Wednesday, August 12, 2009

Dunia tari Sabrina


SEJAK bujang, Sabrina Ali Dad Khan, 29, menjalani kehidupan tenang tanpa kontroversi menghantui diri. Sehinggalah dia mendirikan rumah tangga dengan Mohd Shahrin Abdul Halim, 38, pada 21 Mei 2006, tidak pernah sekali dirinya disapa gosip panas.

Kerjaya seninya ditangani dengan baik kerana itulah janji Sabrina kepada ibunya, Zaitun Mohd Haslam ketika dia memilih menjadi anak seni untuk tidak meletakkan dirinya sebagai sasaran gosip.

"Impian saya untuk menjadi penari profesional, tetapi tidak kesampaian jadi apabila mama membenarkan menceburi dunia lakonan, saya perlu menjaga kepercayaan diberikan mama dengan baik.

"Mulanya mama menemani saya ke lokasi, lama-kelamaan dia tak larat menunggu saya habis berlakon sehingga dinihari.

"Mama pun tengok saya tidak menyalahgunakan peluang yang diberi dan sudah faham jadual kerja saya, barulah mama berani melepaskan saya bersendirian. Selain menjaga nama baik mama, saya juga perlu menjaga nama baik bapa saudara yang juga adik mama, Datuk Yusof Haslam.

"Meskipun saya anak bongsu daripada tiga beradik, saya berdikari kerana ayah dan mama bercerai ketika saya dan dua abang masih kecil. Mama membesarkan kami sendirian dan keadaan itu membuatkan kami berdikari sejak kecil hingga sekarang.

"Walaupun bergelar pelakon, setiap apa yang ingin dilakukan ada hadnya. Menjadi pelakon bukanlah tiket kebebasan mutlak untuk saya. Dalam melayari kehidupan sebagai anak seni, Pak Cik Yusof banyak memberi panduan dan tunjuk ajar.

"Pada masa sama, saya juga banyak bertanya dengan Pak Cik Yusof. Awalnya memang dia dan mama bimbang melepaskan saya berlakon kerana waktu itu keluarga kami tiada yang jadi pelakon dan dia tahu bidang ini macam mana," katanya.

"Kerjaya seni saya pun bukan bermula dengan Skop Productions, tetapi dengan GBSB (Grand Brilliance Sdn Bhd) menerusi drama Lady Anne dengan memegang watak utama," katanya.

Kini selepas bergelar isteri, kehidupannya tambah bahagia dengan kelahiran cahaya mata sulung, Ariyana, 2. Berumah tangga membuatkan Sabrina sibuk menguruskan suami dan anak serta terus terhindar daripada cerita yang tidak baik.

"Kami tiada pembantu rumah, segala urusan rumah tangga dan menjaga Ariyana, kami lakukan sendiri. Sejak dalam pantang sehinggalah Ariyana besar kami bergilir menjaganya. "Mujurlah saya dan Shahrin bekerja sambilan jadi jika Shahrin sibuk dengan syarikat pengurusan acaranya, saya akan bercuti daripada berlakon untuk menjaga Ariyana.


"Apabila Shahrin tidak sibuk barulah saya ambil tawaran berlakon. Selagi terdaya kami akan uruskan segala-galanya sendiri kerana tidak percayakan pembantu rumah. Ketika melahirkan Ariyana, saya bercuti hampir setahun dan menjaga pantang sendiri dibantu Shahrin. Saya bersalin menerusi pembedahan jadi tidak boleh terus bekerja.

"Jika saya hendak menambah bilangan ahli keluarga, saya akan membuat perkara sama dengan bercuti panjang kerana anak menyusu badan. Puas melihat Ariyana membesar depan mata dan dia adalah 'nyawa' saya," katanya.

Pertengahan bulan ini Sabrina ke Jakarta menjalani penggambaran drama bersiri Kau dan Aku. Selama dua minggu di sana, dia ditemani Shahrin dan Ariyana.

Sabrina yang masih mencintai tarian, diberi watak sebagai guru tari dalam drama itu. Malah dalam kebanyakan drama lakonannya yang lain termasuk dalam pementasan teater Tun Mamat & Mimpi Tuanku di Panggung Negara Kuala Lumpur, baru-baru ini, dia juga menari.

Kemunculannya dalam teater karya Datuk Noordin Hassan, Mana Setanggi, yang dipentaskan di Istana Budaya, tempoh hari pun dia menari.

"Seronok berlakon teater kerana dapat berlakon dan menari dengan bebas tanpa mendengar jeritan 'cut' pengarah. Saya rasa sebagai pelakon perlu ada pelbagai kemahiran termasuk menyanyi dan menari agar mudah mengembangkan bakat. Saya suka menari sejak sekolah sehinggalah menjejakkan kaki ke kolej.

"Tetapi tiada rezeki untuk berkecimpung secara serius dalam bidang tarian. Untuk membuka sekolah tarian pun tidak kerana tiada kelulusan formal dalam bidang itu. Ia semua cerita lama. Pun begitu saya tidak menyesal kerana masih dapat menari ketika berlakon drama dan teater.

"Malah sangat bersyukur dengan apa yang Allah berikan kerana Dia lebih tahu apa yang baik buat hamba-Nya. Sekarang saya berjaya dalam bidang lakonan dengan tawaran tidak pernah putus. Namun, kerana tanggungjawab terhadap keluarga lebih besar dan tidak mahu membebankan diri, saya hadkan mengambil satu tawaran pada satu-satu masa. Watak pun kena bersesuaian status sekarang," katanya.

Sabrina juga baru muncul dalam Dilema Wanita musim baru dan dia sangat menyukai watak perempuan gemuk yang dibawanya dalam drama itu. Dia menjadi isteri kepada Norman Hakim yang tidak tahu jaga badan.

"Dalam drama itu Norman belayar selama enam bulan dan apabila balik, dia tengok isterinya gemuk gedempol dan langsung tidak mahu menjaga penampilannya. Kemudian si suami pergi belayar semula dan beberapa bulan selepas itu dapat surat cerai, tetapi ketika itu saya sudah berjaya kuruskan badan.

"Kelakar sangat watak itu. Dari segi watak, saya puas membawakan pelbagai watak daripada pelajar kolej, penari dan ibu tiri yang garang. Tetapi dari segi persembahan watak, setiap waktu masih banyak yang perlu dibaiki untuk menjadi lebih baik," katanya.

Imbas kembali kemunculan sulungnya di layar kaca menerusi drama Lady Anne, dia sama sekali tidak menyangka GBSB memberi kepercayaan kepadanya membawakan watak utama sebagai Lady Anne. Sebaik tamat kolej dia bekerja sambilan di Starbuck dan kemudian di pusat penjagaan kesihatan Philips Wain di Damansara.

"Pernah juga minta kerja di Jabatan Perhubungan Awam TV3 dan kenallah beberapa orang di sana. Ketika bekerja di Philips Wain, saya dengar GBSB mencari wanita Melayu berdarah kacukan Inggeris untuk watak Lady Anne. Waktu itu saya tidaklah begitu berminat sangat untuk berlakon, tetapi saya pergi juga ke GBSB.

"Apabila Jalena Rejab tengok saya terus dia mahu saya pegang watak Lady Anne. Terkejut dibuatnya kerana ia watak utama dan saya belum pernah berlakon. Kalau ada asas lakonan pun cuma pernah berlakon teater Inggeris di kolej dulu. Kalau watak sebagai penari, senanglah sikit.

"Saya berlakon juga drama itu dan ketika ia disiarkan pada raya kedua di TV3, kebetulan saya dan mama beraya di rumah Pak Cik Yusof. Mereka semua menonton drama itu dan sedih tengok lakonan saya. Menyaksikan persembahan saya dalam drama itu, mereka yakin saya boleh jadi pelakon yang baik dan terus memberi galakan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: