
Erra sudah mula tidak dapat tidur lena
Masuk sahaja ke bulan Mac, itu tandanya kandungan Erra Fazira sudah menjangkau 9 bulan. Dan sudah pasti peminatnya di luar sana tidak sabar menanti kelahiran anak sulung kepada Erra Fazira dan pasangannya Engku Emran.
Menurut jangkaan doktor, pasangan ini akan menimang cahaya mata pertama mereka antara 10 dan 25 Mac. Setakat ini, Erra juga dijangka akan melahirkan anak sulungnya secara normal.
”Erra berdoa dapat bersalin secara normal, dan dia lahir dengan sihat serta cukup sifatnya. Sejak kebelakangan ini, Erra memang dah mula tak lena tidur. Baring ke kiri tak kena dan ke kanan pun tak kena. Ada kalanya, perut rasa keras dan dia seperti bermain-main dengan kita. Itulah saat paling gembira bagi Erra dan kekadang Erra juga bercakap dengan baby,” ujar Erra.
Menurut Erra di saat beginilah baru dia terasa debaran untuk melahirkan. Dulu dia tidak pernah rasa takut tetapi sejak kandungannya mencecah 8 bulan, dia sudah terfikir bagaimana nak jaga anaknya dengan sempurna nanti.
”Maklumlah, dalam dunia yang serba moden ni serba tak kena kalau tersilap jaga anak. Terlalu manja pun tak boleh, kasar pun tak boleh dan kalau boleh memang Erra nak jadi seorang ibu yang sempurna dalam mendidik anak nanti. Lepas bersalin sahaja, Erra kena fikirkan pula untuk menguruskan badan,” ujarnya bercerita.
Nadia Mustafa tunggu waktu
Ikut jangkaan doktor, Nadia Mustafa akan melahirkan anaknya pada tanggal 13 Mac ini. Doktor juga mungkin mengjangkakan yang Nadia akan melahirkan anak lebih awal.
”Sekarang ni pun, dah buka 1 inci dan memang Nadia dah tak memandu dan keluar seorang diri. Nadia tahu, bila-bila masa sahaja Nadia boleh bersalin. Dalam kereta pun, memang Nadia dah memang ada ‘standby’ segala barang keperluang yang penting untuk dibawa ke hospital,” ujar Nadia yang juga sudah dua bulan tidak menerima tawaran berlakon.
Menurut Nadia, sejak kebelakangan ni ada sahaja kawan-kawannya yang memberi pelbagai petua kepadanya selepas bersalin nanti. Dia sekadar mendengar dan menerima yang mana perlu sahaja. Nadia juga akui akan berpantang 100 hari.
Semakin hampir hendak bersalin, dia akui semakin tidak sabar hendak melihat wajah anaknya. Dia juga mengharapkan anaknya sihat dan sempurna lahir nanti. Doktor juga menjangkakan yang Nadia akan bersalin secara normal.
Zila Bakarin takut saat melahirkan anak
Dalam beberapa hari sahaja lagi, Zila Bakarin pun bakal bergelar ibu. Dan sudah pasti, saat ini dia sedang berdebar menanti kelahiran anak pertamanya. Seperti yang diketahui, Zila juga tidak menghadapi alahan sepanjang dia mengandung dan menurut doktor dia akan bersalin secara normal.
”Setakat ini, kandungan saya ok dan saya pun sentiasa ada kat rumah kerana menunggu hari sahaja lagi. Ikut kiraan doktor dalam 13 Mac ni tetapi saya kalau boleh nak cepat. Dah tak sabar rasanya nak tengok muka anak.
”Saya tak takut ataupun berdebar nak bersalin tetapi saya rasa berdebar nak tunggu apa rasanya saat nak melahirkan tu. Bagaimana rasanya dan itulah selalunya yang bermain di kepala ni. Sakit ataupun tidak bukan perkara penting tetapi apa tanda-tandanya dan bagaimana saya ketika itu,” ujar Zila seronok bercerita.
Menurut Zila, dia tidak banyak membeli belah untuk ‘baby girl’ yang bakal lahir nanti kerana semuanya disambut dalam kesederhanaan. Setakat ini, dia hanya beli benda-benda yang penting sahaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: