![]() |
| PELAKON dan penyanyi terkenal Awie dan Farid Kamil turut membuat persembahan dalam FFM kali ini. |
Festival Filem Malaysia ke 22 (FFM-22) yang diadakan di Kota Kinabalu pada 5 hingga 8 Ogos lalu dilihat mencari perubahan apabila penganjurannya diadakan di Sabah.
Buat pertama kalinya dalam sejarah FFM itu sendiri, ia diadakan di luar Semenanjung dengan harapan untuk membawa satu perubahan kepada anak-anak seni terutama bagi mereka yang terlibat dalam bidang lakonan.
Dalam masa yang sama ia juga bertujuan memberi peluang kepada masyarakat di Sabah dalam menghargai industri perfileman negara yang bermula sejak zaman filem hitam putih lagi.
Penganjuran FFM-22 yang bertemakan Filem Malaysia ke Persada Dunia bertujuan mengorak langkah baru bagi memastikan filem-filem kita tidak hanya popular di negara sendiri sahaja.
Sudah tibalah masanya untuk kita melakukan sesuatu bagi memastikan filem-filem tempatan bukan sahaja mampu memenangi anugerah tetapi mampu bersaing di pasaran antarabangsa.
Bagaimanapun hasrat itu tidak akan terlaksana jika usaha daripada karyawan tempatan tidak dilakukan dengan gigih.
Ini terbukti FFM-22 yang sudah berlalu minggu lalu bagaikan satu destinasi makan angin oleh kebanyakan artis dan sambutannya diambil dingin. Kerajaan memperuntukan kira-kira RM2.8 juta penganjuran festival kali ini tetapi sayangnya ia tidak mendapat sokongan daripada kalangan artis-artis itu sendiri. Ini kerana pelakon-pelakon kita terlalu sibuk mencari wang.
Memang benar wang itu segala-galanya tetapi apakah ertinya jika festival yang diadakan untuk mengangkat kerjaya mereka sendiri itu tidak mendapat sokongan?
Ini kerana sepanjang berlangsung FFM-22, tidak nampak kelibat artis-artis popular. Yang ada hanyalah artis-artis veteran dan nama-nama baru dalam persada seni.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Malam Anugerah FFM-22, Ahmad Puad Onah kecewa dengan perkara itu dan turut mencadangkan artis-artis yang mengesahkan kehadiran tetapi membatalkannya pada saat-saat akhir dikenakan denda RM1,000 sebagai ganti rugi.
Perkara itu memperlihatkan betapa artis-artis kita tidak pernah serius dalam meraikan sesuatu perkara yang amat bermakna terhadap kerjaya mereka. Kalau begitulah komitmennya, bagaimanakah kita mahu mengangkat karya dan bakat masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi?
Bagaimanakah hendak mempromosikan sesebuah filem itu jika orang muda tidak memberi sokongan sedangkan pada hari ini kekuatan sesebuah filem itu terletak kepada orang muda sebagai daya penariknya.
Pada masa hadapan adalah wajar Finas memberi syarat semua syarikat produksi wajib menghentikan penggambaran filem masing-masing ketika FFM dianjurkan. Calon-calon yang bertanding menerusi FFM-22 kali ini kebanyakannya nama-nama baru.
Persaingannya tidak begitu sengit terutamanya bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Pembantu Lelaki Terbaik dan Pembantu Wanita terbaik.
Nama-nama seperti Nabila Huda, Nadia Mustafar, Liyana Jasmay, Sharifah Amani, Heliza Helmi, Scha, Norkhiriah, Nas T, Indi Nadarajah dan Mohd. Shafie Naswip adalah bintang-bintang yang sedang meningkat.
Sementara pemilihan Afdlin Shauki sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Papadom bukanlah luar biasa kerana pengarah ini dilihat mampu menghasilkan satu karya bermutu untuk tatapan penonton.
Selain kemenangan itu, Afdlin dan Papadom turut merangkul Filem Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik (Liyana Jasmay), Cerita Asal Terbaik dan Skor Muzik Terbaik. Afdlin juga turut merangkul kemenangan peribadi lain menerusi filem Los Dan Faun menerusi filem Komedi Terbaik yang pertama kali diperkenalkan.
Selain Papadom, filem Talentine yang memperoleh 11 pencalonan iaitu jumlah tertinggi turut bersaing sengit.
Bagaimanapun Talentime hanya memperoleh lima anugerah daripada 11 kategori pencalonan termasuklah Pengarah Terbaik dan lakon Layar Terbaik milik Allahyarham Yasmin Ahmad.
Afdlin Shauki
"Ini merupakan kejayaan pertama saya untuk Filem Terbaik. Sebelum ni saya hanya menang Pelakon Terbaik menerusi filem Suara Hati dan Buli. Walaupun Papadom akan ditayangkan pada bulan Oktober akan datang saya yakin kemenangan ini adakah kerana hubungan kekeluargaan yang ditekankan. Nilai-nilai kasih sayang merupakan kekuatan filem ini."
Liyana Jasmay
"Saya tidak menyangka akan menang kerana pengalaman saya masih baru. Lagipun saya melihat Nabila Huda juga menunjukkan mutu lakonan yang bagus dalam Bohsia. Cuma saya rasa agak tertekan dengan kemenangan ini kerana bimbang mungkin harapan orang akan menggunung tinggi terhadap saya pada masa akan datang. Bukan apa, saya bimbang gagal untuk melakukannya."
Salina Saibi
"Pesaing saya ialah Vanidah Imran. Dia adalah pelakon yang hebat dan memenangi banyak anugerah. Kemenangan saya ini adalah satu mimpi. Kekuatan watak Amy dalam Bohsia antara faktor yang saya rasakan berjaya menambat hati para juri."

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: