Thursday, March 5, 2009

Kolam Air Panas Pedas, di Rembau, Negeri Sembilan

TAMAN Tema Air Panas Pedas, di Rembau, Negeri Sembilan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong tempatan dan luar negara.

Taman tema ini menggunakan sumber air panas semula jadi yang dikatakan ditemui penduduk di situ sejak abad ke-19.


Kolam air panas ini dikatakan pernah digunakan tentera

Jepun dan Inggeris untuk memulihkan luka akibat peperangan.

Air panas itu dikatakan menyembuhkan pelbagai penyakit kulit serta lenguh sendi dan melegakan otot badan serta saraf yang tegang.

Ada pengunjung datang dari Thailand, Jepun dan Singapura untuk mengubati pelbagai penyakit.

Kini, kolam yang mempunyai kepanasan suhu mencecah antara 28 hingga 46 darjah Celcius itu sudah dinaik taraf menjadi taman tema air.

Ia dikenali dengan nama Wet World Resort Pedas Hot Spring pada 1998 sebelum dibuka kepada orang ramai pada 1999.

Pengurusnya, Thomas Yeo, berkata sejak dibuka, taman tema itu mendapat sambutan di luar dugaan sehingga menjadikan taman itu antara destinasi pelancongan popular.

Menurutnya, setiap hujung minggu, antara 5,000 hingga 6,000 pengunjung datang ke taman tema itu.

"Ada kolam air panas mendidih akibat pemanasan magma dalam bumi manakala airnya mengandungi kalium serta pelbagai bahan organik yang sesuai untuk kesihatan.

"Ia boleh dikategorikan taman tema pertama di negara ini menggunakan bekalan air panas semula jadi. Uniknya, airnya tidak mengandungi unsur sulfur," katanya.

Pelbagai kemudahan disediakan untuk pengunjung termasuk kolam besar untuk kanak-kanak dan orang dewasa mandi.

"Kita mempunyai restoran, surau, gimnasium, bilik persalinan, gelanggang tenis, kedai cenderamata dan kolam renang.

"Kita juga mempunyai 'kolam refleksologi' dan kolam ombak buatan setinggi 1.6 meter di tengah taman ini.

"Kanak-kanak boleh bermain ombak di sini tanpa perlu ke laut," katanya.



>Info

>Taman tema itu dibuka setiap hari bermula dari jam 1 petang hingga 7 malam manakala pada hujung minggu, cuti umum atau cuti sekolah, ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 petang.

>Pengunjung dikenakan bayaran masuk RM10 bagi dewasa manakala kanak-kanak RM8 dan mereka yang menjadi ahli kelab bakal beroleh manfaat dengan harga potongan 10 peratus.



CARA KE SANA: Terletak di Kilometer 20, Jalan Seremban - Tampin dan pengunjung yang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan boleh turun ke Plaza Tol Senawang dan terus menuju Jalan Seremban - Tampin.

3 comments:

  1. best gilerrrrrrrrrrrrrrrrrr

    ReplyDelete
  2. Jadikan tempah percutian singkat ahli kuarga... kos x tinggi mane, manafaatnya berbaloi-baloi.

    ReplyDelete
  3. kalau kita datang satu bas , ade tak masuk diskaun . semua Nye kanak-kanak .

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: