| KETIKA ini memang ramai artis kita berbadan dua. Antaranya, Erra Fazira yang kini menanti hari menyambut kelahiran anak sulung. Begitu juga Dynas, Zila Bakarin, Ziana Zain, Rosma dan Anne Ngasri. |
Terbaru, SS difahamkan, Nadia Mustafar, 33, selamat melahirkan anak lelaki pada 3 Mac lalu, jam 1 tengah hari. Bayi seberat 3.2 kilogram itu dilahirkan secara normal di Hospital Pantai, Cheras. Bagaimanapun, bayi lelaki itu belum diberikan nama. Tahniah SS ucapkan kepada Nadia dan suami, Hazil Izham, 35.
SS difahamkan, ketika bertarung antara hidup dan mati untuk melahirkan anak sulungnya itu, Hazil sentiasa menemaninya. Nadia juga sempat melihat Hazil menangis tatkala menyambut kehadiran ahli keluarga baru mereka.
Selama dua bulan Nadia akan berpantang di rumahnya sendiri di Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Mujurlah ibunya juga tinggal di Kuala Lumpur jadi sepanjang tempoh berpantang itu, Nadia akan dijaga emaknya.
Ceritanya kepada rakan SS, sebelum dia bercuti untuk bersalin, Nadia sempat berlakon drama Rozana dan Keliwon. Lepas ini, Nadia akan ligat semula di pentas lakonan kerana dia antara pelakon yang masih laris dan berjaya membawa apa saja watak.
Setahu SS, Nadia memang tak reti duduk diam kerana pada setiap Ramadan berniaga nasi ayam di Bazaar Ramadan. Pastinya, rumah tangga Nadia lebih ceria dengan kehadiran orang baru.
Tahniah juga SS ucapkan kepada penyampai Hot FM dan pengacara Roda Impian, Maskiran Jakiran atau Kieran kerana menimang anak lelaki yang diberi nama Mohammad Adam pada 26 Februari lalu. Isteri Kieran, Yang Azli Mohd Yunus melahirkan Adam di Pusat Perubatan Umrah, Seksyen 13, Shah Alam.
Semoga kehadiran cahaya mata akan menambahkan lagi kerukunan rumah tangga pasangan artis. Jika ada perbalahan, segeralah diselesaikan. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Banyakkan bersabar, Insya-Allah bahagia dunia dan akhirat.
Nak bercerai senang saja tetapi kesannya kepada anak sangat besar. Apabila dah berkeluarga, jangan terlalu memikirkan diri sendiri. Panjang pula ceramah SS. Bukannya apa, SS tumpang bahagia tengok artis hidup aman damai dengan keluarga masing-masing.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: