Tuesday, August 11, 2009

Farid Kamil matang dalam romantis

Farid memegang Stiletto yang dipakai oleh Lisa.

FARID Kamil sering dipilih produser-produser filem untuk berlakon dalam filem atau komedi romantis.

Wajah kacaknya, ditambah keserasiannya bergandingan dengan sesiapa aktres memudahkan kerja produser.

Hakikatnya, sifat romantis jejaka berusia 27 tahun ini memudahkan dia menggarap sesuatu watak seterusnya menjiwai watak romantis tertentu dengan mudah.

Sifat romantis Farid ini begitu teserlah apabila perspektifnya tentang cinta itu dikupas sedikit demi sedikit.

Umum mengetahui, Farid tidak ingin menyentuh tentang soal cintanya dengan seorang aktres remaja jelita dalam mana-mana temuramah.

Telah berbau bagai embacang orangnya ialah Diana Danielle yang baru-baru ini telah selesai menjalani Program Latihan Khidmat Negara bersama Aliff dan Suki.

Jika boleh, skrip percintaannya dengan Diana Danielle hanya untuk tatapan personal dan tidak ditayangkan di mana-mana pawagam.

Percintaan bagi Farid-Diana bukan bermakna selalu berkepit dan sentiasa bersama 24/7.

Katakan ia adalah suatu jodoh - perasaan saling menyayangi itu hadir tanpa dipaksa.

Perasaan itu hadir walaupun pasangan bercinta itu berjauhan antara satu sama lain.

Dan setiap individu memberi ruang untuk pasangannya mengembangkan potensi diri, baik dalam kerjaya mahupun pelajaran.

"Saya memang menggalakkan dia (Diana) belajar, malah belajar setinggi yang mungkin. Kecemerlangan dalam pelajaran dapat menjamin masa depannya," kata Farid sambil cuba mengelak terpaan soalan panas itu.

Bukankah itu romantis? Cinta itu tidak dilambangkan dengan jambakan bunga-bungaan serta hadiah cincin bertatah berlian.

Yang penting bagi Farid ialah pasangannya berjaya dalam hidupnya kelak.

Walaupun dipisahkan beribu-ribu batu sekalipun oleh samudera terbentang luas, Farid percaya hatinya tetap bertaut dengan Diana sekiranya masing-masing dijodohkan bersama.

Sifat romantis Farid dikesan sewaktu ditemui semasa pelancaran filem 'Semerah Cinta Stilleto' di Restoran Lemon, Mines Shopping Centre, semalam.

Bukan sebab dia memegang watak lelaki, 'Leto' dalam filem genre romantik komedi ini, tetapi pandangan bernasnya terhadap isu cinta.

Filem 'Semerah Cinta Stilleto' adalah filem ke-37 terbitan Metrowealth (MIG).

Malah Farid cukup profesional dalam kerja-kerja lakonan walaupun dia pernah dikaitkan berpacaran dengan pelakon wanita filem yang sama, Lisa Surihani.

Kesemua itu ditepiskannya kerana Farid beranggapan gandingannya bersama Lisa adalah bagi mewujudkan 'chemistry' (keserasian) dalam waktu singkat oleh produser filem.

Barisan pelakon dan kru semasa pelancaran filem 'Semerah Cinta Stilleto' di Restoran Lemon, Mines Shopping Centre, semalam.

"Ia adalah chemistry baru yang cuba diketengahkan pengarah filem, David Teo. Saya serasi berlakon dengannya (Lisa). Ia adalah gandingan biasa oleh mana-mana produser untuk capai box office," katanya.

Farid berkata, dia telah bergandingan dengan Lisa buat kali keempat dan filem yang ketiga bersama-sama. SINOPSIS

Semerah Cinta Stilleto mengisahkan kehidupan bahagia Siti Laila atau Stila (Lisa Surihani).

Stila dilahirkan dan dibesarkan dalam kemewahan dan segala yang dihajati akan ditunaikan oleh kedua-dua ibu bapanya.

Dia juga seorang remaja perempuan yang cantik, masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka di ibu kota.

Leto (Farid Kamil) pula seorang pemuda yang hidup dalam keadaan serba sederhana.

Bekerja sebagai penjual ikan di pasar borong dan tinggal di flat murah berhadapan kawasan banglo mewah keluarga Stila.

Pertemuan Stila dan Leto bermula apabila ibu Stila iaitu Datin Fairuz ke pasar membeli ikan untuk dimasak bagi menyambut kedatangan teman lelaki Stila iaitu Raymond ke rumah.

Kejadian tidak disangka berlaku. Pergaduhan besar tercetus antara penjual ikan di pasar sehingga memaksa Datin Fairuz membatalkan niat untuk membeli ikan.

Di situlah, Leto terpandang dan tertawan dengan keayuan Stila. Dalam kejadian itu juga, Leto dibuang kerja.

Pada malam pertemuan Stila dan Raymond, Stila telah cuba digoda dan dinodai Raymond.

Stila lari dan berjalan seorang diri sehingga bertemu Leto dan kawannya Yani (Cat Farish).

Yani sebelum ini setiap hari mengganggu Stila untuk membalas dendam, tetapi mangsanya adalah Leto.

Stila menendang punggung Leto sehingga berdarah dengan menggunakan stilletonya.

Yani yang terkenal dengan sikap nakalnya telah membawa Leto mencuri kasut untuk dijual.

Kebetulan semula, rumah yang dicuri itu adalah rumah banglo keluarga Stila.

Kehilangan stiletto telah mengundang rasa sedih Datin Fairuz dan membuatkan Stila berasa bersalah dan berusaha untuk mendapatkan sepasang lagi stiletto.

Pertemuan semula dengan Leto telah membantu Stila untuk mendapatkan semula kasutnya.

Dalam tempoh pencarian stilletto itu, Stila terserempak ibunya bermesra bersama dengan lelaki lain tanpa rasa malu.

Melihat sikap acuh tak acuh bapanya, Datuk Azahar akan tinggah laku isterinya, Stila mengikut Leto pulang.

Stila tidak tinggal di rumah kerana berasa kecewa dan sedih.

Di rumah Leto, Stila telah bertemu dengan erti kesempurnaan hidup.

Namun, hubungan Stila dan Leto mendapat tentangan dari keluarga Stila dan keraguan kedua ibu bapa Leto.

Dapatkah Stila mendapatkan stilettonya semula?

Apakah reaksi Stila terhadap segala tindakan keluarganya? Dan bagaimanakah kesudahan perhubungan antara Stila dan Leto?

Segalanya terjawab dalam filem "Semerah Cinta Stiletto" terbitan ke-37 MIG production arahan Ahmad Idham.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: