![]() |
| NAZMI (kiri), Aznil dan Din Beramboi bersama sebahagian daripada peserta Aznil & Din Beramboi Riuh Sana Sini sewaktu majlis pelancaran kempen itu di ibu negara, baru-baru ini. |
KETUA Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin menerusi artikel Format Suria FM ditiru? dalam ruangan Hits Utusan Malaysia yang disiarkan pada 17 Julai lalu mendakwa format yang diperkenalkan oleh Suria FM telah dicedok oleh sebuah stesen radio popular.
Menyedari keadaan itu, dengan pantas Suria FM menukar formatnya daripada 40 minit muzik terbaik tanpa henti yang dipegang selama ini kepada 50 minit muzik terbaik tanpa henti.
Dalam kenyataannya, Engku Emran hanya memberi bayangan stesen radio yang meniru format stesen radionya merupakan sebuah stesen yang paling ramai pendengar.
Biarpun tidak memberitahu nama stesen radio berkenaan tapi setelah diselidiki, radio yang dimaksudkan adalah Era FM.
Agak mengejutkan apabila perkara sebegini timbul. Apatah lagi ia melibatkan Era FM, stesen radio paling popular di Malaysia dan kedengaran agak mustahil apabila Era FM dikatakan cuba meniru konsep stesen radio yang baru hendak merangkak dan mencipta populariti.
Masakan tidak. Sudah lebih sedekad lamanya Era FM memegang takhta sebagai radio nombor satu negara dan pastinya, radio berkenaan mempunyai strategi sendiri untuk terus mengukuhkan kedudukannya di puncak teratas.
Persoalannya, apakah benar dakwaan berkenaan?
Turut menjadi persoalan, apakah ia sekali gus membuktikan Era sudah kehilangan idea dalam memikat pendengar untuk terus setia bersama radio di bawah naungan AMP Radio Networks milik Astro itu?
Sewaktu bertemu dengan Pengurus Rancangan Era FM, Nazmi Noran di majlis pelancaran Aznil & Din Beramboi Riuh Sana Sini di KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia hanya memberikan sekuntum senyuman sinis sahaja.
"Saya ada satu soalan sahaja. Betulkah kami meniru format stesen radio itu? Bila saya dengar dakwaan itu, saya hanya mampu tersenyum.
"Untuk makluman, bukan Era FM sahaja tetapi semua radio di bawah naungan AMP Radio Networks telah menggunakan format muzik tanpa henti sejak ditubuhkan pada tahun 1997. Cuma kami tidak pernah menguar-uarkannya sahaja sewaktu ke udara.
"Jadi, apabila ada dakwaan mengatakan Era FM meniru format radio lain, sejauh manakah kebenaran dakwaan itu? Mana buktinya?" kata Nazmi tenang dalam nada tegas.
Antara radio naungan AMP Radio Networks yang menggunakan format muzik tanpa henti adalah radio Lite FM menerusi segmen Stress Free 40 sejak dua tahun lalu sebelum ditukar menjadi 9 In A Row.
Begitu juga dengan Hitz.FM yang memperkenalkan segmen 7 In A Row dan AD Free 60 yang menampilkan muzik selama satu jam tanpa iklan.
Berhubung dengan dakwaan yang dilemparkan kepada pihaknya, Nazmi memberitahu, ia langsung tidak meninggalkan sebarang impak kerana dia percaya setiap idea itu boleh dikongsi oleh semua pihak.
Tetapi, ia terletak dan bergantung kepada kreativiti seseorang itu bagaimana hendak merealisasikan idea itu untuk menjadikannya lebih menarik.
"Itu yang sering kami lakukan untuk memantapkan lagi program radio kami. Semua itu adalah untuk memberikan kepuasan kepada pendengar setia kami selain daripada mengumpul pendengar baru.
bijak menilai
"Kami juga tidak melihat kemunculan stesen radio baru sebagai pencabar sebaliknya kami mahu bersaing dengan sihat. Masyarakat kini mempunyai sudah bijak menilai untuk mencari dan menikmati hiburan selain daripada radio.
"Jadi, semuanya terpulang kepada stesen radio itu untuk mencari idea-idea dan strategi baru untuk terus memperkasakan kedudukan masing-masing di dalam industri," katanya panjang lebar.
Untuk itu, Nazmi tidak menafikan pihaknya kini sedang mencari dan melatih bakat-bakat baru untuk diserapkan menjadi penyampai radio stesen radio itu.
Tetapi, itu bukan bermakna dia tidak berpuas hati dengan prestasi penyampai radio yang sedia ada dan bersiap sedia untuk merombak barisan kabinetnya sekarang.
Cuma katanya, adalah sebagai salah satu langkah persediaan untuk di masa hadapan. "Saya menerima resume hampir setiap hari daripada mereka yang mahu menjadi penyampai radio Era. Saya percaya kita ada ramai yang mempunyai bakat untuk dijadikan sebagai penyampai radio," ujarnya lagi.
Buat masa ini barisan penyampai radio Era FM ialah Aznil Nawawi, Din Beramboi, Nana, Reza, Dina, Adi, Burn, Cham, Ray dan Rizal.
Mengalih bicara kepada kempen Aznil & Din Beramboi Riuh Sana Sini pula, Nazmi menjelaskan, kempen yang bermula sejak 27 Julai lalu itu diperkenalkan semula berikutan kemajuan dan perkembangan teknologi moden hari ini yang dilihat dapat membantu melancarkan kempen tersebut.
Sebelum ini, Era FM pernah menganjurkan kempen yang sama sekitar empat tahun lalu yang diberi nama K&K yang membabitkan penyampai radionya ketika itu, Khairil Rashid dan Kieran.
"Kita lihat zaman semakin maju dan apa sahaja yang dilakukan semuanya di hujung jari sahaja. Dengan impak itu, kami begitu optimis dan yakin bahawa kempen ini akan berlangsung dengan jayanya.
"Malah, dengan hampir 1,000 penyertaan yang kami terima sejak ia dibuka pada 13 Julai lalu membuatkan kami teruja dengan kempen baru ini dalam usaha untuk terus memberikan habuan dan ganjaran buat pendengar setia kami yang tidak pernah jemu menyokong," tuturnya bersemangat.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: