Thursday, August 13, 2009

Hilangnya seri American Idol


SENYUMAN dan bicara lembut Paula tidak dapat lagi dinikmati oleh pengikut dan peminat setia American Idol selepas ini.


SEMUANYA bermula pada tahun 2002 apabila stesen televisyen Fox menerbitkan sebuah rancangan pencarian bakat baru yang telah mencetus revolusi baru penerbitan rancangan televisyen di Hollywood.

Diadaptasi daripada konsep rancangan Pop Idol dari Britain, rancangan yang diberi nama American Idol itu menjadi satu fenomena baru dalam sekelip mata.

Konsep kedua-dua rancangan itu adalah sama iaitu mencari bakat-bakat baru dalam bidang nyanyian yang mampu diangkat ke peringkat lebih tinggi sekali gus untuk dijadikan sebagai bintang ternama dunia.

Mahu atau tidak, tiga figura yang mengemudikan rancangan tersebut sebagai juri tetap iaitu Randy Jackson, Paula Abdul dan Simon Cowell juga merupakan faktor kejayaan luar biasa rancangan realiti itu.

Mengapa ia jadi begitu hebat? Ini disebabkan kerenah dan pendapat yang diberikan mereka saban minggu bermula dari peringkat uji bakat sehinggalah ke peringkat akhir sememangnya mencuri perhatian.

Ketiga-tiga mereka memiliki personaliti yang tersendiri dan berjaya mencipta kelompok peminat masing-masing.

Randy merupakan seorang yang cool dan cukup terkenal dengan istilah 'dawg' yang saban minggu terpacul dari mulutnya.

Berbanding Randy, Simon pula cukup terkenal dengan kelancangannya dalam memberikan komen kepada setiap peserta sehingga dilabelkan sebagai juri bermulut jahat dan tidak berhati perut.

Satu-satunya 'bunga' dalam rancangan tersebut, Paula pula lebih selesa untuk memilih jalan tengah dengan memberikan komen yang berlapik dan beralas.

Biarpun dikritik hebat kerana dikatakan sering berlembut dalam memberikan komen selain dikatakan merapu, Paula tetap berdiri teguh selama lapan musim American Idol bersiaran.

Gelagatnya yang ceria dan sentiasa tersenyum terutama sekali apabila disakat dan diusik oleh Simon sememangnya mencuri perhatian.

Malah kerana keakraban mereka itu jugalah, mereka dikatakan mempunyai hubungan istimewa di luar set namun dinafikan sekeras-kerasnya oleh mereka berdua.

Bukan itu sahaja, dek kerana kelantangan Simon itu jugalah berkali-kali Paula menyuarakan hasrat untuk meninggalkan rancangan tersebut.

Kata Paula, Simon seharusnya memberikan semangat dan perangsang kepada peserta untuk mereka lakukan yang terbaik dan bukannya merencatkan keyakinan mereka yang bertanding untuk bergelar juara.

Jelasnya lagi, Simon seolah-olah langsung tidak memikirkan serta menjadi hati dan perasaan peserta dan keluarga mereka.

Namun, Simon membidas kenyataan Paula dengan mengatakan ia sifat semula jadinya yang suka berterus-terang demi kebaikan peserta rancangan tersebut dalam usaha membantu mereka mencari arah tuju dalam bidang muzik.

Akhirnya, mimpi bertukar realiti apabila Paula mengumumkan bahawa dia tidak akan kembali lagi sebagai juri tetap American Idol untuk musim kesembilan tahun depan.

Sedangkan sebelum ini Simon yang disebut-sebut akan meninggalkan rancangan yang paling ramai ditonton di dunia itu.

Memang benar. Ia adalah satu kebenaran yang sungguh sukar untuk ditelan kerana Paula, Simon dan Randy serta pengacaranya, Ryan Seacrest telah mencipta American Idol sebagai satu produk yang cukup berkuasa.

Mungkin ramai yang menganggap pemergian Paula adalah satu tindakan yang tepat dan bijak kerana dikatakan sudah tidak lagi relevan dengan rancangan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, pada mula American Idol dimulakan dan mengumumkan Paula sebagai salah seorang jurinya, ramai juga yang mempertikaikan kredibilitinya dalam bidang seni terutamanya nyanyian.

Kata mereka, Paula yang cukup popular dengan lagu Rush, Rush dan Promise Of A New Day ini tidak layak untuk bergelar juri memandangkan kejayaannya dalam bidang nyanyian tidak begitu menyerlah biarpun dia seorang penari dan koreografer yang tiada tandingan.

Bukan itu sahaja, tindakan Paula yang sering mengungkapkan frasa "America loves you!", "You're authentic!" atau "It wasn't your best performance," juga telah mengundang rasa bosan dan jelik bagi pengikut setia rancangan itu.

Hakikatnya, Paula atau nama sebenarnya Paula Julie Abdul telah memberi satu nafas baru dalam rancangan tersebut dengan gaya dan karakternya yang tersendiri.

Adakah dia peduli dengan kata-kata orang selama lapan musim menduduki kerusi juri tetap? Mungkin ya dan mungkin tidak. Jika dia mengambil serius dengan kritikan negatif, mustahil untuk dia bertahan sehingga lapan musim.

Keputusan Paula yang berdarah Syria Yahudi (sebelah bapa) dan Yahudi (sebelah ibu) meninggalkan rancangan itu juga telah menimbulkan pelbagai spekulasi.

Antaranya apabila dia dikatakan kurang bersetuju dan tidak berpuas hati apabila pihak Fox mahu menampilkan kelainan dengan memperkenalkan juri keempat oleh Kara DioGuardi tahun lalu.

Paula dikatakan sedikit cemburu dengan Kara yang akan terus dikekalkan sebagai juri tahun depan biarpun dia menafikan khabar angin tersebut.

Bukan itu sahaja, Paula juga mahu bayarannya digandakan kepada AS$20 juta (RM70 juta) jika mahukannya kembali untuk musim kesembilan.

Permintaan Paula itu dikatakan terlalu tinggi dan tidak munasabah. Tetapi, jika difikirkan kembali, tidak mustahil untuk Paula meminta bayaran yang tinggi kerana selama lapan musim dia menerima bayarannya yang sama sahaja iaitu AS$5 juta (RM17.5 juta).

Selepas rundingan itu gagal, Fox akhirnya melepaskan Paula yang kemudiannya diumumkan oleh pengurus Paula, David Sonenberg dalam satu temu bual dengan Los Angeles Times.

"Ya, perkara ini terlalu berat untuk dikatakan. Paula tidak akan kembali untuk musim kesembilan atas sebab-sebab tertentu," katanya.

Sejurus selepas itu, di laman rangkaian sosial Twitter, Paula mengucapkan terima kasih kepada peminatnya yang banyak menyokongnya selama lapan musim bersama American Idol.

"Saya terharu dengan ucapan kalian yang secara terang-terangan menunjukkan keikhlasan, kasih sayang dan sokongan terhadap saya.

"Kalau bukan kerana anda, tidak mungkin untuk saya meneruskan perjalanan saya. Semoga Tuhan merahmati kalian!" katanya dalam nada terharu.

Kontroversi juga tidak pernah lekang daripada dirinya sewaktu bersama American Idol apabila dia didakwa mempunyai hubungan sulit dengan salam seorang peserta musim kedua, Corey Clark.

Tidak cukup dengan itu, ada ketikanya Paula juga dikatakan di bawah pengaruh dadah apabila aksi-aksinya menimbulkan keraguan sedangkan ketika itu dia menerima rawatan kerana sakit tulang belakangnya.

Yang pasti, American Idol akan meninggalkan seribu kenangan buat Paula baik yang pahit mahupun manis.

Biarpun rancangan itu tidak lagi menggunakan khidmatnya, tawaran dan rezeki untuk Paula tetap mencurah-curah.

Terbaru, dia dikatakan menjadi pilihan stesen televisyen ABC yang mahu menggunakan khidmatnya sebagai koregrafer dan juri untuk musim terbaru So You Think You Can Dance.

Tiada sebarang pengesahan tentang berita tersebut tetapi Paula dikatakan berminat dengan tawaran itu dan mungkin akan menerimanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: