KUALA TERENGGANU - Penduduk Kampung Keluang, Besut,  gempar seketika susulan penemuan seekor anak buaya betina seberat 20 kilogram di Sungai Keluang Besar, Besut, semalam.
Reptilia sepanjang kira-kira dua meter itu ditemui kira-kira jam 10.50 pagi selepas tersangkut pada jaring pukat milik penduduk kampung di sekitar kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 11 pagi memaklumkan penemuan reptilia terbabit.
Jelasnya, sebaik menerima panggilan itu, anggota Perhilitan daerah Besut bergegas ke lokasi kejadian.
“Reptilia itu kemudian ditangkap dan akan dilepaskan semula ke dalam sungai Taman Negara Terengganu, Hulu Terengganu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Mohd Hasdi turut menasihatkan orang awam agar memaklumkan kejadian seumpama itu kepada pihaknya dengan segera sekiranya berdepan kejadian sama atau gangguan buaya.