu wajar dipertontonkan kepada umum kerana nilai 1Malaysia begitu menebal dalam konsert berkenaan, bersesuaian dengan konsep diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

GAMBAR kenangan Sudirman bersama Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Jaafar Onn pada 1982 (kiri). KERAP tampil dengan baju bercorak Jalur Gemilang

Menurutnya, rakaman konsert berkenaan dibuat untuk tujuan simpanan peribadi menyebabkan kualiti konsert selama lebih satu jam itu kurang baik, tetapi syarikat rakaman EMI sedaya upaya mencantikkan audio serta visual konsert itu supaya dapat ditonton peminat Allahyarham.

"Semua orang tahu Allahyarham Sudirman penyanyi berbakat. Pada 1991, beliau pernah mengadakan konsert sempena Kemerdekaan tetapi konsert itu belum pernah disiarkan di mana-mana. Sungguhpun produksi konsert berkenaan bukan dibuat untuk televisyen, justeru kualiti gambar dan audionya agak kurang memuaskan. Namun konsert itu perlu juga ditayangkan kerana mesej yang dibawakan Allahyarham amat sesuai bersempena dengan hari Kemerdekaan," katanya pada sidang media mengenai tayangan konsert berkenaan.

Majlis sidang media itu disaksikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Farid Ridzuan; Pengurus Besar, EMI Records Malaysia, Hermond Cheng dan kakak Allahyarham, Datin Rodziah Arshad.

Sementara itu, Rosmah pula berkata, semangat patriotik ditonjolkan penyanyi itu melayakkannya diangkat sebagai Ikon 1Malaysia dalam bidang nyanyian atau kesenian sekiranya Allahyarham masih hidup.

Beliau juga berkata, generasi muda wajar menghayati lagu-lagu dendangan Allahyarham yang sarat dengan mesej berguna supaya mereka lebih menghargai erti kemerdekaan.

"Kalau beliau masih ada, mungkin beliau adalah Ikon 1Malaysia. Namun sayangnya beliau pergi terlebih dulu sebelum konsep 1Malaysia diperkenalkan lagi, malah konsep itu sudah diterapkan beliau sejak lama dulu," kata Rosmah yang juga penaung program Bersamamu TV3.

VCD serta DVD konsert berkenaan yang kini diedarkan Warner Music Malaysia, berada di pasaran sejak Julai lalu. Hasil daripada penjualannya akan dimasukkan ke Tabung Bersamamu TV3.

Sementara itu, Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad berkata, mereka tidak menyangka konsert Sudirman mengundang minat TV3 untuk menyiarkannya di kaca televisyen kerana ketika VCD serta DVD itu dicetak, mereka berasakan ia hanya akan bertahan di rak kedai saja.

Bagaimanapun dengan inisiatif TV3, beliau percaya sedikit sebanyak dapat membantu penjualan VCD serta DVD berkenaan yang sudah pun dicetak sebanyak 1,500 unit bagi cetakan pertama. Sekiranya permintaan memberangsangkan, mereka berhasrat untuk mengulang cetak konsert berkenaan.

"Konsert ini sebenarnya dirakam seorang sahabat Allahyarham untuk simpanan peribadi. Beliau merakamkannya menerusi VHS kerana sebelum ini beliau tidak berniat untuk menjual konsert itu kepada sesiapa. Tetapi apabila Perdana Menteri melaungkan konsep 1Malaysia, beliau tampil kepada kami kerana berasakan konsert itu wajar dipertontonkan kepada umum kerana nilai-nilai patriotisme yang cukup menebal.

"Kami berasakan ia satu idea baik yang boleh dijadikan khazanah negara, jadi kami mencari syarikat produksi yang masih mempunyai sistem VHS untuk membersihkan rakaman yang sudah berusia belasan tahun itu.

"Banyak juga proses pembersihan yang perlu dilakukan untuk mencantikkan lagi audio dan visual konsert itu. Secara purata hampir sebulan setengah proses pembersihan dilakukan. Walaupun kita mengedarkan VCD dan DVD konsert itu, tetapi hak miliknya masih lagi menjadi milik Saudara Usaha Dagang iaitu syarikat rakan baik Allahyarham," katanya.

Konsert One Thousand Million Smiles cukup istimewa kerana selain menyampaikan lagu patriotik, Allahyarhm turut menyanyikan lagu daripada pelbagai bahasa diiringi dengan persembahan gerak tari cukup menarik yang turut dijayakan peminat pelbagai bangsa ketika Allahyarham menyampaikan lagu Kantonis dan Tamil yang begitu kuat melambangkan konsep 1Malaysia.

Antara lagu yang didendangkan pada konsert berkenaan ialah Kenali Malaysia Cintai Malaysia, Tegakkan Bendera Kita, 31 Ogos, Bapak, Warisan, I'm A Singer (Kantonis), Puthiya Vaanam, Milik Siapakah Gadis Ini, One Thousand Million Smiles dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: