Tuesday, March 3, 2009

ABPBH 2008: Cepat serasi


SEMAKIN dewasa. Usia mereka hampir sebaya, pengalaman dalam dunia hiburan mematangkan Nana, Dina.

Gandingan Nana dan Dina memantapkan lagi persembahan radio Era walaupun mereka baru disatukan Januari lalu

MEREKA cepat serasi. Banyak persamaan yang menyatukan dua personaliti berbakat besar kelahiran Johor Bahru ini. Semudah sebutan nama mereka, Nana dan Dina begitu pantas mencipta gandingan 'regu' mengendalikan Carta Era bersama sejak 4 Januari lalu.

Pengambilan Dina sebagai penyampai radio sambilan di stesen radio Era itu antara strategi pembaharuan yang cuba diterapkan Pengurus Rangkaian Era, Nazri Noran.


Selepas ‘kehilangan’ Linda Onn yang kini bertugas di Sinar FM, hanya Nana penyeri dan bunga di radio itu. Lalu, kehadiran naib juara Malaysian Idol musim pertama itu dilihat sebagai langkah lazim menggunakan golongan selebriti bergelar penyampai radio. Sudah dua bulan Nana berpasangan dengan Dina untuk segmen itu yang ke udara setiap Sabtu jam 2 hingga 4 petang dan siaran ulangannya pada Ahad, jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nazir itu masih dalam pemerhatian stesen radio Era kerana mengikat kontrak berperingkat selama setengah tahun. Setakat ini, gadis berusia 24 tahun itu sudah mula menyukai kerjaya barunya dan pada masa sama tawaran rezeki berlakon, mengacara dan menyanyi datang mencurah-curah.

Bagi Nana atau Nurul Hana Che Mahazan yang sudah lima tahun setia bersama Era turut meluahkan perasaan senang kerana dapat bekerjasama dengan Dina.

Nana

Kata Nana yang sedang disolek jurusolek Famee, dia memuji Dina yang sering membahasakan dirinya adik kepadanya. Tawa dan usikan mereka jelas menunjukkan keakraban masing-masing bukan lakonan. Paling menarik, Nana sempat menyenaraikan persamaan yang kebetulan menyamai diri mereka.

Seloroh Nana sambil menunjukkan barisan gigi tersusunnya selepas tidak lagi memakai pendakap sejak empat bulan lalu, pujian itu bukan sekadar ayat ‘propa’ malahan menyifatkan Dina cepat menangkap dan tak perlu diajar mengenai tugasnya. Fotografi kali ini, cuba menunjukkan sisi berbeza Dina dalam gaya maskulin, manakala Nana pula cukup feminin dengan gaun santai.

Bersama Hip, mereka berkongsi cerita dan rasa kematangan dalam merempuh dunia seni yang pancaroba. Hujung 2009 ini, kontrak Nana bersama Era akan tamat dan insya-Allah kalau ada rezeki, ia pasti disambung.

Bagi Nana, kritikan dan pelbagai kontroversi yang dihadapinya dianggap sebagai proses mematangkan dirinya. Selama enam tahun merentas onak seni, namanya masih utuh dalam pentas hiburan.

Dina

Bahkan sudah lima tahun berturut-turut sejak 2004, nama Nana belum pernah tercicir kategori Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Tahun ini, sekali lagi Nana berentap dalam kategori yang sama bersaing dengan Abby Fana, Linda Onn, Leeya dan kawan baiknya, Fara Fauzana.

“Alhamdulillah, biar nama Nana sering dicerca, dihentam dan menjadi bahan usikan termasuk di laman maya, saya masih mendapat sokongan dan disenaraikan (dalam ABPBH). Bagi Nana soal menang atau kalah bukan isu di sini. Berada di dalam kelompok lima yang popular sudah memadai.

Nana masih rasa bertuah walaupun ramai orang yang tak gemarkan diri ini kerana selalu dikata gediklah, seksilah, tapi Nana masih ada tempat di hati peminat. InsyaAllah tahun ini kalau berkesempatan Nana nak ikut jelajah ABPBH 2008 ke Batu Pahat, Johor.

“Itu pun kalau Nana dapat pergi sebab sekarang ini kami di Era sedang sibuk membuat bancian rating untuk AC Nielsen. Bayangkan kerana bancian itu, Nana tak boleh ambil cuti hingga April,” katanya.

Di radio Era, Nana antara penyampai yang lama bertugas di situ biarpun dia paling muda. Keadaan itu menyedarkan dirinya bahawa dia mengubah personalitinya menjadi seorang yang lebih dewasa berbanding seperti anak kecil yang boleh diperkotak-katikkan. Nana menyedari ke depan nanti, persaingan sentiasa sengit menanti di hadapannya.

Memang Nana sudah matang dari pelbagai segi. Perubahan penyampai radio Era termasuk pertukaran bos, membuatkan Nana sedar kerja yang dilakukan ini bukan imaginasi lagi.

“Persaingan pun begitu kuat kerana setiap stesen radio berlumba-lumba bersaing untuk menarik perhatian. Malahan, sewaktu menghabiskan masa dengan Fara Fauzana pun sedikit sebanyak kami ada bertanyakan khabar masing-masing termasuk Kieran yang sudah menyertai stesen radio lain. Tapi seboleh-bolehnya kami tidak mahu ambil tahu cakap perihal kerja apabila bercuti,” kata Nana yang mengaku tidak kuat bekerja seperti Fara Fauzana kerana baginya setiap kerja pasti ada batasannya.

Raut wajahnya kini menggambarkan perasaan hatinya yang sedang berbunga menjalani kehidupan peribadi. Tidak hairanlah, Nana kini begitu terbuka membicarakan soal kesungguhannya menamatkan zaman bujang. Katanya, Tuhan membuka hatinya untuk menerima seseorang dan baginya jodoh tidak mengenal bangsa.

“Insya-Allah ada jodoh saya mungkin akan kahwin tahun depan. Memang sasaran saya untuk kahwin 2010. Ada perkembangan lanjut, ada apa-apa, pasti Nana akan beritahu,” katanya tanpa berselindung.

Teruja dengan tugas baru

Walaupun menjadi penyampai radio Era secara sambilan, hampir setiap hari Dina meluangkan masa di stesen radio itu. Selain mengendalikan Carta Era bersama Nana, Dina turut bekerja pada hujung minggu bersama Reza.

Itu semua tertakluk kepada kesesuaian masa atau jadual kerjaya seninya.

Dina berkata, tawaran untuk menjadi penyampai di Era dibuat sendiri oleh Nazri pada Disember tahun lalu.

“Dia (Nazri Noran) menghubungi Dina dan bertanya sama ada berminat atau tidak menjadi penyampai radio. Jujurnya memang saya minat memikul kerja itu kerana Dina sendiri memang suka bercakap.

“Sewaktu dihubungi, pelik juga rasanya kerana tiba-tiba saja ditawar perkara itu. Dalam hati, Dina persoalkan kembali, serius ke? Ketika itu, Nazri cakap Era memang nak cari penyampai radio wanita lagi. Katanya lagi, dia menawarkan kerja itu selepas disyorkan ramai orang.

“Dina biarkan tawaran itu tanpa jawapan pasti buat sementara waktu. Malah, ketika itu Dina perlu menjalani penggambaran filem Jangan Pandang Belakang Congkak di Perlis. Hujung Disember tahun lalu, daripada perbualan menerusi telefon, ia berlanjutan hingga ke perbincangan di Astro, Bukit Jalil.

“Selepas menjalani ujian suara dan menunggu selama empat hari, Dina ditawarkan kerja itu,” katanya.

Gadis bertubuh gempal itu mengakui betapa pengalaman bekerja di Era cukup menyeronokkan kerana kerjanya dilakukan secara berpasukan.

“Dina seronok dapat pasukan kerja yang baik dan sangat menyokong. Adifashla banyak mengajar saya mengenai fungsi butang yang terdapat di papan panel radio.

“Begitu juga dengan Nana dan Reza. Nana pernah menemubual saya sebelum ini. Aznil Nawawi pun selalu memberi nasihat kepada Dina, malah Din Beramboi pun sama, cuma apabila dia berlawak, Dina sendiri tak tahu yang mana satu lawak, mana satu serius,” katanya yang kini semakin meledak dengan lagu Cinta Datang Lagi dan Mahu Tapi Malu.

Menurut duta Adidas ini, kerjaya barunya cukup menyeronokkan dan baru kini dia sedar kerjaya ini bukan semudah yang disangka. Situasi memainkan lagu sendiri juga sering membuatkan dirinya tersenyum sendiri.

Kata Dina, apabila sudah diprogramkan senarai lagu yang bakal diputarkan, dia tidak mempunyai kuasa untuk menghalangnya.

“Menjadi penyampai radio ini kita kena perlu bijak membuat pelbagai kerja dalam satu masa. Nak berceloteh pun bukan boleh ikut sesuka hati, kita kena pandai menyusun ayat supaya tidak menyinggung mana-mana pihak.

“Sebagai manusia biasa kita cuba untuk tidak melakukan sebarang ralat. Mungkin orang di luar sana menganggap kerjaya ini sangat mudah seperti ‘kacang’ tapi hakikatnya memang tidak.

“Saya boleh katakan kerjaya ini sebagai satu kerja yang intelektual dan bijak. Memang pelik apabila memainkan lagu sendiri apatah lagu tema Era berjudul Satu Era dinyanyikan oleh Dina, Cham dan Burn. Sekarang pun single terbaru Dina, Sejauh Ini sedang dimainkan di radio Era,” katanya sambil tersenyum.

Mengalih kepada bidang lakonan, rezekinya menggantikan pelakon lain memberikan impak yang cukup bermakna di dalam hidupnya. Ahmad Idham menjadi pengarah yang terus memberi kepercayaan kepadanya untuk mencambahkan bakat sebagai pelakon. Bagaimanapun dunia nyanyian masih menjadi keutamaan kepadanya.

Album keduanya juga sudah siap dihasilkan cuma menanti waktu untuk menyiapkan proses menghasilkan kulit album dan fotografi saja. Menariknya sebelum muncul dengan album kedua, Dina mengeluarkan empat single nyanyiannya secara digital. Empat lagu itu ialah Malu Tapi Mahu, Sejauh Ini, Satu Untuk Diriku dan Y’all Wit Me akan dijual dengan harga RM8. Dina akan mencatat sejarah menjadi penyanyi Melayu pertama mengeluarkan album seperti itu.

“Kesibukan Dina menjadi penyampai radio, berlakon dan mengacara membuatkan waktu untuk merakamkan gambar kulit album tidak dapat dilaksanakan. Album itu terbitan syarikat Dina sendiri iaitu Soulful Symphony. Album kedua ini nanti hanya akan mencari pihak pengedar saja,” katanya.

INFO: Nana

  • Nama Penuh: Nurul Hana Che Mahazan
  • Panggilan: Nana
  • Tarikh Lahir: 1 Julai 1983
  • Umur: 26 tahun
  • Asal: Muar, Johor
  • Zodiak: Cancer
  • Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
  • Pendidikan: Diploma Pengurusan Teknologi Maklumat, Cosmopoint
  • Profesion: Penyampai radio Era dan pengacara Brek! di Astro Ria, Galaksi (TV9) dan pelakon.
  • Filem: Maut dan Gangster.
  • Solekan: Famee (012-2280178)

    INFO: Dina
  • Nama penuh: Faradina Mohd Nazir
  • Panggilan: Dina
  • Tarikh lahir: 7 Februari 1985
  • Umur: 24 tahun
  • Asal: Bandar Baru Uda, Johor Bahru
  • Pendidikan: Diploma Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
  • Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
  • Teater: Impak Maksima
  • Drama: Rempit VS Impak Maksima (sedang disiarkan di TV3)
  • Filem: Jangan Pandang Belakang Congkak
  • Kejayaan: Naib Juara Malaysian Idol musim pertama dan pemenang pingat emas dan perak, masing-masing hasil kemenangannya dalam kategori Vokal R&B/Soul/ Jazz (usia 18-24) dan Vokal Karya Asal. World Championship of Performing Arts (WCOPA) pada Ogos 2008
  • Myspace: www.myspace.com/faradina
  • Facebook: Taip nama Dina Nadzir

    INFO: Persamaan Nana dan Dina

  • Bapa mereka bekerja sebagai polis, malah berkawan baik.

  • Nombor 7 menjadi kegemaran masing-masing. Nana dilahirkan bulan Julai, manakala Dina dilahirkan pada 7 Februari.

  • Anak kedua daripada empat beradik dan mereka menjadi anak perempuan tunggal dalam keluarga.

  • Berasal dari Johor.

  • Kedua-duanya mula menyinar selepas menyertai pertandingan realiti TV. Dina mendapat tempat kedua Malaysian Idol musim pertama dan Nana menjadi perintis program Akademi Fantasia yang pertama.

  • Suka makan coklat.

  • Gilakan kasut dan sukakan karakter kartun Spongebob.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: