![]() |
| Artis baru, Zouffi (kiri) dan Dalila yang akan membuat persembahan semasa prelude KLfm Alive. |
TAHUN ini, stesen radio KLfm (di bawah naungan RTM) meraikan ulang tahun penubuhan yang ke-36.
Seiring dengan kematangan usianya, KLfm terus mengatur dan mengorak langkah dengan lebih kemas dalam menyediakan pelbagai program terbaik, khas untuk pendengar setia di sekitar Lembah Klang terutamanya acara radio di lokasi terbuka.
Sehubungan itu, pada 7 Mac ini (esok), pengurusan dan warga kerja KLfm mengambil inisiatif menganjurkan Konsert KLfm Alive dalam usaha mereka mendekatkan diri kepada pendengar-pendengar setia KLfm selain cuba mencari pendengar baru.
Berlangsung di Dataran Remaja, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, konsert yang berlangsung pada pukul 4 petang itu membariskan artis-artis terkenal tanah air yang akan membuat persembahan.
Antara artis yang disenaraikan kemunculan mereka ialah Meet Uncle Hussein, Adam, Azharina Azhar, 6ixth Sence, Eyzlynn dan Flava.
Artis-artis yang terdiri daripada pelbagai aliran muzik seperti rock, balada dan pop, jelas menunjukkan variasi persembahan konsert tersebut nanti.
Malah Konsert KLfm Alive bakal menyaksikan penampilan istimewa penyanyi veteran negara, Datuk M. Daud Kilau yang pastinya bakal menggamatkan suasana dengan gelekannya.
Berlangsung di tempat terbuka, KLfm Alive menjangkakan jumlah penonton yang besar sebagai menyatakan rasa terima kasih kepada pendengar yang setia dengan stesen berkenaan selama ini.
Lebih menarik lagi, sesiapa sahaja boleh menyaksikan konsert tersebut secara percuma jika berkunjung ke dataran remaja pada tarikh berkenaan.
Selain itu, orang ramai juga berpeluang untuk bertemu dan beramah mesra dengan barisan deejay KLfm seperti Azizah Sulaiman, Azlan Omar, Kzie, Nik Aida, Zullastree, Ellyzack, Nia, Noreen Ang dan Nd.
Namun begitu, orang ramai boleh datang sebelum Konsert KLfm Alive berlangsung kerana KLfm akan menganjurkan Prelude Konsert KLfm Alive yang akan bermula seawal 3.15 petang.
Pada konsert prelude ini, KLfm telah mengundang beberapa artis baru yang dilihat mempunyai bakat besar dalam bidang seni suara.
Antaranya ialah Zawazi yang popular dengan lagu Di Setiap Nafasku, Dalila dan Zouffi.
Menurut Pengawal KLfm, Fee Lin Chew, tujuan konsert prelude ini diadakan adalah untuk membolehkan artis-artis baru memperkenalkan bakat dan lagu mereka kepada orang ramai.
Lebih menarik lagi kata Fee, pada konsert prelude itu juga, orang ramai bakal menyaksikan kemunculan semula Zamani setelah sekian lama menyepi.
Zamani dijangka menyanyikan single terbarunya, Aku Ingin Berkata.
Sementara itu, penerbit Konsert KLfm Alive, Nor Aein Muftaharuddin pula memberitahu, seramai 20 orang pendengar setia KLfm akan dipilih untuk mendapat layanan istimewa daripada KLfm ketika konsert itu berlangsung.
“Untuk menjadi salah seorang daripada 20 orang pendengar bertuah tersebut, pendengar perlu menjawab soalan pada segmen Nadi Kota pukul jam 2 hingga 5 petang.
“Peraduan bermula pada 2 Mac sehingga hari ini sebelum konsert berlangsung. Pemenang akan diberi layanan istimewa termasuk tempat duduk hadapan serta hadiah daripada KLfm semasa konsert berlangsung,” ujarnya.
Menurut Aein lagi, selain daripada persembahan nyanyian, pengunjung juga akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi peraduan yang disediakan.
Di samping itu, pelawak Abon juga akan menyerikan lagi konsert tersebut dengan lawak yang pastinya mencuit hati orang ramai.
Abon yang bergandingan dengan Zillastree, deejay Klfm, akan menjadi pengacara sepanjang konsert tersebut berlangsung.
“Saya dan warga kerja KLfm mengalu-alukan kunjungan semua warga kota, khususnya pendengar setia KLfm agar dapat datang ke Konsert Klfm Alive nanti,” ujar Aein.
Menurut Aein, konsert ini diadakan adalah untuk menghargai pendengar dan peminat setia KLfm.
Stesen berkenaan juga jelasnya, merancang untuk menganjurkan sebuah lagi konsert mega pada tahun ini yang pastinya menjanjikan sesuatu yang menghiburkan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: