Sunday, August 9, 2009

Aksi jantan Putin


KALAU berbaju, Putin tiada beza berbanding pemimpin negara lain.


WAJAHNYA tidak seberapa. Berambut lurus dengan potongan kemas setiap masa, Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin, 56, selama ini sekadar dilihat sebagai seorang pemimpin yang terjaga penampilannya.


APAKAH tarikan sebenar Siberia sehingga Putin kerap berulang-alik ke sana?


Malah, dengan tubuh yang sentiasa berbalut sut mahal atau pakaian rasmi, tiada yang membezakan dirinya dengan pemimpin berumur separuh abad yang lain.


GAYA maskulin Putin telah disiarkan minggu ini oleh hampir semua akhbar di seluruh dunia.


Namun, kebelakangan ini pandangan terhadap anak kelahiran Leningrad ini berubah. Dia mula dilabel lelaki sejati setelah mendedahkan fizikal tubuhnya sehingga ke paras pinggang ketika pergi memancing bersama Putera Albert II dari Monaco, di Sungai Yenisei, Siberia pada 2007.


WALAUPUN sedar pokok-pokok besar di Siberia merupakan habitat harimau bintang, Putin tenang saja duduk di dahannya.


Badan tegap dan otot berketak di bahagian dada pejalnya membuatkan Putin menjadi sebutan ramai, terutama di kalangan wanita Rusia.

Selain itu, Putin juga pernah menerbangkan sebuah pesawat pejuang dan menembak tepat seekor harimau Siberia liar dengan ubat pelali, yang menambahkan lagi nilai kejantanannya.

Penampilannya itu turut menarik perhatian pengunjung ruang sembang dalam talian golongan homoseksual. Mereka melihat tindakan Putin yang tidak berbaju itu merupakan salah satu cara untuk meraih penerimaan terhadap lelaki homoseksual di Rusia.

Ketika masih menjawat jawatan sebagai Presiden Rusia pada Ogos 2008, bekas ahli agensi keselamatan Kesatuan Soviet, KGB, itu pernah dilanda kontroversi kononnya dia gagal menangani tragedi malapetaka kapal selam Kursk.

Namun, Putin akhirnya menunjukkan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan kapal selam pada 1 Ogos 2009.

Beliau menghabiskan salah satu hujung minggunya di dalam sebuah kapal selam mini, Mir-1, di dasar tasik paling dalam di dunia, iaitu Tasik Baikal, di Siberia, pada kedalaman 1,400 meter - seorang diri!

Keistimewaan Siberia

Penerokaan yang mengambil masa sehingga empat jam itu bertujuan untuk meninjau kristal gas yang berpotensi dan bernilai di dalam tasik itu. Rekod selaman paling dalam pernah dilakukan kapal itu ialah 1,600 meter.

"Saya tidak pernah melihat sesuatu sepertinya sebelum ini sepanjang hidup saya. Ia satu perasaan yang istimewa," luah Putin yang kelihatan pucat dan sedikit pening sebaik saja timbul ke permukaan air.

Sehari sebelum itu, Putin memasang pemancar radio pada belakang badan ikan paus Beluga bernama Dasha di Pulau Chkalov, timur Rusia.

Terbaru, pada 3 Ogos lalu, Putin dirakam menghabiskan percutiannya, sekali lagi di Siberia, yang selama ini terkenal sebagai tempat bertaubat dan menjalankan hukuman tetapi kaya dengan mineral.

Memilih Tuva, yang terletak di luar bandar Kyzyl di selatan Siberia, Putin tampil penuh bergaya masklulin merentas padang rumput dengan menyarungkan but paras buku lali dan mengenakan topi gaya Indiana Jones.

Beliau juga tidak menunjukkan sebarang kesukaran memanjat pokok di negara yang memiliki banyak spesies harimau bintang itu dan duduk di celah-celah dahannya sambil memerhati keadaan di sekeliling dengan tenang dan penuh kuasa.

Cuti musim panas Putin ini dilihat semakin mengujakan apabila beliau sekali lagi mendedahkan dadanya ketika menunggang kuda di pergunungan Tuva - tanpa baju!

Tuva ialah salah sebuah wilayah paling terpencil dan eksotik di Rusia. Ia dihuni oleh orang Turkik yang terkenal dengan bakat menyanyi menggunakan teknik pengawalan tekak.

Perhatian daripada media tempatan Rusia juga cuba mendedahkan sisi lebih sensitif orang kuat Rusia itu dengan memaparkan gambarnya - daripada menyanyi di dalam sebuah kelas sehinggalah kepada tindakannya membatalkan kebenaran memburu anak anjing laut.

Semua pendedahan itu, bagaimanapun, dibuat secara terbuka oleh Putin dengan mengajak jurugambar bagi merakamkan aksi jantannya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: