Friday, March 6, 2009

Giliran anak seni Sarawak


PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) mengiktiraf karyawan seni menerusi 18 anugerah dengan kategorinya yang tertingginya, Anugerah Khas Tan Sri P Ramlee pada malam Anugerah Perdana Bintang Seniman (APSM'09) yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching, Sarawak pada 5 April ini.

Di samping mengiktiraf sumbangan dan usaha dilakukan warga seni, penganjuran malam anugerah itu dilihat sebagai pentas untuk mengumpulkan barisan artis veteran serta generasi baru dalam dunia seni tanah air.

Selain pembabitan artis Singapura sebagai tetamu jemputan dan menjayakan persembahan, antaranya Neng Yatimah, Zaiton, Hashimah Yon, Momok Latif, Wahid Satay dan Zaini Satar.

Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof, berkata selepas menganjurkan malam anugerah yang sama di beberapa negeri seperti Perlis, Kuala Lumpur, Kedah serta luar negara iaitu Jakarta, hasrat untuk melaksanakannya sekali lagi di luar Lembah Klang menjadi kenyataan selepas mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

"Malam anugerah ini diadakan dalam tempoh dua tahun sekali. Memang kami berhasrat melaksanakan program ini di Sarawak untuk memberi peluang kepada masyarakat di sana rasai sendiri bahang industri hiburan selain berkenalan dengan lebih dekat dengan selebriti popular tanah air.

"Sebagai badan persatuan, kami berasa bertanggungjawab untuk mengendalikan program seperti ini. Menerusi penganjuran malam anugerah ini ia menunjukkan pengiktirafan persatuan termasuk kerajaan negeri terhadap sumbangan dan jasa yang dicurahkan anak seni tempatan. Anugerah berkenaan bukan saja kepada warga seni di Semenanjung sebaliknya anak seni kelahiran Sarawak.

"Kami mempunyai 13 bintang mengikut kategori yang akan diserahkan kepada warga seni selain lima bintang mengikut kategori bagi anugerah anak jati kelahiran Sarawak dengan anugerah tertingginya ialah Tokoh Seni Negeri Sarawak," katanya.

Ketika ditemui pada majlis sidang akhbar APSM'09 di Finas Hulu Klang, Mustapha berkata, lebih 120 delegasi termasuk artis akan berkampung di Kuching, Sarawak dengan pelbagai aktiviti dan program seperti melawat rumah kebajikan serta sukan rakyat yang diatur menjelang malam kemuncak anugerah berkenaan.

"Kami sudah mempunyai senarai pendek pemenang yang bakal menerima anugerah. Calon pemenang pernah meraih anugerah di dalam dan luar negara dalam industri. Mereka ditentukan berdasarkan pencapaian merangkumi dalam dan luar negara, aktiviti dan pembabitan dalam bidang seni itu sendiri.

"Anugerah ini bukan hanya kepada ahli Seniman sebaliknya kepada semua karyawan seni yang terbabit. Di samping menilai pembabitan anak seni seperti pelakon, pemuzik, kru di belakang tabir dalam arus perdana, kami juga turut mengiktiraf pencapaian mereka yang aktif bergerak sendiri (indie)," katanya pada majlis sidang media itu.



Turut hadir wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Negeri Sarawak (KPSU), Ik Pohon Joyik dan Penolong Setiausaha Bahagian Kebudayaan KPSU, Usop Kilat, Timbalan Presiden Seniman, Ahmad Idham dan Setiausaha Kehormat Seniman, Yusof Kelana.

Konsep persembahan pada malam anugerah itu dijangka menggabungkan elemen baru dan lama. Di samping tarian ia turut membabitkan pementasan lakonan yang dikendalikan Idham dan Yusof sendiri.

Sementara itu, wakil Sarawak, Usop memberi jaminan akan berusaha sedaya upaya membantu menjayakan malam anugerah berkenaan. Selain menjadi platform untuk menjalin kerjasama antara kementerian ia juga dapat membangunkan dunia seni tanah air.

"Dengan adanya jalinan seperti ini ia menjadi suntikan dan motivasi terbaik kepada artis tanah air," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: