Thursday, March 5, 2009

'I'm sorry' masuk ke final


Mohd Amirullah ketika melakukan persembahan.

Biarpun berjaya mara, Amir berasa malu dan bersalah kepada rakannya yang tersingkir

RAMAI yang beranggapan kejayaan Mohd Amirullah Azmi, 20 berjaya melangkah ke peringkat akhir kerana undi kasihan kerana hakikatnya persembahannya ketika peringkat separuh akhir Gelanggang Raja Lawak musim ketiga minggu lalu memang sangat hambar.

Bahkan, Amir sendiri seolah-olah malu pada diri sendiri sehingga menutup muka seperti tidak sanggup untuk melihat persembahannya apabila sedutan aksinya disiarkan semula.


Tiga juri diketuai oleh Zaibo, Fauziah Nawi dan Radhi sudah hilang kata-kata untuk mengulas persembahan Amir. Kesimpulannya, aksi Amir memang sangat hambar. Dia bagaikan terpinga-pinga. Tutur katanya tersekat-sekat. Malahan ideanya pula sering ‘tersangkut’. Riak wajahnya juga jelas Amir sudah putus asa untuk meneruskan persembahan.

Namun, pengundi SMS daripada penonton masih seperti tidak mahu mengeluarkan Amir sebaliknya terus mengundinya untuk bertanding ke peringkat akhir sekali gus mengetepikan cabaran LNJ.

Pertandingan akhir Gelanggang Raja Lawak dibuat di Dewan Sivik, Auditorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jumaat ini dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima.

KUMPULAN Sepah disebut-sebut layak menjuarai Raja Lawak musim ketiga.

Bagi Zaibo, persembahan Amir sangat mendatar dan penyampaiannya cukup tidak jelas sehingga tidak isu yang menarik untuk cuba disampaikan.

"Walaupun sudah memasuki episod ke sembilan namun Amir masih dilihat lemah dalam banyak aspek, pertuturan tersekat-sekat dan tidak dapat manfaatkan masa dengan sebaik mungkin," katanya.

Fauziah pula dengan tegas mengatakan Amir masih tidak menunjukkan kemajuan walaupun setiap minggu diberi teguran.

“Saya kecewa kerana Amir tidak menunjukkan kemajuan dalam persembahannya. Amir sudah mensia-siakan persembahannya namun sangat bernasib baik kerana penonton masih menyokongnya," katanya.

PERSEMBAHAN Jihan semakin baik dan mendapat pujian daripada juri.

Radhi juga berpendapat sama bahawa Amir tidak menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin sehingga pengucapannya juga tidak lancar.

Mohon maaf kepada LNJ

Sebaik semua peserta sudah menunjukkan persembahannya, Amir yang dilihat kecewa dan sedih apabila pengacara Johan dan Zizan meminta semua persembahan peserta diimbas kembali bagi membolehkan penonton mengundi, Amir terus menutupkan matanya kerana malu dengan persembahannya.

"Saya sebenarnya bersalah dengan kawan-kawan kerana tidak dapat membuat persembahan yang baik pada malam ini. Bersalah kerana yang sepatutnya berada di tempat saya ini tersingkir.

"Saya sedar banyak kelemahan saya yang masih tidak dapat diperbaiki namun sangat bersyukur kerana masih ada penonton yang sudi menyokong saya selama ini.

"Saya berjanji akan membuat yang terbaik pada malam akhir nanti dan segala kelemahan saya seperti tidak dapat menguasai teknik penghubungan cerita dan intonasi akan diperbaiki secepat mungkin," kata Amir yang ditemui sebaik program itu tamat.

Selain Amir, tiga lagi peserta lain yang membuat persembahan seperti Jihan, Sepah dan LNJ walau bagaimanapun masih menerima pujian daripada pengkritik kerana dilihat mempunyai kemajuan dari segi mutu persembahan mereka.

Malang buat LNJ yang terpaksa akur dengan keputusan undian terpaksa meninggalkan program itu di saat akhir kerana diumumkan tersingkir dan gagal ke peringkat akhir.

LNJ yang terdiri daripada Afzan Saffuzn Ahmad, 22 dan Wan sharizon Rahim, 2,7 walau bagaimanapun terpaksa akur dengan keputusan juri apabila gagal melayakkan diri ke peringkat akhir apabila menerima undian sebanyak 21.6 peratus berbanding Amir sebanyak 21.8.

Menurut Afzan, mereka tetap kecewa dengan keputusan itu walaupun sudah membuktikan persembahan mereka diminati ramai penonton di studio termasuk pengkritik.

"Terus terang saya sangat kecewa lebih lagi ini adalah malam penentuan dan hanya tinggal beberapa hari saja lagi sebelum menjelang peringkat akhir.

"Tetapi kami tetap reda dengan keputusan itu kerana percaya peminat Amir begitu ramai. Amir juga kuat disebabkan mampu menarik perhatian daripada semua golongan usia. Jika sesekali kami keluar ramai-ramai pasti ada yang bertanyakan Amir.

"Kami juga tidak akan berhenti setakat ini saja dan akan terus ingin berada dalam bidang seni ini sekiranya ada syarikat penerbitan yang sudi mengambil kami berlakon. Program ini adalah landasan terbaik untuk kami mengasah bakat seni kami kerana kami juga sebelum ini adalah dalam bidang yang sama," katanya yang turut disokong Wan.

Peserta lain yang turut layak ke peringkat akhir seperti kumpulan Sepah yang terdiri daripada Shahmira Muhamad, 24, Mohd Nadzri Zainal Abidin, 23 dan Mohd Noor Murad, 23.

Acara karpet merah meriahkan peringkat akhir

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, pelbagai perancangan sudah diatur bagi meraikan pertandingan peringkat akhir Jumaat ini.

"Pada malam peringkat akhir nanti, kami akan mula bersiaran seawal jam lima yang mana dua pengacara yang juga daripada program ini musim lalu iaitu kumpulan Cham, Azrul dan Along akan membuat lintas langsung dari Dewan Auditorium MPAJ, Petaling Jaya.

"Apa yang membezakan pada peringkat akhir nanti adalah, buat kali pertama ia akan diserikan dengan acara karpet merah yang mana kami akan mengundang semua pelawak tanah air dari zaman 60-an sehingga kini untuk melintasi karpet merah nanti.

"Sepanjang majlis itu juga, penonton akan dapat saksikan rakaman sesi lawatan finalis kita mengunjungi pelawak yang sudah uzur seperti Datuk Jamil Sulung, Hamid Gurkha dan Param, dan mereka juga akan diundang untuk menyaksikan pertandingan akhir nanti.

"Kami akan selang selikan dengan persembahan menarik daripada juara Raja Lawak dari musim pertama iaitu Yusri, Zizan, Johan dan Nabil yang pasti menggelikan hati penonton dengan telatah mereka," katanya.

Ramai juga yang tertanya, apakah bentuk hadiah yang bakal di bawa pulang juara Raja Lawak musim ini. Pelbagai hadiah lumayan menanti juara musim ketiga. Juara akan membawa pulang kereta berjenama Citroen Picasso dan wang tunai RM20,000. Tempat kedua akan membawa pulang motosikal Naza Blade 250R, wang tunai RM14,000 dan ketiga RM8,000. Semua pemenang masing-masing akan membawa pulang barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: