Thursday, August 27, 2009

Dapat hidayah


SELEPAS kejayaan filem Ayat-Ayat Cinta (AAC) yang di adaptasi daripada novel karya Habiburahman Syirazi sebelum ini, kini industri perfileman Indonesia begitu 'teruja' dengan penerbitan filem bergenre keagamaan.

Terbaru, pastinya Ketika Cinta Bertasbih (KCB).

Masih setia mengetengahkan karya Habiburrahman, KCB juga menerima penerimaan baik kaki wayang di negara jiran itu.

Bahkan, promosinya di wilayah Aceh, baru-baru ini menunjukkan betapa karya berkenaan berjaya mencuri tumpuan penonton tempatan.

Mengisahkan watak utamanya, Abdullah Khairul Azzam lakonan Cholidi Asadil Alam sebagai seorang pemuda tampan dan bijak berusia 28 tahun dari satu desa di Jawa Tengah. Dari kecil, Azzam sudah menunjukkan budi pekerti yang baik dan berjaya dalam pelajaran.

Atas usaha gigihnya, Azzam memperoleh biasiswa untuk belajar di Universiti Al Azhar, Mesir.

Setahun menjadi mahasiswa di universiti berprestij itu, Azzam berjaya dalam pelajarannya. Namun, kejayaan itu tidak dapat dikongsi bersama bapa tersayang.

Ayahnya menyahut panggilan Ilahi dan sejak itu, Azzam menjadi ketua keluarga kerana dia anak sulung.

Azzam terpaksa bekerja sambil belajar untuk menghantar wang perbelanjaan kepada keluarganya di kampung. Pemuda ini terpaksa menjual bakso dan tempe.

Selama sembilan tahun di Mesir, kuliahnya belum juga dapat diselesaikan.

Bahkan, Azzam turut bekerja sambilan di Kedutaan Indonesia. Suatu hari, Azzam bertemu dengan anak gadis duta bernama Eliana Pramesthi Alam lakonan aktres jelita, Alice Norin.Eliana seorang gadis yang memiliki paras rupa yang cantik dan pernah mendapat tawaran berlakon filem produksi dari Hollywood serta sinetron di Jakarta.


Justeru, berlandaskan keayuan dan kebijaksanaan, Azzam menaruh hati secara diam terhadap Eliana.

Dalam masa sama, pemandu kepada duta, Pak Ali menyimpan impian menjodohkan Azzam dengan gadis bernama Anna Althafunnisa lakonan Oki Setiana Dewi.

Anna gadis bijak dan solehah yang belajar di Kuliyyatul Banaat Al Azhar dan suka berjilbab.

Walaupun tidak bersua dengan Anna, tetapi Azzam juga menyimpan perasaan pada gadis itu kerana terpikat dengan kesopanannya.

Justeru, wujud percintaan tiga segi antara Azzam, Eliana dan Anna.

Di antara kedua gadis itu, siapakah menjadi pilihan Azzam?

Sementara itu, Ayyatul Husna, adik Azzam yang sering mengirim berita dari kampung, membawa khabar gembira kepadanya kerana sudah mendapat kerja.

Jadi Azzam tidak perlu lagi mengirim wang belanja untuk keluarga dan boleh meneruskan kuliahnya hingga tamat.

Bertitik tolak daripada sinopsis ini, aktres Meyda Sefira yang membawa watak Ayyatul Husna berkata sekalipun masih mengetengahkan genre keagamaan, tetapi jalan cerita KBC nyata berbeza dengan AAC.

Katanya, KBC lebih kepada kisah kekeluargaan.

"Sekalipun tidak dapat lari daripada elemen cinta, namun garapannya cukup indah. Saya pasti sesiapa yang sudah menonton filem ini akan terhibur kerana ia sarat dengan mesej berguna mengenai agama, keluarga dan cinta. Jadi, yang mana harus diutamakan?

"Terus-terang, saya akui seronok dapat membintangi KBC. Banyak saya pelajari daripada filem ini dan lebih menarik lagi apabila sudah membaca novelnya.

"Ia penulisan yang cukup puitis dan menggambarkan betapa agama Islam itu indah dan mudah difahami.

"Malah, paling seronok apabila diri terasa sangat dekat dengan Tuhan. Hinggakan, saya yang pada asalnya tidak menghafal Al-Quran sebelum ini, sudah dapat melakukannya. Hati saya kini sangat tenang dan boleh dikatakan lebih mendalami agama," katanya.

Dilahirkan di Bandung, Indonesia, Meyda Sefira berkata dia sangat bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan hidayah kepadanya.

Menurut gadis comel ini lagi, dia tidak pernah menyangka bahawa kini dirinya mampu menjadi lebih baik.

Katanya lagi, pelakon lain juga banyak membantunya dalam menghayati watak. Sebagai orang baru dalam industri perfileman, masih banyak perlu diperbaiki terutama dalam memainkan emosi.

Apapun, yang penting filem berkenaan diterima baik penonton.

"Saya berterima kasih kepada pihak produksi yang percaya dengan bakat saya dan inilah hasilnya. Semoga filem ini mendapat kutipan yang bagus di panggung selain penonton mendapat mesej positif," katanya yang turut aktif dalam bidang peragaan produk.

Selain itu, keayuan wajah dimilikinya, Meyda Sefira juga tidak terlepas menjadi perhatian peminat fanatik. Gadis manis ini pernah diajak bercinta dan berkahwin oleh segelintir peminatnya yang tidak mampu menahan perasaan cinta mereka.

"Selaku gadis daripada keluarga yang kuat agama, saya akui perlu memilih dalam mencari pilihan hidup.

"Ditambah lagi, sekarang usia pun masih muda dan belum tamat kuliah. Justeru, lebih bagus rasanya saya memberikan tumpuan kepada pelajaran dulu daripada cinta.

"Saya mahu berjaya dalam pelajaran dan selepas itu jika ada jodoh barulah berfikir soal kahwin. Apapun, saya mengambil pendekatan positif terhadap peminat yang mengajak bercinta dan kahwin. Bagi saya, ia perkara lumrah yang berlaku kepada artis.

"Cuma, harus bijak menanganinya. Lagi pun, buat masa ini semuanya masih terkawal lagi. Mereka setakat cuba mendapatkan perhatian saya di lokasi promosi dan tidak mengganggu hingga ke rumah. Oleh itu, kini saya rasa diri masih lagi dalam keadaan selamat," katanya.

Mengambil ijazah Teknik Lingkungan sejak tahun lalu, Meyda Sefira berkata, apa yang penting baginya gosip diterima juga biasa dan tidak melampaui batas.

Katanya, mungkin gaya bertudung itu 'menyelamatkan' dirinya daripada dilanda sebarang gosip liar.



PROFIL

NAMA: Meyda Sefira

TARIKH LAHIR: 20 Mei 1988

USIA: 21 tahun

TEMPAT LAHIR: Bandung, Indonesia

KARIER: Pelakon & Model

FILEM: Ketika Cinta Bertasbih

SINETRON: Tiada

MODEL IKLAN: Basikal Polygon, Perumahan Citraland Surabaya.

AGAMA: Islam

PENDIDIKAN: Ijazah Teknik Lingkungan sejak 2008

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: