Kemuncak FFM ke-22 malam esok diharap tidak tenggelam dengan aura glamor, sebaliknya setiap pengkarya mempunyai iltizam untuk perkasakan kandungan dan penceritaan dalam filem
MENGANGKAT tema Filem Malaysia Ke Persada Dunia, Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) yang mendekati kemuncaknya di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) esok membayangkan aspirasi anak seni untuk membawa karya tempatan merentasi batas sempadan seterusnya mengharumkan negara di peringkat antarabangsa.
Menjulang tema itu juga secara tidak langsung menuntut pengkarya supaya lebih kreatif, dinamik dan progresif dalam menerbitkan filem berkualiti serta berorientasikan pasaran tanpa mengenepikan nilai estetika, budaya dan jati diri bangsa.
Aspirasi itu sekali gus mendesak pengkarya supaya memperkasa aspek kandungan dan penceritaan sesebuah filem, seterusnya memasarkan produk secara konsisten dan diterima di peringkat antarabangsa.
Lantas pengisian FFM22 tidak seharusnya dilihat sebagai ruang untuk berhibur semata-kata, sebaliknya penggiat tempatan perlu lebih serius menyusun strategi serta berusaha supaya masa depan filem nasional akan lebih disanjung, dihormati dan menjadi kebanggaan anak watan.
Biarpun pendapatan industri perfileman menunjukkan angka memberangsangkan, meningkat sehingga 40 peratus dengan RM43 juta tahun lalu namun perkembangan itu belum memadai untuk membuat pemainnya menghela nafas lega.
| KETUA Pengarah Finas, Mohd Mahyiddin Mustakim menunjukkan trofi baru FFM. |
Ketika ini, pembikin industri perfileman sedang dibelenggu pelbagai masalah yang merencatkan semangat mereka untuk terus melahirkan idea kreatif yang memacu nama negara di pentas antarabangsa.
Belenggu masalah seperti modal, pinjaman dan pemasaran memperlahankan perkembangan industri perfileman meskipun kerajaan serius menangani isu itu.
Penerbit Excellent Pictures Sdn Bhd, Ahmad Idham Nazri dalam satu temu bual bersama Bintang Popular pernah mengusulkan supaya pembiayaan khas diberikan kepada penerbit untuk memasarkan karya mereka di peringkat antarabangsa.
Proses itu katanya, yang menelan belanja sekitar RM200,000 hingga RM300,000 di sesebuah negara dianggap terlalu tinggi dan sangat membebankan menyebabkan usaha mengeksport filem tempatan terbantut.
| JANGAN Tegur antara filem tempatan yang meraih kutipan memberangsangkan. |
Idham mengusulkan inisiatif mewujudkan dana pembiayaan pemasaran filem itu perlu dilakukan segera dalam usaha memperluaskan pasaran filem tempatan yang selama ini
hanya bergantung kepada pasaran domestik, selain beberapa negara jiran seperti Singapura.
Industri perfileman tempatan ketika ini dilihat begitu produktif dengan pertambahan jumlah penerbitan filem setiap bulan.
Malangnya, pertumbuhan positif itu tidak disokong oleh pertambahan pawagam lantas menyempitkan lagi pasaran filem tempatan yang terpaksa bersaing sesama sendiri untuk mengisi slot tayangan.
Persaingan daripada filem luar yang sentiasa diberi keutamaan oleh pengendali panggung, menambahkan lagi cabaran kepada penerbit tempatan dan perlu ditangani segera.
Andai dibiar berlarutan, dikhuatiri masalah lambakan filem tempatan akan berlaku dan lambat laun menjejaskan produktiviti industri perfileman negara.
Negara sebenarnya tidak pernah ketandusan bakat muda untuk diketengahkan. Lihat saja kemampuan pengarah muda kelahiran Sabah, Chris Chong Chan Fui menerusi filem cereka arahannya, Karaoke yang terpilih untuk tayangan pada malam Directors' Fortnight di Festival Filem Cannes 2009, Mei lalu.
Kategori Directors' Fortnight menyediakan platform kepada pengarah baru di seluruh dunia untuk mempamerkan hasil kerja sulung mereka yang dimulakan sejak 1969 oleh Persatuan Pengarah Perancis.
Acara yang diadakan serentak dengan Cannes, Directors' Fortnight turut dibuka untuk tayangan umum malah tahun lalu, seramai 40,000 penonton menghadiri tayangannya.
Karaoke melakar sejarahnya yang tersendiri apabila menjadi filem tempatan kedua ditayangkan pada Festival Filem Cannes pada 1985.
Dalam tempoh 14 tahun ini, tiada filem cereka tempatan menembusi festival berprestij itu kecuali filem pendek Osman Ali, Malaikat Di Jendela dan U-Wei, Sepohon Rambutan Indah Kepunyaanku di Tanjung Rambutan yang pernah ditayangkan di Cannes masing-masing pada 2001 dan 2006.
Ia membuktikan pembikin tempatan mampu menghasilkan produksi hebat yang dapat membuka mata masyarakat luar, namun apakah kita sudah bersedia untuk melangkah ke laluan mencabar itu?
Sudahkah kita bersedia?
KECENDERUNGAN penerbit Asia seperti China dan Korea Selatan mengangkat karya mereka ke persada antarabangsa menerusi pembiayaan kerajaan turut diikuti negara lain seperti Singapura, Thailand dan Vietnam.
Menerusi geran yang diberikan kerajaan, Thailand menghasilkan King Nerusuan dengan kos tidak kurang daripada RM60 juta sekali gus meletakkan Bangkok sebagai hab perfileman Asia yang penting.
Jejak itu dituruti Singapura yang sedang berusaha membangunkan kota itu sebagai hab animasi digital menerusi kerjasama dengan Lucas Film.
Kerjasama itu menghasilkan Star Wars: The Clone Wars. Usaha permulaan yang positif itu berjaya membawa filem mereka menerawang ke pasaran dunia. Hari ini, kebanyakan negara itu berani sudah membiayai sendiri filem mereka kerana kredibiliti mereka diakui pengedar dan pempamer filem asing.
Menoleh sokongan kepada penerbit tempatan, kerajaan menyediakan dana pinjaman sebanyak RM50 juta ringgit menerusi SME Bank dengan kelulusan pinjaman RM1.5 juta untuk setiap permohonan di bawah Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC).
Pada masa sama, Kementerian Sains dan Teknologi Malaysia (MOSTI) pula menyediakan geran pembikinan filem animasi RM1 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan Studio Digital Sound Stage Finas di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang, Januari lalu turut mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta untuk meningkatkan produktiviti industri perfileman negara.
Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan dana filem yang disediakan kerajaan mencecah RM150 juta. Bagaimanapun, jumlah dana ini terlalu kecil dan cuma merangkumi proses penerbitan sesebuah filem.
Sedangkan apa yang dimahukan penerbit tidak hanya terbatas setakat itu, sebaliknya mereka juga mengharapkan dana untuk membantu pengedaran dan pemasaran filem ke peringkat antarabangsa.
Untuk merungkai permasalahan itu, kerajaan perlu mengkaji cadangan untuk menubuhkan dana atau menyalurkan sebahagian daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu untuk membantu produser tempatan memasarkan karya mereka ke luar negara.
Penerbit tempatan sebenarnya memerlukan sokongan dan galakan kerana mengharapkan mereka semata-mata untuk menggerakkan usaha itu adalah sesuatu yang sukar, bahkan memerlukan masa yang lama.
Apatah lagi ketika ini mereka sendiri terpaksa berperang dengan pelbagai masalah dalaman yang menyekat langkah untuk terus maju, sekali gus membantutkan hasrat untuk membawa karya ke tahap antarabangsa.
Misi ini bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai jika semua pihak, termasuk kerajaan komited menjayakannya. Negara Asia lain seperti Korea, China, Jepun, Hong Kong, Bollywood dan Thailand sudah membuktikannya. Bila pula giliran penerbit tempatan? Tepuk dada tanya selera!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: