Tujuh penyanyi tersohor yang beraksi dalam konsert berkenaan.
KONSERT Raja dan Rakyat Berpisah Tiada berlangsung penuh gemilang di atas pentas berprestij Istana Budaya (IB) malam kelmarin.
Dijayakan tujuh penyanyi tersohor tanah air dan negara jiran Indonesia, konsert khas sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ke-85 itu mendapat sambutan hebat.
Antara penyanyi terlibat adalah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Datuk Yusni Hamid, Datuk Leonard Tan, Datuk David Arumugam dan Datuk Rossa.
Mengimbas perjalanan konsert anjuran Yayasan Luhur Nurani itu, pembukaan daripada penyanyi kelahiran Pahang, Siti Nurhaliza berjaya memecah kesunyian Panggung Sari IB.
Suasana pada awalnya sepi, bertukar meriah apabila Siti Nurhaliza membuka persembahan menerusi lagu Tari Tualang Tiga dan Joget Pahang.
Lebih menyerikan persembahan apabila ia diiringi penari kanak-kanak Permata Seni Tari. Menyusul penyanyi tanah air yang mendapat gelaran penyanyi di raja, Yusni.
Beliau mempersembahkan lagu Kau Yang Ku Nanti dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton malam itu.
Diikuti David Arumugam mempersembahkan lagu popularnya Hingga Akhir Nanti. Persembahan diteruskan Jamal menerusi lagu berlatarkan melodi rancak, Aku Penghibur dan Rossa menerusi lagu Hey Ladies.
Menariknya, persembahan Rossa turut mendapat tepukan hebat daripada penonton yang teruja melihatnya beraksi di lincah pentas tersebut.
Leonard pula, berjaya menarik perhatian penonton ketika menyampaikan lagu What A Wonderful World dan Fly Me To The Moon secara medley.
Lagu lain disampaikan tujuh Datuk ini adalah Di Wajahmu Ku Lihat Bulan, Kau Yang Satu, Puisi Sang Puteri dan Sekuntum Mawar Merah (medley), Bukan Cinta Biasa, Sepi Seorang Perindu dan Keluhan Perantau (medley), Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Kasih, Sway, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Itulah Sayang, Pudar serta Mencintaimu.
Siti Nurhaliza menyerlah
Secara keseluruhan konsert ini memuaskan hati dan menghiburkan penonton.
Sementelah penyanyi terlibat tampil dengan vokal dan gaya persembahan tersendiri sepanjang ia berlangsung.
Siti Nurhaliza antara penyanyi paling menyerlah malam itu ketika menyampaikan lagu Bukan Cinta Biasa.
Bahkan Yusni perlu diberikan pujian kerana mampu melontarkan vokal dengan baik sehingga kini.
Selain itu, persembahan penutup membuatkan penonton terpaku menerusi persembahan tiga diva Siti Nurhaliza, Rossa dan Yusni menerusi lagu Mencintaimu.
Bagaimanapun, hanya David Arumugam mencuri perhatian penonton apabila mengambil peluang berinteraksi dengan mereka.
Konsert penuh eksklusif itu diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di bawah seliaan konduktor Mustafa Fuzer Nawi.
Elemen istimewa
Tidak hanya memberi fokus kepada persembahan penyanyi terlibat, sebaliknya terdapat elemen istimewa diselitkan menerusi konsert berdurasi dua jam ini.
Antara slot khas menjadi selingan persembahan seperti penyampaian puisi oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin.
Sementara itu, persembahan penyanyi terlibat turut berlatarbelakangkan visual mempamerkan gambar-gambar Sultan Ahmad Shah.
Turut berkenan mencemar duli menyaksikan konsert tersebut, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom.
Konsert diraja itu bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan bagi membantu anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.
Penganjuran mendapat kerjasama Persatuan Siswazah Warisan dan Yayasan Almas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: