![]() |
| Vanidah Imran |
KISAH hidup Mahsuri iaitu wanita yang mati dibunuh kerana menjadi mangsa fitnah memang tidak asing lagi dalam cerita masyarakat Melayu sejak turun-temurun.
Pengkisahan tragedi yang berlaku di Pulau Langkawi pada masa lampau itu dikatakan banyak bercampur antara unsur sejarah dan mitos yang ditokok tambah bagi menjadikannya lebih menarik untuk diceritakan kepada khalayak.
Riwayat Mahsuri bukan setakat tersurat dalam buku-buku sejarah dan hikayat, malah ia juga terus diperkatakan sehingga ke hari ini termasuklah menerusi medium perfileman dan teater.
Terbaru, pengarah Fauziah Nawi tampil ke depan bagi mementaskan teater berjudul Mahsuri yang akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, mulai 24 hingga 30 April ini.
Bagi menambahkan lagi tarikan penceritaan kisah Mahsuri, kata Fauziah, beliau turut menokok tambah jalan cerita kisah wanita malang itu bagi menyesuaikannya dengan situasi semasa.
"Sebelum ini pun kisah Mahsuri ada pelbagai versi. Contohnya, saya akan gantikan watak ibu mertua yang dikatakan membunuh Mahsuri dalam cerita legenda itu dengan watak kakak ipar.
"Sebabnya, saya cuba mencari di mana logiknya apabila ibu mertua sanggup membunuh menantunya. Mungkin pertukaran watak itu akan lebih diterima oleh para penonton kelak," katanya pada sidang media Mahsuri di IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Aktivis teater itu turut memaparkan logik adegan Mahsuri yang kononnya mengeluarkan darah putih selepas watak legenda tersebut ditikam sebagai salah satu tanda kebenarannya yang menjadi mangsa fitnah.
Semua itu dilakukan bagi menyesuaikan logik dan pemikiran masyarakat hari ini yang jauh lebih ke depan berdasarkan fakta-fakta yang boleh diterima akal dan pemikiran para penonton.
"Skrip teater ini ditulis oleh Rahimidin Zahari iaitu salah seorang kakitangan IB berdasarkan kajian yang telah dijalankannya sebelum ini. Misalnya, teater ini menggambarkan adegan Mahsuri yang mengeluarkan darah putih selepas ditikam.
"Kami gambarkan tikaman itu melalui tulang selangka Mahsuri dan menembusi buah dadanya hingga darah yang mengalir itu dibaluti air susu. Mungkin sebab itu darah Mahsuri yang keluar dikatakan berwarna putih," ujarnya.
Tambahnya, tokok tambah yang dilakukan itu tidak menjejaskan jalan cerita asal, sebaliknya ia mampu mengelakkan para penonton bosan kerana kisah legenda itu telah banyak kali diulang penceritaannya.
Selain berunsurkan cerita legenda yang popular, Fauziah mementaskan Mahsuri kerana mendapati banyak elemen positif yang boleh dikongsi oleh para penonton apabila ia dipentaskan kelak.
Apatah lagi, pementasan Mahsuri memang dirancang oleh IB sebagai salah satu genre pementasan bagi mengisi kalendar di panggung bertaraf dunia itu.
"Bagi saya, Mahsuri merupakan seorang wanita yang sangat hebat. Dia bolehlah dianggap sebagai wanita yang berdikari, mempunyai pemikiran jauh, baik hati, sanggup berkorban dan sangat menyayangi keluarganya.
"Semua unsur positif yang dimiliki oleh Mahsuri itulah seharusnya diambil iktibar oleh kaum wanita supaya semangat yang ada dalam diri beliau terus dihayati sampai bila-bila," katanya.
Pementasan teater yang akan mengenakan harga tiket dari RM30 hingga RM100 itu dijangkan akan menggunakan seramai kira-kira 100 pelakon.
Pelakon baru, Arja Lee merupakan antara pelakon yang terpilih dalam sesi uji bakat yang diadakan bagi memegang watak suami kepada Mahsuri dalam pementasan tersebut.
Biarpun masih mentah dalam gelanggang teater, namun Fauziah yakin dengan bakat, kesungguhan pelakon muda berusia 25 tahun itu untuk menggalas watak yang tidak kurang mencabar itu.
"Saya dapati Arja mempunyai kebolehan dan bakat tetapi yang lebih penting kehendak dan komitmennya dalam pementasan ini amat besar. Saya yakin dengan kecenderungannya itu. Malah, saya juga sudah biasa bekerja dengan orang baru dalam bidang lakonan.
"Apa yang penting dia sanggup belajar dan mendengar kata demi melakonkan watak itu dengan sebaik mungkin," komennya.
Bagaimanapun, sebagai pengarah dan pelakon berpengalaman beliau tidak menafikan terdapat riak kegoyahan sewaktu Arja mula-mula dipertemukan dengan Vanidah Imran yang melakonkan watak Mahsuri.
Namun, atas bimbingan dan yakin dengan bakat lakonan yang semakin cerah digilap dalam siri-siri latihan yang telah diadakan, ia memberi banyak keyakinan kepada pelakon muda itu.
"Contohnya, masa Arja mula - mula pegang Vee (Vanidah) dia macam rasa takut. Apatah lagi saya ingatkan dia bahawa Vee isteri orang. Tetapi Arja dan Vee faham batas dalam melakonkan watak masing-masing.
"Ini kerana, pada mulanya saya menjangkakan Rashidi Ishak (suami Vanidah) boleh melakonkan watak yang akan dilakonkan oleh Arja itu.
"Sebabnya lebih senang kalau ia dilakonkan oleh Vee dan Rashidi kerana mereka memang suami isteri. Sayangnya, Rashidi ada komitmen lain," jelas Fauziah lagi.
Selain Arja Lee dan Vanidah Imran, Mahsuri yang menyelitkan elemen nyanyian, tarian dan pencak silat itu turut dilakonkan oleh pelakon hebat seperti Azizah Mahzan dan Abu Bakar Juah.
Sementara itu, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani berkata, beliau yakin Mahsuri mampu menarik perhatian segenap lapisan masyarakat biarpun ia merupakan naskhah lama yang sudah banyak kali dikitar semula.
Malah katanya, golongan penonton terutamanya generasi muda hari ini akan tertarik menonton pementasan dalam genre itu jika ia turut menyelitkan nilai-nilai hiburan yang bersesuaian dengan mereka.
"Seperti yang saya selalu sebutkan sebelum ini, pementasan seperti ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial IB bagi memastikan seni persembahan berteraskan seni dan budaya kita tidak pupus begitu sahaja.
"Tahun lalu, IB misalnya pernah mementaskan randai yang diangkat daripada cerita masyarakat Minangkabau di Sumatera, Indonesia. Bagi saya, apa juga naskhah lama atau moden mampu menarik perhatian penonton.
"Apa yang penting, cara ia dipersembahkan mestilah menarik, ada unsur-unsur hiburan dan nilai moralnya yang tersendiri. Dan ia juga dipersembahkan oleh orang yang berpengalaman," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: