![]() ANTARA artis yang turut serta, dari kiri, Aaron, Fizow dan Diddy. |
Siri jelajah ABPBH 2008 berkunjung ke Johor, esok dan Ahad
SELEPAS berjaya berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung ke Village Mall, Sungai Petani, hujung minggu lalu, sebahagian calon peringkat akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 akan berkunjung menemui peminat ke selatan tanah air pula iaitu Pasir Gudang, Johor hujung minggu ini.
Mereka akan mengharungi perjalanan selama empat jam menaiki bas dua tingkat tajaan Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd.
Bagi peminat setia anugerah berprestij ini, jangan ketinggalan nantikan kehadiran finalis ABPBH 2008 di Kompleks Pasir Gudang, Johor, Ahad ini. Mereka bersedia untuk ‘menggegarkan’ Pasir Gudang buat kali keempat tempat jam 3 petang pada 8 Mac ini.
Seramai 13 finalis membabitkan penyanyi, pelakon, pelakon komedi dan personaliti TV serta radio bakal memeriahkan siri jelajah kedua untuk tahun ini. Antaranya ialah Aaron Aziz, Mila, Fasha Sandha, Fizzow Omar serta tidak ketinggalan Kenchana Dewi dan penyanyi baru, Nubhan.
Nantikan juga kemunculan artis undangan yang akan bersama-sama memeriahkan siri jelajah ini iaitu Diddy, Shila OIAM, pasangan suami isteri, Khai & Rosma; bekas peserta Raja Lawak, Along dan Angah serta Ikhwan daripada Hot FM.
Pengurus Promosi dan Pemasaran Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) Mas Ayie Mas Omar berkata, ABPBH 2008 mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke Kompleks Pasir Gudang kerana pelbagai aktiviti serta hadiah menarik menanti pengunjungnya yang bertuah.
“Selain bakal disajikan dengan persembahan daripada finalis dan artis yang mengikuti siri jelajah ini, pengunjung bertuah juga berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditawarkan sepanjang empat jam kami berada di sana.
“Persinggahan di Pasir Gudang, Johor ini juga akan dimeriahkan lagi dengan pertandingan Bintang Idol Berita Harian (BIBH) yang menjadi aktiviti wajib untuk tahun ini.
“Sambutan yang kita terima di Sungai Petani tempoh hari cukup menggalakkan. Jadi kami menggesa supaya mereka yang berminat untuk menyertai BIBH supaya datang ke Kompleks Pasir Gudang pada hari Sabtu jam 10 pagi. Acara akan dimulakan sejurus selepas pendaftaran manakala peringkat akhir pula akan berlangsung Ahad jam 10 pagi.
“Pertandingan ini adalah berdasarkan siapa cepat dia dapat. Tempat juga sangat terhad, hanya 100 peserta terawal saja akan diterima menyertai pertandingan ini” katanya.
Pertandingan kemuncak Juara-Juara Bintang Idola Berita Harian akan diadakan pada 5 April di Klang Parade, Selangor. Peserta yang layak disaring daripada pertandingan akhir yang dilaksanakan di enam lokasi siri jelajah diadakan.
Hadiah yang ditawarkan bagi setiap lokasi jelajah ialah tempat pertama sebanyak RM 500, sijil dan barangan, serta berpeluang membuat persembahan bersama bintang popular tanah air. Tempat kedua pula menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM 300 berserta sijil dan barangan. Manakala tempat ketiga pula menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM 200 juga sijil serta barangan.
Sementara hadiah utama untuk kategori Juara Keseluruhan pula menawarkan wang tunai RM 2,000, hamper serta sijil dan berpeluang membuat persembahan di malam kemuncak ABPBH 2008 pada 12 April. Pemenang tempat kedua pula bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 1,000, hamper dan sijil dan pemenang tempat ketiga pula menerima wang tunai RM 500, serta hamper dan sijil.
Selain berpeluang menatap wajah artis pujaan dengan lebih dekat, pembaca setia Berita Harian juga boleh menyerahkan borang undian Top 5 yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian serta Berita Minggu.
Pemilihan pemenang untuk kategori pembaca akan dipilih berdasarkan slogan kreatif dan bukan undian tepat seperti diumumkan pada malam kemuncak nanti.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: