Friday, March 6, 2009

Aznil, Din Beramboi semakin serasi


SEJAK digandingkan mengendalikan slot Pagi di Era bermula awal Januari lalu, pengacara popular, Aznil Nawawi dan Din Beramboi mengakui semakin serasi. Gandingan itu yang pasti dapat mengukuhkan kedudukan Era FM sebagai stesen radio nombor satu.

Kombinasi mereka juga tidak dinafikan semakin diterima pendengar setia stesen radio yang bernaung dibawah AMP Radio Network itu. Selepas mengambil alih slot yang sebelum ini kerap bertukar pengendalinya, Aznil dan Din turut berasa bertuah kerana diberi peluang untuk mengendalikan slot berkenaan selepas menggantikan tempat penyampai muda, Nana dan Adi.

Selama empat jam bermula seawal 6 pagi, Aznil dan Din akan menemani pendengar setia Era dengan pelbagai aktiviti dan pengisian program yang menarik.

Menurut Aznil, keserasian antara mereka semakin selesa malah dia turut bersyukur apabila menerima respon yang positif daripada pendengar setia radio itu.

“Kami selesa dengan cara kerja masing-masing. Saya juga semakin selesa dengan lawak Din. Begitu juga dia. Kalau tidak ada keserasian agak sukar juga untuk mengendalikan program bersama apatah lagi sudah lebih sebulan kami mengendalikan program bersama. Kalau tidak serasi mungkin kami tidak lagi digandingkan untuk mengendalikan slot ini.

“Bayangkan kami mengorbankan waktu tidur dan pagi bersama keluarga apabila terpaksa bangun seawal jam 4 pagi untuk berada di konti seterusnya mengendalikan slot pagi.

“Memang saya akui keserasian amat penting. Apatah lagi mana-mana stesen radio sekali pun mempunyai jumlah pendengar waktu pagi yang cukup besar.

“Saya dimaklumkan slot ini juga mendapat maklum balas yang positif daripada pendengar. Ramai yang seronok dengan cara baru yang kami sampaikan. Kami menyampaikan beberapa program yang lain daripada lain seperti drama sebabak serta berita dengan cara kami,” katanya.

Pengacara program kanak-kanak, Tom Tom Bak selain hiburan seperti Akademi Fantasia, Jangan Lupa Lirik, Macam-Macam Aznil itu berpendapat apa yang lebih penting ialah niat setiap penyampai radio yang mahu berjaya dalam bidang itu. Baginya, jika bersandarkan populariti atau wang ringgit semata-mata segalanya tidak akan berjaya.

Bagi Din Beramboi pula, dia ternyata bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh rakan setugasnya itu. Malah dia sentiasa tidak melupakan matlamat sebenar stesen radio itu iaitu bekerja secara berpasukan dalam apa cara sekalipun.



“Saya selesa bekerja bersama Aznil. Jarak usia kami juga tidak jauh beza. Kami membesar dalam industri yang sama. Kami bekerja bukan dalam individu. Sebaliknya berpasukan seperti saya dan Aznil serta pasukan radio Era ini sendiri.

“Saya dan Aznil sudah kenal lama, namun tidak pernah bersama. Cara saya dan dia sangat berbeza namun mungkin ada kelebihan membuatkan Era mengambil saya untuk digandingkan bersamanya. Saya cukup bertuah kerana dapat bekerja bersama pengacara nombor satu negara.

“Memang melalui segmen Riuhkan Pagi di Era saya ditugaskan untuk meriuhkan suasana pagi dengan lawak-lawak merapu. Di sebalik lawak merapu itu sebenarnya ada pengajaran yang hendak disampaikan. Aznil akan bertindak mengimbangi keadaan itu dengan caranya,” katanya.

Mereka ditemui ketika menyerahkan sumbangan wang tunai sejumlah RM12,394.60 kepada Pusat Jagaan Kanak-kanak Nur Salam, Chow Kit. Sumbangan berkenaan dikumpul selepas menjayakan beberapa aktiviti dan program sempena Cabaran Orang Iklan Era bertempat di hadapan Pusat Membeli-belah Sogo, Kuala Lumpur pada 21 Februari lalu.

“Dengan cara ini kami bukan hanya membantu golongan kanak-kanak yang kurang bernasib malah mewujudkan kesedaran kepada masyarakat mengenai keadaan di pusat jagaan ini.

“Melalui program (Cabaran Orang Iklan Era) kami bukan hanya mengenakan pakaian khas yang ditaja oleh pihak Astro sebaliknya mengadakan persembahan selain mengutip derma kilat di lokasi berkenaan.

“Selain kami, beberapa rakan penyampai Era yang lain turut terbabit demi menjayakan program itu. Malah Din juga turut membuat persembahan dengan alunan gitar. Kami sendiri tidak menyangka dalam mengumpul sejumlah itu. Begitupun, jika diberi tempoh yang panjang dan lebih teratur kami yakin dapat mengumpulkan dana yang lebih tinggi daripada jumlah berkenaan,” kata Aznil.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat berkenaan, Raja Azizan Suhaimi Abdul Latiff menyambut baik usaha yang dijalankan oleh pihak stesen radio Era dalam meringankan beban kos operasi yang ditanggung pihaknya.

“Kami merancang untuk menjadikan Aznil sebagai Ikon kepada Nur Salam memandang dia juga cukup disenangi kanak-kanak menerusi program yang dikendalikan dan mempunyai ciri-ciri penyayang.

“Kami sentiasa mengalu-alukan bantuan dan sokongan daripada masyarakat untuk memastikan kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini lebih cerah pada masa depan,” katanya.

Pusat berkenaan menempatkan kira-kira 400 kanak-kanak antaranya membabitkan 20 hingga 100 kanak-kanak (4 hingga 14 tahun) mengikut program sepenuh masa. Dianggarkan kos operasi menguruskan pusat berkenaan belum termasuk gaji pekerja sekitar RM25,000 sebulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: