Antara hidangan makanan laut yang disediakan di Oyster Shellout.
TERNYATA usaha gigih seorang peniaga pasar tani membuka kedai makan tidak sia-sia apabila Oyster Shellout yang baru beroperasi bulan lepas, mendapat sambutan luar biasa daripada penggemar makanan laut.
Malah perniagaannya itu turut menjadi viral di laman sosial Facebook.
Menurut Sofuan Wahid, 34, dia yang sebelum ini pernah bekerja sebagai operator kilang memilih untuk berhenti kerja selepas membuat keputusan membantu ibunya berniaga di pasar tani sepenuh masa.
“Sebelum ini, saya bantu ibu di pasar tani hanya secara sambilan sejak sekolah lagi.
“ Lepas tamat sekolah menengah, saya bekerja sebagai operator kilang tapi sementara sahaja, sehinggalah saya buat keputusan berhenti kerja dan menolong ibu sepenuh masa di pasar,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, setelah lama menguruskan perniagaan ibunya itu, isterinya, Azlinda Yunus, 31 akhirnya mencadangkan dia untuk buka perniagaan kedai makanan laut memandangkan perniagaan di pasar tani hanya dijalankan pada waktu pagi.
“Saya hanya berniaga di pasar tani pada waktu pagi sahaja dan itu pun pada setiap hari Jumaat dan Ahad.
“Sebenarnya sejak tahun lepas, isteri saya beri cadangan buka kedai makan berkonsepkan Shellout, namun saya perlu meneliti dan mempelajari kaedah masakan dan pengurusan kedai terlebih dahulu agar mampu memuaskan hati semua pelanggan ,” katanya yang mengakui masih aktif berniaga di pasar tani.
Menurutnya, sejak minggu pertama perniagaan itu dibuka, dia yang dibantu tujuh pekerja itu, tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang bukan hanya dari sekitar Muar, malah dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Singapura.
Katanya, ada dalam kalangan pelanggan yang mengadu mereka terpaksa menempah meja seawal seminggu kerana tempahan pada hari minggu selalunya penuh dan mereka sanggup berbuat demikian bagi menikmati hidangan di kedai yang terletak di Parit Tiram iaitu kira-kira 2.6 kilometer dari bandar Muar.
“Saya menerima lebih kurang 100 pelanggan dalam masa satu malam setiap hari dan kebanyakan daripada mereka membuat tempahan awal menerusi telefon sebelum datang ke sini.
“ Hasil keuntungan berjaya diperoleh kira-kira RM1,500 hingga ke RM2,500 setiap malam. Di Oyster Shellout juga, harga hidangan ditawarkan tidaklah mahal, bagi set untuk dua orang hanya berharga RM20,” katanya.
Sofuan berkata, pada masa akan datang, dia bercadang menambah hidangan bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: