Friday, March 20, 2009

Episod baru cinta Darling


WAJAH ceria Darling sewaktu cincin pertunangan disarungkan oleh bakal ibu mertuanya, Badariah Abu Bakar.


BERBANDING dengan adik-beradiknya yang lain, kehidupan yang dilalui oleh anak dara pasangan Ngasri Sain dan Habibah Jaafar ini sering kali menjadi perhatian.

Entah mengapa, nama Nasreen Ngasri, 26, atau lebih popular dengan panggilan Darling ini sering sahaja dihambat dengan kontroversi dan juga cerita-cerita yang kurang enak sehingga ada yang terlupa dengan perjuangannya sebagai seorang pelakon dan penerbit drama.

Mungkin dia sendiri tidak menyangka kisah hidupnya akan mendapat perhatian meluas, namun, bagi empunya diri, dia tidak mampu untuk mengelak daripada itu kerana statusnya sebagai seorang selebriti.

Namun, apabila dia memutuskan untuk mengikat tali pertunangan dengan seorang jejaka yang hanya baru dikenalinya dalam tempoh empat bulan, ada yang mengatakan tindakan Darling itu dianggap sebagai terburu-buru.

Malah, tidak kurang juga yang menyatakan Darling sengaja mahu mengalih perhatian masyarakat yang selama ini sudah disajikan dengan kisah kurang manis tentang dirinya.

"Perkara itu semuanya tidak timbul. Apa sahaja yang berlaku dalam hidup saya sebelum ini semuanya adalah satu pengajaran dan pengalaman yang mematangkan diri saya untuk menempuhi hidup ini.

"Saya percaya dengan apa yang sudah tertulis di luh mahfuz dan saya menganggap semua ini adalah satu lembaran baru dalam hidup saya. Apa sahaja yang berlaku, saya mahu simpan dalam lipatan sejarah.

"Kini, saya mahu meneruskan kehidupan dan bertemu dengan lelaki yang bakal menjadi suami saya ini, adalah momen terindah dalam hidup saya. Saya terharu dengan keikhlasan dan kejujurannya menerima saya sebagai Nasreen Ngasri dan bukannya Darling," kata Darling seusai majlis pertunangannya yang diadakan di rumah keluarganya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perkenalan yang cukup singkat menerusi seorang kenalan itu telah berjaya membuka hati Darling untuk menerima Nur Azlin Rahmat, 34, atau Azlin sebagai raja yang bakal bertakhta di hatinya.

Apatah lagi, Azlin yang merupakan seorang pegawai pemasaran di salah sebuah syarikat swasta di ibu negara itu merupakan seorang yang cukup memahami dan pandai mengambil hatinya serta keluarganya.

Tetapi, kata penerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1996 menerusi drama Selamat Hari Jadi Su III itu lagi, dia tidak memandang kepada harta mahupun kemewahan dalam memilih teman hidup.

Sebaliknya, hati yang luhur dan jujur yang dipandang Darling dan kriteria itu ada dalam diri Azlin lantas membuka pintu hatinya untuk menerima lamaran jejaka kacak itu.

"Mungkin orang akan menganggap pertunangan saya ini berlaku dalam tempoh yang cukup singkat tetapi saya sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri.

"Umur saya pun bukannya muda lagi dan saya rasa dengan umur saya ini sudah mematangkan saya untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Saya macam tak percaya juga akhirnya menjadi tunangan orang," ujarnya tersenyum manis mengenakan kebaya moden kuning dan krim yang cukup menyerlahkan wajahnya yang comel itu.

Ternyata, hati Darling berbunga riang dan rona gembira serta bahagia jelas terpancar di wajahnya tatkala bakal ibu mertuanya, Badariah Abu Bakar menyarungkan cincin pertunangan di jari manisnya.

Dalam majlis itu, Darling telah menerima lima dulang hantaran dan sebahagian daripada wang hantaran RM22,222.22, senaskhah al-Quran, sepasang kain sepersalinan, manisan, sirih junjung dan manisan.

Sebagai balasan, pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang yang terdiri daripada sirih junjung, sejadah, satu set butang baju Melayu, songket, manisan serta sepasang kain sepersalinan.

Menerusi hasil perbincangan kedua belah keluarga, masing-masing sepakat memilih 30 Mei sebagai tarikh pernikahan manakala persandingan akan dilangsungkan sehari selepas itu di rumah keluarga Darling.

Seminggu selepas itu pula, majlis menyambut menantu akan diadakan di rumah keluarga Azlin yang terletak di Bukit Katil, Melaka.

Tidak mahu berlebih-lebihan mahupun menghamparkan kemewahan dalam majlis perkahwinannya nanti, apa yang paling utama bagi Darling adalah kesederhanaan.

Untung menjadi seorang artis seperti Darling, persiapan perkahwinannya yang sudah mencecah 70 peratus itu juga mendapat tajaan dan kerjasama daripada beberapa pihak.

Antaranya Astana Karya yang bertindak sebagai perancang perkahwinan manakala butik Cosry pula akan menaja pakaian nikah mereka selain rekaan pelamin persandingan yang akan diuruskan oleh Nas Great Idea dan Z & T Bridal.

Sementara itu, Azlin yang masih kelihatan malu-malu dan kekok berdepan dengan pihak media memberitahu keputusannya memilih Darling sebagai bakal isterinya adalah pilihan yang tepat.

Ini kerana Darling disifatkannya sebagai wanita yang cukup penyayang, memahami dan memiliki hati yang baik serta pandai menghormati orang tuanya.

"Keserasian antara kami mudah terjalin dan apa yang penting adalah komunikasi antara kami dalam memastikan hubungan ini sentiasa berjalan lancar.

"Apa sahaja yang telah berlaku dalam hidupnya tidak pernah saya anggap sebagai satu halangan kerana saya percaya setiap manusia pernah berdepan dengan situasi itu.

"Saya menerima Darling kerana dirinya dan bukan statusnya sebagai seorang artis. Ini merupakan langkah pertama saya untuk membiasakan diri dengan kehidupan glamor yang tempiasnya terkena juga pada diri saya," kata Azlin sambil merenung wajah bakal isterinya di sebelah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: