Thursday, August 6, 2009

Berita Sains

INGIN tahu perkembangan terkini dunia sains yang boleh membantu meningkatkan kualiti kehidupan anda? Ikuti Berita Sains yang Kosmo! bawakan pada minggu ini.

Spesies lalat pembunuh anai-anai ditemui

Sejenis spesies lalat parasit dikenali sebagai Misotermes Mindeni yang ditemui secara tidak sengaja di kampus USM Pulau Pinang dilihat boleh menjadi musuh utama anai-anai dari spesies Macrotermes Gilvus.


NEOH KOK BOON dan penyelianya, Prof. Lee Chow Yang mengakui penemuan ini masih memerlukan kajian mendalam.


SETIAP tahun di Malaysia, kira-kira RM50 juta terpaksa dibelanjakan untuk membasmi anai-anai yang menjadi musuh utama industri pembinaan.

Sedangkan kos memperbaiki kerosakan akibat serangan makhluk perosak itu, dianggarkan tiga atau empat kali lebih besar daripada kos menghapuskannya.

Namun, penemuan terbaru seorang penuntut Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Sains Malaysia (USM) diharap dapat mengatasi masalah itu, sekali gus boleh memusnahkan koloni anai-anai.

Sejenis spesies lalat parasit yang dinamakan Misotermes Mindeni ditemui di kampus USM Pulau Pinang. Ia dilihat boleh menjadi musuh utama anai-anai spesies Macrotermes Gilvus.


LALAT parasit ini membunuh anai-anai dengan cara memindahkan larva ke dalam tubuh mangsanya.


Menurut penuntut dari Makmal Entomologi Bandar, Unit Kajian Kawalan Vektor, Pusat Pengajian Sains Biologi USM, Neoh Kok Boon, lalat itu ditemui secara tidak sengaja ketika dia melakukan kajian mengenai anai-anai di kampus USM.

"Saya menemui anai-anai askar yang agak ganjil daripada biasa. Kepalanya agak besar dan memiliki badan yang kecil. Selain pelik dengan anai-anai itu, saya juga mendapati ada pergerakan di bahagian perutnya.

"Selepas beberapa hari, ia mati. Hasil pemeriksaan mendapati ada lalat di dalam badan anai-anai itu," katanya pada sidang media di USM baru-baru ini.

Dr. Henry Disney, seorang pengkaji lalat dari Universiti Cambridge mengesahkan lalat itu sebagai satu spesies baru dalam bidang sains.


KEADAAN seekor anai-anai yang telah 'diserang' oleh lalat parasit.


Jelas Kok Boon lagi, dia dan penyelianya, Profesor Lee Chow Yang mengandaikan lalat itu memindahkan larvanya ke dalam anai-anai. Namun, cara serangan itu masih dikaji.

"Larva itu akan membesar di dalam kepala anai-anai sebelum berpindah ke bahagian abdomen. Akhirnya ia memecahkan dinding abdomen anai-anai.

"Cairan di badan anai-anai itu akan keluar. Kemudian, proses mengering akan membolehkan larva lalat terus membiak selepas anai-anai itu terbunuh," ujarnya.

Chow Yang mengakui pihaknya masih mengkaji sama ada lalat ini mampu memainkan peranan besar dalam usaha memusnahkan anai-anai.

"Kami akan meneruskan kajian tentang kegunaan spesies lalat ini. Harap-harap, ia dapat memberi manfaat kepada semua," katanya.

Teori faktor kelangsingan

ATLET pecut dari Jamaica, Usain Bolt membuat kejutan baru-baru ini apabila melahirkan keyakinan untuk memecahkan rekod dunia ciptaannya 9.69 saat dalam acara pecut 100 meter. Pemenang pingat emas Olimpik tiga kali itu kemudiannya yakin bukan mustahil baginya untuk mencatat 9.54 saat.

Keyakinan itu kemungkinan besar susulan daripada satu kajian terbaru yang didedahkankan Duke University Amerika Syarikat (AS) bahawa atlet pecut yang lebih tinggi, besar dan berat tetapi lebih langsing, mempunyai ciri-ciri pemecah rekod dunia.

Mungkin tidak masuk akal untuk mengatakan atlet yang lebih besar sebagai lebih pantas. Tetapi, Jordan Charles dari universiti berkenaan telah mengumpulkan maklumat mengenai tinggi, berat dan satu ukuran yang dipanggil `faktor kelangsingan’ daripada semua pemenang rekod dunia bagi acara pecut 100 meter larian dan renangan dari tahun 1900.

Charles mengguna pakai ‘teori pembinaan’ yang dipelajari daripada mentornya, Adrian Bejan, Profesor Kejuruteraan mekanikal di Duke.

Ia menunjukkan bagaimana objek bergerak berdasarkan persekitarannya.


BENARKAH lebih tinggi faktor kelangsingan seseorang lebih pantas dia boleh berlari?


Kajian tersebut dilaporkan dalam Journal of Experimental Biology.

Untuk tujuan lokomotif, seseorang manusia itu perlu mengatasi dua perkara iaitu graviti dan geseran. Pertama, atlet tersebut perlu mengangkat kakinya dari tanah atau memastikan dirinya berada di atas garis air tanpa tenggelam. Kedua, halangan udara yang mengehadkan kelajuan.

Maka, orang yang mempunyai tubuh yang lebih besar dan lebih kuat akan cemerlang dalam berdepan dengan graviti sementara faktor kelangsingan membantu masalah pergeseran udara.

Atlet yang boleh membina lebih banyak otot pada rangka aerodinamik turut mempunyai kelebihan.

Pada tahun 1929, Eddie Tolan yang mempunyai faktor kelangsingan 7.61 memecah rekod dunia acara 100 meter balapan dengan 10.4 saat. Apabila Bolt berlari dengan catatan masa 9.69 saat dalam acara yang sama pada Olimpik 2008, faktor kelangsingannya ialah 8.29 dan merupakan juara pecut paling tinggi dalam sejarah iaitu 1.96 meter.

Telefon bimbit rupa jam tangan

SYARIKAT elektronik Korea, Samsung baru-baru ini mengeluarkan telefon bimbit berbentuk jam yang didakwa ternipis di dunia.

Telefon bimbit berbentuk jam itu hanya senipis 11.98 milimeter. Ia dipamerkan di bilik pameran Samsung di Seoul.


SAMSUNG melancarkan model telefon bimbit berbentuk jam tangan yang dikatakan ternipis di dunia.


Samsung menjangkakan untuk memasarkan telefon bimbit berbentuk jam itu pada bulan ini di Perancis terlebih dahulu, sebelum negara-negara Eropah yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: