Wednesday, March 2, 2016

Tarikan mi segera ketam




Tarikan mi segera ketam
Mi segera ketam yang siap dimasak untuk dihidangkan kepada pelanggan.
JIKA mahu menikmati pelbagai hidangan seperti mi goreng, nasi goreng dan tomyam, warung terpencil di Kampung Lembah, di sini, bukan tempatnya.
Ini kerana premis ini hanya menyediakan mi segera ketam sejak mula diperkenalkan lebih 12 tahun lalu dan hanya dinikmati kaki pancing sekitar kedai makan berkenaan sebelum umum mengetahuinya.
Memandangkan ia mendapat sambutan memberangsangkan, pengusahanya, Che Mohd Alimin Che Leh, 44, membuka kedai lebih besar di Pekan Cherang Ruku, Semerak.
Hari ini, dia perlu memastikan mempunyai 100 kilogram bekalan ketam hidup sehari, sama ada memperolehnya daripada nelayan tempatan atau membeli ketam dari Sabah, Sarawak, Myanmar dan Bangladesh.
Malah dia tetap akan berusaha mendapatkan ketam kerana tidak mahu pelanggan yang datang dari jauh kecewa sekali gus menjauhkannya dari pelanggan.
Menurutnya, memang ketam dari luar lebih murah, tetapi terpaksa membayar kos tambang.
"Walaupun harga setiap hidangannya agak tinggi kerana bergantung kepada harga ketam semasa yang kini mencecah RM50 sekilogram, kedai saya terus menjadi tumpuan terutama pada musim perayaan.
"Malah waktu  demam denggi merebak, kedai saya jadi tumpuan ramai sebab ramai percaya ketam nipah dapat meredakan wabak tersebut," katanya.
Che Mohd Alimin berkata, menu hidangannya dimasak dengan kaedah ringkas tetapi berjaya menarik ramai pengunjung termasuk pemain bola sepak Kelantan, Exco kerajaan negeri, menteri dan selebriti.
"Saya tak gusar dengan kemunculan banyak kedai menyediakan hidangan sama, malah menganggapnya sebagai mempromosikan menu terbaharu itu kepada masyarakat.
"Pengalaman saya beri kelebihan untuk mengekalkan keenakan hidangan dengan masakan ringkas dan asli," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: