![]() |
| KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (kiri) dan isteri, Datin Seri Asmah Abd. Rahman (kanan) turut hadir memeriahkan majlis resepsi Rosman dan Nonis. |
HAKIKATNYA, untuk memegang gelaran ibu tunggal memerlukan kesabaran dan ketabahan yang bukan sedikit.
Apatah lagi, jika gelaran itu dipegang oleh artis mahupun selebriti yang pasti dugaannya cukup hebat apabila ditohmah dan dicerca dengan kata-kata nista orang sekeliling.
Begitulah diibaratkan dengan dramatis terkenal, Datin Noniswara Baharudin yang baru sahaja melangsungkan perkahwinannya malam Jumaat lalu dengan sang arjuna yang diharapkan mampu membahagiakannya sehingga ke akhir hayat.
Sejak bergelar ibu tunggal hampir tiga tahun lalu, nama Noniswara atau lebih mesra disapa Nonis tidak pernah terlepas daripada menjadi mangsa gosip apabila dikaitkan dengan lelaki khususnya yang berpangkat dan memiliki gelaran tinggi.
Maklumlah, wanita secantik Nonis siapa yang tidak mahu mencuba untuk mendekati dan merapati tetapi hanya lelaki yang benar-benar jujur dan ikhlas sahaja yang dinginkan Nonis.
Lantas apabila sudah diijabkabulkan dengan Datuk Rosman Ridzwan yang menjadi belahan jiwa Nonis kini, tiada lain yang mampu dilafazkan Nonis melainkan memanjatkan rasa syukurnya ke hadrat Ilahi.
Dan, pilihan Nonis untuk perkahwinan keduanya ini juga bukanlah suami orang atau lelaki bujang tetapi seorang duda beranak lima sesuai dengan status Nonis.
Kebahagiaan
Malah, Nonis tidak dapat menyembunyikan perasaan gemuruh dan debarannya saat menantikan waktu untuk bergelar isteri meskipun pernah berkahwin sebelum ini.
"Alhamdulillah. Saya gembira dan teruja kerana perancangan untuk perkahwinan ini untuk beberapa bulan ini semuanya berjalan dengan lancar.
"Saya hanya mengharapkan kebahagiaan yang berkekalan sehingga ke akhir hayat menerusi perkahwinan kedua saya ini.
"Insya-Allah, saya akan lunaskan tanggungjawab saya sebaik mungkin sebagai seorang isteri dan ibu," ujar wanita berusia 39 tahun ini penuh gembira.
Nonis berkata demikian sewaktu ditemui seusai majlis pernikahannya yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu.
Pelakon yang mencipta nama menerusi drama bersiri Bukan Ku Pinta bersama penyanyi cilik, Siti Musliha satu ketika dulu itu sah menjadi isteri Rosman yang juga Pengerusi U Mobile hanya dengan sekali lafaz sahaja.
Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Abdul Malik Salleh dengan mas kahwin RM317 tunai dengan berwalikan adik Nonis, Bani Uzair Baharudin.
Bagaimanapun, ketika ditanya tentang wang hantaran yang diterimanya, dengan sekuntum senyum dan sambil memandang suaminya, Nonis enggan mendedahkannya.
"Kami mengambil keputusan untuk tidak memberitahu kepada umum kerana bimbang dikatakan riak. Cukuplah saya katakan, sekeping hati dan cinta yang tulus dan murni sudah cukup membuatkan saya bahagia," katanya dalam nada berkias.
Tiada beza
Nonis yang anggun mengenakan kebaya moden putih rekaan Amir Luqman pada malam itu menerima tujuh dulang hantaran yang dihias indah dengan mawar putih.
Antara barangan yang diterima Nonis adalah sepasang sepatu hitam rekaan Jimmy Choo, tas tangan berjenama Chanel, wangian dan kosmetik dari jenama Annick Goutal, sirih junjung, cincin, coklat dan kek.
Sebagai balasan, pihak pengantin lelaki menerima sembilan dulang hantaran yang terdiri daripada senaskah al-Quran, sepasang kasut berjenama Salvatore Ferragamo, wangian Van Cleeps & Arpels, jam tangan Frank Muller, kemeja selain coklat, kek dan sirih junjung.
Menjadi isteri kepada seorang tokoh korporat dalam bidang komunikasi jelas Nonis, tidak banyak bezanya kerana sebagai artis dia sudah biasa dengan kehidupan seperti itu sementelah kekerapannya menghadiri majlis-majlis korporat sebelum ini.
"Begitu juga dengan gelaran Datin yang pada saya tidak akan membezakan kehidupan saya selepas ini. Cuma, saya akan lebih berhati-hati dan menjaga nama baik serta maruah suami," katanya bersungguh.
Diminta untuk menceritakan detik perkenalan mereka, sambil ketawa Nonis memberitahu, semuanya berlaku dengan tidak disangka-sangka.
Semuanya bermula apabila mereka saling berpandangan sebanyak empat kali dalam empat situasi berbeza hampir tiga tahun lalu.
Bibit-bibit cinta
Memang benarlah kata pepatah Melayu lama, dari mata turun ke jiwa dan begitulah diibaratkan dengan Nonis dan Rosman.
Masing-masing mula mengenali antara satu sama lain apabila bertemu di rumah bapa Nonis, Baharudin M.Y. yang juga pelukis terkenal.
Kebetulan ketika itu, bapa Nonis dan Rosman sedang mengadakan rundingan perniagaan.
Bermula detik itu, bibit-bibit cinta mula terbit di hati masing-masing dan menjadi semakin rapat sejak dua tahun yang lalu.
Rosman dengan penuh jujur pula mengakui, dia memang tidak tahu status Nonis sebagai seorang artis memandangkan dia banyak menghabiskan masa di luar negara.
Tetapi, semuanya terjawab apabila dia menghadiri sebuah majlis anjuran Persatuan Karyawan dan pada ketika itu Nonis turut menghadirinya dan menyanyi di majlis itu.
"Pertemuan saya dengan Nonis semuanya ditentukan oleh Allah dan inilah yang dinamakan takdir. Kalau mahu cari pengganti memang susah tetapi jalan itu dibuka apabila bertemu dengan Nonis.
"Saya juga masih sedang menyesuaikan diri kerana saya tahu apabila berkahwin dengan artis, tempias glamor itu terkena juga kepada kita.
"Malah, saya juga mengizinkan Nonis berlakon selepas ini kerana itu adalah bidangnya tetapi dia kena faham dan tahu membahagikan tugasnya," ujar Rosman yang kelihatan cukup segak dan tampan biarpun usianya sudah menjangkau lima dekad.
Berbicara tentang cahaya mata pula, Rosman dan Nonis tidak akan menolaknya seandainya Allah mahu memberikan mereka rezeki untuk menimang cahaya mata.
"Kalau boleh dapat seorang atau dua orang pun sudah memadai. Tetapi, semuanya bergantung kepada rezeki," kata Nonis sambil dipersetujui Rosman.
Menerusi perkahwinan pertama, Nonis dan Rosman masing-masing dikurniakan dengan tiga dan lima orang anak.
Pasangan ideal ini juga memberitahu mereka hanya akan berbulan madu di Eropah selepas Aidilfitri nanti memandangkan kedua-duanya sibuk dengan komitmen masing-masing.
Sehari selepas majlis pernikahan mereka, satu majlis resepsi telah diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara dengan dihadiri lebih daripada 1,000 orang tetamu termasuk orang kenamaan, teman artis dan ahli keluarga dua belah pihak.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: