Monday, August 3, 2009

'Cinta abang jadi wang hantaran'




Sepakat dirikan rumah tangga kerana mahu elak fitnah

KALI pertama mereka bertemu, tiada perasaan cinta atau sayang terdetik di hati. Hanya mata saling berpandangan. Daripada pertemuan pertama, beralih kepada pertemuan kedua. Namun, mereka masih belum berpeluang bertegur sapa sehinggalah satu hari mereka diperkenalkan. Hanya pada ketika itulah pelakon jelita, Noniswara Baharudin mendapat tahu bahawa lelaki yang pernah dilihatnya di Lapangan Terbang Heathrow, London beberapa tahun lalu adalah kenalan dan rakan kongsi bapanya.

Bermula dari situ, mereka saling berhubungan. Bukan sebagai kekasih, tetapi sekadar kawan. Pun begitu, kuasa jodoh mengatasi segala-galanya. Selepas masing-masing bersendirian, barulah terbuka hati mereka untuk menjalinkan hubungan dengan lebih serius.

Mereka tidak pernah merancang, namun apabila panahan asmara sudah melekat di hati, lama atau sekejapnya tempoh perkenalan, cinta pandang pertama atau keempat, apabila seru jodoh datang menghampiri, bersatulah pasangan ini sebagai kekasih dan suami isteri.

Tanggal 31 Julai, kira-kira jam 10 malam bertempat di Masjid Wilayah, Jalan Duta tempat yang sama Datuk Siti Nurhaliza diijabkabulkan bersama Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, Noniswara bersama pasangannya, Pengerusi U Mobile, Datuk Rosman Ridzwan selamat disatukan sebagai pasangan suami isteri.

Dengan sekali lafaz, Noniswara yang juga Pengarah Urusan Symphony Advanced Sdn Bhd sah bergelar isteri kepada Rosman dengan berwalikan adiknya, Bani Uzair Baharudin, di hadapan Penolong Pendaftar Nikah, Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga, Cerai, Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdul Malik Salleh.

ANTARA barang hantaran perkahwinan Noniswara dan Rosman.

Biarpun dalam hati berdebar kencang, wajah pelakon dari Pasir Mas, Kelantan ini kelihatan cukup tenang menanti saat yang penuh bermakna. Sebaik saja lafaz ijab dan kabul selesai dilakukan, terpancar cahaya kebahagiaan di wajah Noniswara sambil tangan mengaminkan doa yang dibacakan imam sebagai tanda syukur dan mengharapkan mahligai indah yang baru dibinanya itu bersama Rosman, kekal sehingga ke akhir hayat.

‘Alhamdulillah, saya bersyukur kerana segala-galanya berjalan lancar walaupun persiapan untuk mengadakan majlis perkahwinan ini di buat dalam keadaan tergesa-gesa. Saya akui, berada dalam situasi yang agak tertekan apabila persiapan perkahwinan dilakukan dalam keadaan seperti ini, namun berkat bantuan banyak pihak, semuanya dapat dilakukan mengikut apa yang dirancang.

“Kalau diikutkan, tarikh pernikahan kami sebenarnya akan dilangsungkan selepas hari raya. Namun mengenangkan kami sudah lama berkawan dan orang asyik bertanya bila kami mahu berkahwin serta mahu mengelakkan fitnah, jadi kami pun memilih untuk bernikah hari ini,” ujar Noniswara yang cukup ayu dan anggun mengenakan kurung moden rona putih rekaan Amir Luqman,

Pada upacara itu, pihak lelaki menyerahkan mas kahwin RM317 bersama tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan. Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai wang hantaran, kedua-dua pihak sepakat merahsiakan jumlahnya.

BERSEDIA untuk memotong kek perkahwinan.

“Cinta yang abang berikan itulah hantarannya,” jelas Noniswara berkias sambil memandang wajah suami yang setia berada di sisi.

Umum mengetahui, pernikahan itu adalah perkahwinan kali kedua buat pasangan berkenaan. Pun begitu, walaupun masing-masing pernah mengalami kehancuran rumah tangga, itu bukanlah penyebab untuk mereka kembali membina masjid.

“Bagi saya, apa yang berlaku sebelum ini, kita jadikan pengajaran. Iyalah waktu itu kita masih muda. Tapi untuk perkahwinan kali ini, kami rasakan memang sudah cukup bersedia dan kami lebih matang dalam pelbagai segi,” kata pelakon veteran ini ketika ditanya apakah perbezaannya apabila mendirikan rumah tangga untuk kali kedua ini.

Dalam melayari bahtera cinta, ternyata pasangan ini sangat bertuah kerana hubungan mereka itu mendapat restu anak masing-masing. Hasil perkahwinan pertama itu, Noniswara dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Naveer Mihshon Zakaria, 15, Nur Erysha Emyra, 10, dan Nazeer Danish, 3. Manakala, Rosman yang berstatus duda pula mempunyai lima anak hasil perkahwinannya terdahulu.

“Mereka tidak membantah apabila kami melahirkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga. Lagi pun, sebelum kami membuat keputusan itu, anak saya dan anak Rosman sudah pun diperkenalkan antara satu sama lain dalam sebuah majlis dan mereka okey saja,” cerita Noniswara sambil dipersetujui Rosman.

Diusik dengan pertanyaan tidakkah mereka ingin mempunyai cahaya mata sendiri, dia menyerahkan perkara itu kepada takdir yang Maha Kuasa.

“Memang kalau boleh, kami ingin mempunyai anak sendiri. Seorang atau dua. Itu pun kalau diizinkan Tuhan. Tapi seandainya tidak dimakbulkan Tuhan, kami reda kerana hasil perkahwinan sebelum ini, kami pun sudah dikurniakan dengan cahaya mata masing-masing,” tuturnya.

Terpaut sifat keibuan Noniswara

ORANGNYA tidak banyak berbicara. Sekali ditanya sepatah dijawab. Selebihnya dia membiarkan saja isteri tersayang menjawab pertanyaan media yang mengerumuni mereka. Pun begitu, sebagai suami kepada seorang pelakon, dia tidak pernah membataskan situasi walaupun dirinya seorang tokoh korporat yang diakui cukup berbeza dengan dunia glamor yang dilalui isterinya.

Buktinya, dia tidak menghalang Noniswara untuk meneruskan karier lakonannya walaupun selepas bergelar isteri kerana dia tahu bidang itu cukup bermakna buat isterinya.

“Saya tak pernah menghalang dia untuk terus bergiat dalam dunia lakonan. Cuma saya harap dia pandai menjaga diri dan tahu batasan sebagai seorang isteri,” katanya yang tidak mengetahui bahawa isterinya adalah seorang pelakon pada awal perkenalan mereka.

Ditanya apakah keistimewaan Noniswara di matanya, Rosman berkata, dia terpaut dengan sifat keibuan yang dimiliki pelakon berusia 39 tahun itu.

“Dia mempunyai sifat keibuan, lemah lembut. Itulah yang membuat saya tertarik dengannya,” luah Rosman romantis.

Mengenai perancangan untuk berbulan madu, Rosman berkata, besar kemungkinan mereka akan ke Eropah selepas Aidilfitri nanti.

“Lazimnya masa berseorangan itu, pada bulan Ramadan, saya sering menunaikan umrah. Tapi kali ini rutin itu berubah kerana dia (Noniswara) sibuk dengan penggambaran. Jadi kami bercadang selepas hari raya nanti, barulah kami akan ke Eropah untuk berbulan madu,” katanya.

Insiden halau cacatkan majlis

SEMUANYA berjalan dengan lancar sehinggalah berlaku kejadian yang tak diingini apabila seorang kakitangan masjid tiba-tiba menghalau pasangan pengantin, tetamu dan pihak media supaya keluar dari dewan solat.

Bukan saja menghalau, tetapi kakitangan itu juga turut menghamburkan kata-kata kesat sehingga mereka yang menyaksikan ‘drama’ itu terkejut dengan apa yang berlaku.

Mengulas mengenai kekecohan itu, Noniswara berkata, dia reda dengan apa yang berlaku pada majlis akad nikahnya itu.

“Saya memang terkejut dengan apa yang berlaku. Untuk pengetahuan semua saya sudah mendapat kebenaran Imam 1 untuk mengadakan majlis akad nikah di dewan solat masjid ini terlebih dulu. Malah dia sendiri yang mahukan saya bernikah di sini.

“Selepas Datuk Siti Nurhaliza, saya artis kedua mendapat kebenaran mengadakan majlis akad nikah di dewan solat ini. Apa pun, saya bersyukur kerana Imam 3 itu tidak membuat kecoh ketika majlis akad nikah berlangsung,” katanya yang tidak menjangka kekecohan akan berlaku pada hari bersejarahnya itu.

Biarpun agak ralat, dia menyedari persepsi negatif terhadap artis sepertinya masih lagi ada dan dia bersedia untuk menghadapinya.

“Biasalah, lain orang lain karakternya. Saya terima perkara itu sebagai ketentuan Tuhan,” ujarnya tenang.

Kelmarin, pasangan ini juga diraikan dalam satu majlis resepsi khas untuk tetamu kehormat, keluarga terdekat, rakan artis dan pihak media di Hotel Berjaya Times Square.

Anggun mengenakan busana putih rekaan Cosry, Rosman dan Noniswara yang berpakaian sedondon kelihatan sepadan ibarat pinang dibelah dua.

Antara tetamu yang hadir pada malam itu termasuklah rakan artis seperti Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, penerbit drama, Raja Alawiyah, Datin Nina Juren dan suami serta Mas Omar. Pada majlis itu, mempelai dan tetamu juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Liza Aziz, Farahdhiya dan kumpulan Luscious.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: