| DI kalangan ramai aktor, nama Ashraf Muslim, 28, antara yang menjadi sebutan bakal membintangi filem Anu Dalam Botol. |
Keberkesanan lakonannya dalam teater Patung Kertas di samping Datuk Jalaludin Hassan ternyata menambat Raja Azmi Raja Sulaiman selaku produser filem itu.
Baru-baru ini, Raja Azmi mengadakan sesi uji bakat mencari pelakon utama dan pelakon pembantu untuk filem itu dan dalam ramai barisan aktor yang hadir beliau mengharapkan kemunculan Ashraf untuk diuji bakat.
Namun Ashraf tidak muncul kerana dia ada kerja di Melaka dan atas sebab lain dia belum begitu berani melakonkan adegan panas dalam filem itu yang mengisahkan kehidupan seorang gay membuangnya 'anunya' demi mengejar cinta sang kekasih kaum sejenisnya.
"Saya beritahu Raja Azmi tidak dapat menghadiri uji bakat itu kerana pada hari sama saya ada kerja lain dan apabila saya baca skrip jalan ceritanya agak panas.
"Tidak seperti saya berlakon dalam teater Patung Kertas watak itu berdiri sendiri tanpa permainan berunsur seks. Patung Kertas menceritakan kehidupan seorang mak nyah.
"Sama juga ketika Rusdy Ramli membawakan watak mak nyah dalam filem Waris Jari Hantu. Ia tiada babak panas membabitkan hubungan dua manusia. Kalau hendak bawa watak lelaki lembut dalam filem saya lebih sukakan watak dibawa Rusdy.
"Namun Anu Dalam Botol, watak dan jalan ceritanya agak berat. Bagaimanapun saya masih memikirkannya kerana watak itu menarik dan saya pun mahu jadi pelakon serba boleh. Namun memikirkan dari sudut lain, ada perkara yang agak merisaukan terutama penerimaan keluarga dan masyarakat terhadap saya. Apatah lagi jika jadi berlakon dalam filem itu, ia adalah filem pertama saya.
"Saya tahu Raja Azmi ingin mendidik masyarakat menjalani kehidupan mengikut apa yang ditetapkan Allah s.w.t, tetapi saya bimbang remaja akan memikirkan perkara sebaliknya," katanya.
Sejak kebelakangan ini Ashraf sering diberikan watak pemuda alim dan baik dalam drama lakonannya seperti dalam Puaka Niyang Rapik dan Yusuff.
| |
Kebaikan yang ditonjolkan dalam drama itu bukan saja bertujuan memberi teladan kepada masyarakat, tetapi turut mendidik dirinya menjaga budi pekerti.
| |
Tidak terlalu sukar untuk Ashraf menghayati watak pemuda baik dalam kedua-dua drama itu kerana sifat semula jadinya tak suka marah.
Selayaknya Ashraf menjadi Yusuff yang diilhamkan daripada kisah Nabi Yusuf yang baik budi serta segak sehingga ibu tirinya, Zulaikha, menaruh hati padanya.
Sejak berlakon pada 2006, Ashraf sudah membintangi lebih 20 drama, tetapi wataknya sebagai Ustaz Amirul dalam Puaka Niyang Rapik amat diingati penonton dan menjadi rebutan pengarah drama.
Kini namanya sebaris artis popular tanah air.
"Walaupun Puaka Niyang Rapik sudah tamat tayangan penonton masih ingat watak itu. Ada yang terus memanggil saya Ustaz Amirul dan minta saya mengubati penyakit.
"Manalah saya tahu berubat kerana itu sekadar watak dalam drama. Memang bertuah dapat berlakon dalam drama berepisod kerana setiap minggu orang tengok lakonan kita.
"Puaka Niyang Rapik mendapat rating tinggi antara semua program di TV3 termasuk Buletin Utama. Kaum Cina pun antara penonton setia drama ini. Dengarnya pengarah drama itu, Ahmad Idham akan mengangkatnya ke filem dan Insya-Allah saya masih pegang watak sama.
"Watak saya dalam drama Yusuff pula ada tiga peringkat usia iaitu 14, 18 dan 20 tahun. Watak ketika usia 14 tahun dipegang orang lain manakala untuk usia 18 dan 20 tahun saya membawakannya sendiri kerana jarak usia dua tahun itu tidak banyak beza. Yusuff seperti diri saya sendiri yang tidak suka marah," katanya.
Selesai penggambaran Yusuff, Ashraf terus ke lokasi drama Ejen Gus Gus berkonsepkan seperti drama Inggeris Kyle XY. Drama itu diterbitkan sebanyak 26 episod.
Seperti kebanyakan pelakon lain, waktu mula menceburi bidang lakonan Ashraf mengambil dua tiga tawaran sekali gus, tetapi sekarang tumpuan kepada satu produksi saja.
"Masa mula berlakon, saya diberikan peranan pembantu dan tanggungjawabnya tidak terlalu besar. Bolehlah saya 'berlari' ke sana sini. Tetapi sejak berlakon dalam drama berepisod, Renjis, saya mula diberi watak utama. Jadi saya perlu berikan sepenuh perhatian kepada watak itu apatah lagi jika ia drama berepisod.
"Saya mesti bekerja bersungguh-sungguh dan membuktikan kemampuan diri kerana berlakon punca rezeki saya. Jika kerja kita berkualiti orang akan ingat pada kita.
"Insya-Allah tawaran akan sentiasa ada. Oleh itu saya tak mahu tamak kerana ia merugikan diri sendiri. Sambil berlakon saya juga belajar dengan pengarah dan kru produksi untuk memantapkan lagi lakonan kerana saya tidak pernah masuk kelas berlakon.
"Lokasi penggambaran menjadi kelas saya. Pengarah, kru produksi dan pelakon lain yang berlakon bersama adalah guru saya," katanya.
Ashraf juga terkejut apabila namanya tersenarai antara lima artis lelaki popular untuk kategori Pelakon TV Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular - Berita Harian 2008 (ABPBH2008).
"Saya terkejut dengan pencalonan itu kerana saya tidak pernah tengok barisan aktor yang tercalon dalam ABPBH2008. Tiba-tiba saya dapat panggilan nama saya tercalon untuk kategori itu. Terima kasih kepada peminat, tetapi saya tak sangka kerana ramai lagi pelakon lelaki yang bagus.
"Pemilihan itu cabaran bagi saya kerana orang dah kenal saya. Maka kenalah saya menjaga diri dan jangan terbabit dalam perkara yang tidak elok," katanya.
Di samping berlakon, Ashraf juga mengembangkan perniagaan ternakan kambingnya yang kini ada 500 ekor. Bidang ternakan itu diusahakan bersama bapanya di Melaka.
Ashraf yang kematian ibu pada 2005 adalah anak sulung daripada tujuh beradik.
Justeru, dia dan bapanya bersama memikul tanggungjawab memastikan keperluan dan kebajikan adik-adiknya terjaga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: