Wednesday, March 2, 2016

VS Beauty Expert bermula dari rumah




VS Beauty Expert
Norazura (kiri) bersama Intan Zarith menunjukkan produk paling larisnya, OLIcandy.
VS Beauty Expert Sdn Bhd adalah satu syarikat pengeluar produk kesihatan Bumiputera yang baru sahaja menjalankan operasinya pada November 2014.
Walaupun baharu sahaja berkecimpung di dalam dunia perniagaan tetapi syarikat milik bersama Puteri Intan Zarith Che Rashdi dan Norazura Md Posdzi ini telah menghasilkan lapan produk.
Bahkan, kebanyakan produk keluaran mereka adalah yang pertama di pasaran dan lebih dikenali menerusi jenama paling laris OLIcandy.
Pertemuan di antara kedua-dua pengasas itu bukanlah satu kebetulan kerana mereka sudah saling berkenalan ketika bekerja dahulu.
Intan Zarith berkata, mereka saling mengenali di antara satu sama lain sejak 2013 sebelum dia terlibat di dalam dunia perniagaan.
Intan Zarith mempunyai pengalaman sebagai pegawai pemasaran ketika bekerja di salah sebuah syarikat automotif terkemuka.
Katanya, dia berhenti bekerja dan merancang untuk menghasilkan produk kecantikan kerana meminati kecantikan sejak dahulu lagi.
"Saya berhenti kerja dan mengambil peluang untuk membuka syarikat produk kesihatan pada 2013 menerusi syarikat Beauty Extreme.
"Saya datang berjumpa dengan Norazura yang ketika itu bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat penerbitan untuk mempromosikan produk," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.
Selepas setahun berniaga sendirian, Norazura menyertai Intan Zarith dengan membuka satu syarikat yang dikenali sebagai VS Beauty Expert Sdn Bhd dengan modal RM100,000.
Mereka juga mengakui pengalaman di dalam bidang pemasaran itu sedikit sebanyak membantu mereka di dalam pengurusan perniagaan.

Produk demi pengguna
Tujuan utama ketika mula-mula membuka syarikat ini adalah bagi melahirkan dan menghasilkan produk-produk kesihatan dan kecantikan yang tidak terdapat di pasaran.
Oleh itu, mereka memakan masa yang agak lama untuk memikirkan tentang produk pertama keluaran syarikat itu.
"Apa yang kami mahu adalah untuk melahirkan produk baharu yang tidak ada di pasaran. Sebab itu, kami lahirkan OLIcandy.
"Bukan itu sahaja, produk-produk kami juga didatangkan dengan bahan-bahan yang sesuai mengikut keperluan produk," katanya.
Menurutnya, produk Beau Mama mempunyai kandungan bahan-bahan yang diperlukan oleh ibu mengandung seperti daun zaitun, Omega 3, kurma dan Avocado.
Begitu juga dengan produk-produk lain seperti Vsireh, Areum, Seri Ibu dan Hoodia Candy.
Katanya lagi, permintaan dan kuasa beli yang tinggi dalam  kalangan pembeli khususnya wanita terhadap produk kesihatan dan kecantikan mendorong mereka untuk terus aktif dalam sektor ini.   
Hasil tablet gula-gula
Membuka syarikat bukanlah semudah yang diinginkan. Intan Zarith dan Norazura mengakui mereka meluangkan masa selama enam bulan untuk membincangkan tentang produk yang ingin dijual.
Sehinggalah, mereka mendapat ilham menghasilkan produk kesihatan dengan inovasi gula-gula tablet, sekali gus menjadi produk yang pertama seumpamanya di pasaran ketika itu.
Selepas berjaya menghasilkan produk itu, bermulalah perjalanan perniagaan dan cabaran sebagai seorang pengasas dan pemilik produk.
Intan Zarith berkata, operasi syarikat semuanya dilakukan di rumah dan kadang-kala di kedai-kedai makan.
"Dua bulan pertama, kami tidak mempunyai pekerja dan pejabat. Kami menguruskan kesemuanya berdua.
"Kami akan meluangkan masa berbincang dan menyiapkan tempahan pelanggan di kedai-kedai mamak," katanya.
Menurutnya, mereka mengambil produk dari kilang menghantar produk kepada ejen dan mengepos tempahan atas talian (online).
Selepas melihat jualan yang menggalakkan dalam tempoh dua bulan pertama, akhirnya VS Beauty Expert membuka pejabat yang terletak di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi.
Katanya, mereka bermula dengan hanya seorang pekerja dengan mempunyai 30 ejen di seluruh negara.
Walaupun dengan tenaga kerja yang terhad, VS Beauty Expert mampu menggerakkan syarikat dengan baik sehingga berjaya menambah jumlah jualan syarikat.
Jualan meningkat hingga 100,000 botol
Katanya, VS Beauty Expert bermula dengan hanya menjual 1,000 botol pada November 2014.
"Cabaran kami adalah untuk mendapatkan kepercayaan pembeli berikutan produk itu seumpama itu tidak ada di dalam pasaran.
"Kami mempromosi di semua laman sosial seperti Facebook dan Instagram serta jualan dari mulut ke mulut," katanya.
Kini, VS Beauty Expert mempunyai sekitar 60 pekerja termasuk pekerja kilang yang terletak di Negeri Sembilan.
"Kini kami mampu menjual 100,000 botol sebulan menerusi jenama OLIcandy.
"Kami juga mempunyai ejen 1,000 ejen di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura," katanya.
Selepas enam bulan pengenalan produk OLIcandy dan Vsireh, VS Beauty Expert terus melahirkan lebih banyak idea baharu bagi produk-produk keluarannya.
Hanya dalam tempoh setahun, VS Beauty Expert mempunyai pelbagai rangkaian produk meliputi produk kesihatan dan kecantikan seperti minyak wangi dan pelembap bibir.
Mengulas berhubung penghasilan produk yang terlalu cepat, Intan Zarith berkata, mereka tidak mempunyai masalah untuk menghasilkan produk kerana pembangunan dan penyelidikan (R&D) dilakukan sendiri berdua.
"Daripada segi modal, tidak ada masalah. Apa yang penting untuk kekal di dalam pasaran adalah dengan memastikan produk yang dihasilkan mestilah menepati kehendak pengguna," katanya.
Bagaimanapun, katanya, syarikat itu akan memberi tumpuan kepada produk sedia ada selepas pelancaran produk baharu tidak lama lagi.
Pada Januari lalu, VS Beauty Expert telah melancarkan minyak wangi menerusi jenama Fuchsia, sekali gus menjadi produk terbaharu keluarannya.
OLIcandy sumbang 70 peratus pendapatan
Intan Zarith berkata, syarikatnya menyasarkan untuk menjual sebanyak 200,000 botol bagi kesemua rangkaian produk keluarannya.
"Daripada jumlah itu, 100,000 botol disumbangkan oleh OLIcandy yang mana 70 peratus daripada jualan datang disumbangkan oleh jenama tersebut.
"Ini menunjukkan walaupun terdapat saingan bagi jenama itu di pasaran namun, ia tetap mempunyai pembeli dan menjadi pilihan pengguna," katanya.
Mengulas berhubung persaingan, Intan Zarith berkata, produk yang berkualiti dan harga mampu milik menjadi tarikan produknya.
Menurutnya, syarikatnya menggunakan bahan-bahan mentah yang berkualiti terbaik dari dalam dan luar negara tetapi masih menawarkan harga mampu milik.
Katanya, keberkesanan produk tidak bergantung kepada harga tetapi gabungan bahan-bahan yang terdapat di dalam produk berkenaan.
Selain itu, produk keluaran VS Beauty Expert juga mempunyai pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mempunyai pengiktirafan Amalan Pengilangan Baik (GMP).
VS Beauty Expert mempunyai lapan produk yang dijual dengan harga serendah RM29 sehingga RM59 seunit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: