![]() |
| ARIZ terus mengusung nama Colabr8 walaupun kini tinggal sendirian. |
KUMPULAN yang menamakan diri mereka sebagai Colabr8 terus setia dengan genre hip hop yang diusung sejak mula memasuki beberapa pertandingan nyanyian pada tahun 2005.
Meskipun nama mereka tidaklah sebesar mana, namun kewujudan mereka tetap dirasai terutama selepas memasuki program realiti Gangstarz dua tahun yang lalu.
Bermula dengan empat orang ahli Chen Kwan Wen (KW), 22, Chen Kwan Sheng, (KS), 22, Ikhwan Hariz Abdul Rani (24) dan Muhd. Hazwan Jasmi, (Wan-D), 23, kini perjuangan Colabr8 hanya diteruskan oleh Ikhwan Hariz atau dikenali sebagai Ariz.
Bukan kerana mereka sudah tidak sehaluan ataupun bertengkar, namun pemergian mereka semata-mata mahu melihat nama Colabr8 terus maju.
"Memang pada mula kami berempat tetapi disebabkan KS dan KW bekerja di Pulau Pinang, agak sukar untuk mereka memberikan komitmen akhirnya mereka menarik diri.
"Selepas itu hanya tinggal saya dan Wan-D, kami teruskan perjuangan Colabr8 dan dia juga ada terlibat dalam pembikinan album. Namun, dia mengambil keputusan untuk keluar daripada Colabr8 atas sebab peribadi," kata Ariz yang ditemubual baru-baru ini.
Walaupun bergerak secara solo tetapi Ariz tetap membawa nama Colabr8 ke mana sahaja dia pergi kerana baginya meskipun tidak lagi bersama anggota lain, semangat Colabr8 tetap wujud.
Jelas Ariz, pembikinan album yang telah berjalan harus disiapkan juga walaupun tanpa Wan-D dan kini Ariz boleh berbangga dengan kemunculan album yang berjudul 1212.
![]() |
| LEBIH selesa bergerak sendiri tanpa bantuan mana-mana label. |
Dalam album yang memuatkan sembilan buah lagu itu, Colabr8 turut bergabung bersama penyanyi Dedeq. Empat buah lagu daripada Dedeq dan lagu berjudul 1212 Dedeq berkolaborasi bersama Colabr8.
"Gabungan ini terjadi kerana ketika album ini sudah separuh jalan Wan-D mengundur diri dan saya rasa kena ada orang lain bersama untuk memberi lebih variasi kerana Colabr8 dulunya sebuah kumpulan.
"Jadi untuk mengekalkan momentum yang sama, saya mengambil keputusan untuk bersama Dedeq dalam album dan kami bekerjasama dengan baik.
"Empat lagu didendangkan oleh Dedeq, satu lagu kolaborasi bersamanya dan selebihnya lagu Colabr8," ujarnya.
Tambahnya lagi, apa yang membuatkan albumnya sungguh berharga adalah daripada A sehingga Z pembikinan album merupakan hasil titik peluhnya sendiri.
"Saya buat semua sendirian bermula daripada penerbitan, promosi dan pengedaran di bawah syarikat milik saya, Colabo Ent.
"Memang agak sukar pada mulanya untuk bergerak sendiri tanpa label tetapi saya mendapat bantuan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan artis yang lain seperti Zain Ruffegde. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya.
Apa yang membezakan Colabr8 dengan penyanyi solo sealiran dengannya adalah corak persembahan di pentas yang bergabung dengan band bagi mewarnakan lagi lagu-lagu hip hop dendangannya.
"Sekarang memang musim band-band indie tetapi saya percaya masih ada peminat lagu hip hop yang saya bawakan. Oleh itu untuk menarik peminat yang minat dengan band, setiap kali persembahan saya akan bergabung dengan band. Muziknya masih lagi hip hop, cuma yang bezanya iramanya bercampur dengan rock. Saya harap peminat dapat menerima pembaharuan yang saya bawakan," tuturnya.
Antara lagu yang terkandung dalam album 1212 ialah 1212, Menari, Angkat Tangan, Give It, Sayang, Tak Bisa Berhenti, Gadis Sepertimu dan Shortee kolaborasi bersama Zain Ruffedge.
Buat peminat yang ingin mendapatkan album Colabr8 yang dijual pada harga RM19, anda boleh dapatkan terus dengan melawati laman sesawang di myspace.com/colabr8.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: