![]() |
Kontroversi dan sensasi perlu untuk kembangkan bakat, tetapi janganlah berlebih-lebihan
KALAU merujuk kepada Kamus Dewan edisi keempat 2005, perkataan kontroversi itu ditafsirkan sebagai perselisihan atau pertelingkahan pendapat atau sesuatu perkara yang biasanya berlarutan dan agak meluas diperdebatkan di antara golongan yang berlainan pendirian mahupun fahaman. Dalam kata mudah, ia dianggap sebagai isu yang menjadi perhatian dan memberi kesan sama ada positif atau negatif.
Dalam dunia hiburan pula istilah ini bukanlah satu perkara asing, malahan mahu atau tidak, andai salah percaturan elemen panas ini mampu mendekati golongan selebriti. Kontroversi dalam dunia hiburan ini sering dianggap sebagai tidak elok.
Tapi kontroversi juga dianggap sebagai cara untuk memanaskan sesuatu isu atau perkara. Apabila sudah jadi panas atau sensasi, ia mula menjadi bualan ramai dan seterusnya mempopularkan individu terbabit.
Walaupun ia mungkin perit untuk ditanggung, tapi tidak boleh disangkal sensasi dengan cara ini adalah ramuan terbaik untuk terus popular dan menarik perhatian umum.
Sebagai contoh terbaik, Memey Suhaiza yang tak pernah dikenali dalam dunia lakonan pun, tapi disebabkan kes dia disyaki berkhalwat dengan Norman Hakim sudah menimbulkan sensasi. Ini kerana kes itu menjadi kontroversi kerana mencetuskan perbalahan dengan isteri Norman, Abby Abadi sehingga rumah tangga mereka berkecai.
![]() |
Negatif atau positif, akhirnya ia tetap menjadi publisiti yang terus membuatkan masyarakat mengenali seseorang pelakon, penyanyi atau personaliti TV dan radio. Calon akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 menyaksikan ada beberapa pelakon kontroversi berjaya tersenarai dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular seperti iaitu Abby Abadi, Rita Rudaini dan Diana Danielle.
Ketiga-tiganya memang hangat dengan kisah kontroversi. Turut menjadi perbualan hangat, apabila muncul nama bukan pilihan yang tidak disangka-sangka berjaya memecahkan penguasaan senarai lima calon popular. Contohnya, personaliti RTM, Nurul Alis, selain Abby Fana dan Sheila Mambo yang masing-masing jarang mendapat publisiti, tetapi masih mendapat perhatian peminat.
Jadi, apakah ada calon popular yang dipilih peminat hanya berdasarkan kontroversi semata-mata, bukannya bakat mereka. Hip mendapatkan pandangan empat calon akhir ABPBH 2008, Nabil, Kenchana Dewi, Lan (vokalis Meet Uncle Hussain, MUH) dan Ashraf Muslim mengenai penangan kontroversi daripada kaca mata mereka.
Menurut Kenchana Dewi yang sudah dua tahun berturut-turut menjadi calon akhir Artis Komedi Wanita Popular, dia tidak boleh menidakkan yang elemen itu mampu membantu kerjaya anak seni.
![]() |
| DARI kiri, Lan, Ashraf, Kenchana dan Nabil. |
“Tapi janganlah sampai kontroversi itu boleh menjatuhkan imej dan membuatkan orang di luar membenci kita. Kontroversi yang sebegitu cubalah dielak, kerana akhirnya nama kita juga yang tak sedap dipandang. Dalam dunia hiburan, kita tak boleh menghalang kontroversi daripada terus menyerang. Mahu atau tidak, ia mungkin mendekati kita.
“Jika kita boleh mengelak daripada kontroversi, teruskan. Tapi tak semestinya kontroversi boleh membuatkan artis menjadi popular sekelip mata. Ia terpulang kepada bagaimana kontroversi itu dilihat dan diterima. Jika buruk, maka buruklah jadinya,” katanya.
Kenchana berkata, mungkin ada yang beranggapan kontroversi sebagai jalan pintas untuk mengecapi popular tetapi ia bersifat subjektif.
“Sebaik-baiknya, biarlah kita popular dan dikenali dengan bakat yang ada,” katanya yang sudah 18 tahun bergelumang dalam industri seni.
Yakin peminat boleh bezakan
BAGI pelakon muda, Ashraf Muslim yang pertama kali tersenarai dalam ABPBH menerusi kategori Pelakon TV Lelaki Popular, dia berpendapat peminat yang memangkah borang undian kebelakangan ini sudah semakin bijak menilai.
Malahan, pelakon yang begitu intim dengan Sherry Ibrahim ini menyanjung tinggi peranan wartawan yang menjadi perantara menghubungkan artis dan peminat.
“Apa yang saya harapkan peminat akan lebih telus memilih artis yang betul-betul layak dipilih dinobatkan sebagai pemenang. Peminat mampu membezakan antara bakat dengan kontroversi. Tak saya nafikan perkataan popular yang ada pada ABPBH itu sendiri mempunyai tafsiran tersendiri. Apabila sesebuah kontroversi artis itu menjadi buah mulut orang, secara langsung dia akan menjadi popular.
“Itulah bagusnya kontroversi dan sensasi. Tetapi, kalau ia keterlaluan, reputasi dan nama artis itu jadi buruk. Media pula memenuhi kehendak peminat dan pembaca dengan memaparkan kisah buruk itu seseorang artis sehingga timbul macam-macam kontroversi. Di sini media merungkaikan persoalan kontroversi yang menjadi tanda tanya,” kata Ashraf Muslim yang bersaing dengan nama hebat seperti Aaron Aziz, Aqasha, Fahrin Ahmad dan Rosyam Nor dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular.
Sementara itu, bagi Nabil yang tercalon untuk kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular, dia sangat bertuah kerana mempunyai sokongan peminat yang ramai sejak dia mula berada di dalam pertandingan Raja Lawak musim kedua lagi. Baginya, bakat dan kontroversi perlu ada dan perlu dilihat dalam skop yang positif.
“Kalau dilihat pada senarai akhir calon top 5 ABPBH 2008, hanya beberapa artis yang berjaya kerana kontroversi panas. Tak semua calon yang diundi peminat kerana kontroversi dan ada yang saya lihat mereka benar-benar berbakat dan wajar disenaraikan termasuk mempunyai rupa paras menarik untuk diundi.
“Saya berpendapat, kontroversi ada kalanya mengekori bakat seseorang artis itu. Tak mustahil apabila dikenali, kontroversi datang kemudian. Kalau berbakat, tapi tiada kontroversi, pelik juga jadinya. Kerana apabila menjadi orang yang terkenal, mahu atau tidak secara tak langsung, mesti dirinya akan diperkatakan,” kata Nabil.
Bagi Lan yang pernah mencipta kontroversi kumpulan yang dianggotainya MUH, selepas menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-23 terus unggul menguatkan jalur muzik yang diperjuangkan mereka selama beberapa tahun yang lalu. Lagu ‘berhantu’ yang didendangkan kumpulan ini, Lagu Untukmu menjadi sandaran dan kekuatan untuk mereka terus diundi peminat.
Kata Lan, dia yakin sokongan peminat terhadap MUH tidak pernah berbelah bahagi biarpun dirinya sendiri yang pernah mencalarkan reputasi kumpulan yang dianggotainya.
“Sebagai penyanyi, saya yakin entiti lagu yang menjadi karya untuk membuatkan peminat terus meminati kumpulan kami termasuk kredibiliti sesebuah kumpulan untuk terus bertahan.
“Soal kontroversi yang membabitkan saya mungkin hanya sebesar hama yang belum mampu menggugat sokongan peminat terhadap MUH. Kalau pelakon, mungkin mereka dinilai daripada kekerapan berlakon drama dan filem termasuk elemen kontroversi yang hadir dalam hidup mereka.
"Apa yang berlaku dan melanda kumpulan saya selama ini akan cuba diperbaiki demi memastikan sokongan berterusan daripada peminat. Saya akui kekhilafan saya sebagai manusia biasa dan akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada. Jika ABPBH tahun lalu, nama MUH hanya tersenarai pada calon awal saja dan tahun ini, kami bertuah perjuangan seni kami terus bersinar dan tercalon dalam ABPBH 2008. Insya-Allah," katanya yang masih sayangkan MUH.
INFO: Nabil, Ashraf, Kenchana dan Lan



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: