JAKARTA - Polis Indonesia semalam menyatakan perancang utama kumpulan Jemaah Islamiyah (JI), Noordin Mohammad Top masih bebas walaupun dia sebelum ini didakwa mati ditembak.
Satu sumber polis menyatakan, analisis cap jari yang dijalankan terhadap suspek utama serbuan kumpulan antipengganas Densus 88 pada Sabtu lalu disahkan bukan milik Noordin.
"Bukan dia (Noordin). Kami tahu melalui bentuk muka dan cap jarinya. Kami akan terus memburu Noordin," kata sumber itu.
Pihak polis sebelum ini enggan mengesahkan kematian Noordin sehingga keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dikeluarkan.
"Siapapun lelaki itu, ia perlu dibuktikan dengan cara saintifik," kata jurucakap polis, Nanan Soekarna.
Sejumlah foto menunjukkan suspek tersebut dipenuhi tembakan dan benda tajam.
Seorang penganalisis keselamatan di Jakarta, Sidney Jones berkata, gambar suspek yang ditembak itu langsung tidak menyerupai Noordin.
Rakyat Malaysia berumur 40 tahun itu dikehendaki pihak berkuasa Indonesia kerana menjadi dalang beberapa serangan bom sejak 2002 di Indonesia.
Noordin yang menggelar dirinya sebagai pemimpin 'Al-Qaeda Dunia Melayu' turut disyaki menjadi dalang serangan bom di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton pada 17 Julai lalu.
Pihak berkuasa Indonesia masih tidak pasti sama ada Noordin berada di Jawa Tengah atau sudah melepaskan diri ketika pasukan Densus 88 memulakan kepungan pada petang Jumaat lalu di Dusun Beji.
"Kami tidak sepantas dia," kata Nanan.
Kegagalan ujian cap jari juga memberi tekanan kepada kumpulan antipengganas Densus 88 yang dilatih oleh Amerika Syarikat (AS).
"Ia merupakan satu kekecewaan yang besar. Pihak polis sebelum ini menguar-uarkan mereka berjaya menembak Noordin," kata Jones.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: