TIM Burton terkenal sebagai pengarah yang mempunyai kecenderungan untuk memilih cerita-cerita fantasi kanak-kanak unik dan menghiburkan untuk dipertontonkan. Antaranya Edward Scissorhands, Alice In Wonderland, The Nightmare Before Christmas, Charlie And The Chocolate Factory dan lain-lain.
Kali ini pengarah ni kembali dengan buah tangan terbaharu, Miss Peregrine’s Home For Peculiar Children. Sebuah kisah yang diadaptasikan daripada buku cerita kanak-kanak tulisan Ransom Riggs dari tajuk sama. Buku ini telah terjual lebih 3.1 juta naskhah di seluruh dunia.
Ia mengisahkan seorang kanak-kanak, Jake (Asa Butterfield) yang sering mendengar tentang kisah pengembaraan datuknya, Abe Portman (Terence Stamp) yang penuh misteri. Ketika usia meningkat remaja, dia tidak percaya cerita itu, namun segalanya berubah apabila datuknya itu didapati terbunuh dengan cara cukup misteri.
Jake merungkai misteri itu dan cuba membuktikan kebenaran cerita datuknya tentang kewujudan sebuah rumah yang menempatkan sekumpulan kanak-kanak unik yang mempunyai kebolehan istimewa. Mereka dijaga seorang wanita yang dikenali sebagai Miss Peregrine’s (Eva Green). Menerusi petunjuk ditinggalkan, Jake berjaya jejak rumah itu dengan melalui pengembaraan masa yang cukup menarik.
Idea dan konsep filem ini cukup menarik. Bayangkan bagaimana jika sekumpulan kanak-kanak yang mempunyai kebolehan istimewa ini berkumpul di satu tempat. Seorang mempunyai kebolehan terapung, seorang lagi mampu hidup dengan lebah dalam tubuhnya, ada berkebolehan mengeluarkan api dan sebagainya. Mereka diasing daripada dunia luar kerana kebolehan mereka berada di luar normal kanak-kanak biasa.
Sebuah kisah fantasi yang cukup menghiburkan. Apatah lagi dengan kesan visual menarik sehingga ia nampak begitu meyakinkan Apa pun, secara keseluruhannya, filem ini menghiburkan dan sesuai untuk ditonton seisi keluarga.