Saturday, March 7, 2009

Dua filem menanti Megan


MEGAN FOX


SEJAK beraksi dalam filem Transformers dua tahun lalu, pelakon berwajah eksotik ini sememangnya menjadi perhatian penerbit dan pengarah filem di Hollywood.

Berbekalkan wajah jelita selain daripada susuk tubuh yang menarik, Megan ternyata berjaya meletakkan dirinya sebagai antara bintang baru yang mampu untuk bertahan lama di dalam industri.

Terbaru, Megan sudah pun menyatakan persetujuannya untuk membintangi dua buah filem aksi yang merupakan adaptasi daripada komik yang berjudul Jonah Hex dan Fathom, kedua-duanya untuk studio perfileman yang berbeza.

Menerusi filem Jonah Hex, Megan akan memegang watak sebagai Leila, seorang pemburu wanita yang terkenal dan juga teman wanita kepada Jonah Hex yang akan dibawakan oleh bekas calon Oscar, Josh Brolin.

Leila dan Jonah bersatu dan memburu seorang pengamal voodoo yang bakal dilakonkan oleh John Malkovich yang cuba untuk menyeru roh jahat agar dapat membangkitkan semula mayat- mayat hidup untuk mengganggu ketenteraman awam.

Dalam filem Fathom pula, Megan akan memegang watak utama, Aspen yang merupakan watak yang dicipta oleh mendiang Micheal Turner yang baru sahaja meninggal dunia.

Dalam filem dan komik tersebut, ia mengisahkan tentang Aspen yang mempunyai kuasa luar biasa apabila dia tertarik kepada air, lebih-lebih lagi apabila dia merupakan salah seorang robot manusia yang mempunyai kuasa untuk mengawal air.

Sebelum menjalani penggambaran untuk kedua-dua buah filem itu, peminat setia Megan akan dapat menyaksikan lakonannya dalam filem sekuel Transformers yang berjudul Transformers 2: Revenge of the Fallen yang akan ditayangkan pada 24 Jun depan manakala filem Jennifer's Body pula pada 18 September.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: